Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Boleh terangkan atau tafsirkan secara ringkas ayat ini:

وَيُؤْثِرُونَ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌۭ ۚ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِۦ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ

Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, kami bawakan terlebih dahulu ayat berkenaan. Firman Allah SWT:

وَيُؤْثِرُونَ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌۭ ۚ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِۦ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.

(Surah al-Hasyr: 9)

Syeikh Abdullah al-Bassam menyatakan, perkataan al-Ithar (الإيثار) dalam ayat di atas bermaksud mendahulukan orang lain yang memerlukan berbanding dirinya sendiri, dalam keadaan mereka juga sebenarnya benar-benar berhajat kepada perkara tersebut. Ini adalah tahap yang lebih tinggi daripada mereka yang memberikan sebahagian daripada harta mereka yang mana mereka tidak memerlukan kepada harta itu ataupun tidak berada dalam keadaan darurat. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/392).

Sebab penurunan ayat ini ada diceritakan di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A:

أَنَّ رَجُلًا أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلّمَ فَبَعَثَ إِلَى نِسَائِهِ فَقُلْنَ مَا مَعَنَا إِلَّا الْمَاءُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلّمَ مَنْ يَضُمُّ أَوْ يُضِيفُ هَذَا فَقَالَ رَجُلٌ مِنْ الْأَنْصَارِ أَنَا فَانْطَلَقَ بِهِ إِلَى امْرَأَتِهِ فَقَالَ أَكْرِمِي ضَيْفَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلّمَ فَقَالَتْ مَا عِنْدَنَا إِلَّا قُوتُ صِبْيَانِي فَقَالَ هَيِّئِي طَعَامَكِ وَأَصْبِحِي سِرَاجَكِ وَنَوِّمِي صِبْيَانَكِ إِذَا أَرَادُوا عَشَاءً فَهَيَّأَتْ طَعَامَهَا وَأَصْبَحَتْ سِرَاجَهَا وَنَوَّمَتْ صِبْيَانَهَا ثُمَّ قَامَتْ كَأَنَّهَا تُصْلِحُ سِرَاجَهَا فَأَطْفَأَتْهُ فَجَعَلَا يُرِيَانِهِ أَنَّهُمَا يَأْكُلَانِ فَبَاتَا طَاوِيَيْنِ فَلَمَّا أَصْبَحَ غَدَا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلّمَ فَقَالَ ضَحِكَ اللَّهُ اللَّيْلَةَ أَوْ عَجِبَ مِنْ فَعَالِكُمَا فَأَنْزَلَ اللَّهُ…

Maksudnya: “Ada seseorang yang mendatangi Rasulullah SAW (dalam keadaan lapar), lalu Baginda SAW mengirim utusan kepada para isteri Baginda. Para isteri Rasulullah SAW menjawab: ‘Kami tidak memiliki apa pun kecuali air.’ Rasulullah SAW bersabda: ‘Siapakah daripada kalangan kalian yang ingin menjamu orang ini?’ Salah seorang kaum Ansar menjawab: ‘Aku.’ Lalu orang Ansar ini membawa lelaki tadi ke rumah isterinya, (dan) dia berkata: ‘Muliakanlah tetamu Rasulullah SAW!’ Isterinya menjawab: ‘Kita tidak memiliki apa pun kecuali makanan untuk anak-anak.’ Orang Ansar itu berkata: ‘Siapkanlah makananmu itu, nyalakanlah lampu, dan tidurkanlah anak-anak jika mereka minta makan malam.’ Kemudian, wanita itu pun menyiapkan makanan, menyalakan lampu, dan menidurkan anak-anaknya. Dia lalu bangkit, seakan hendak memperbaiki lampu dan memadamkannya. Kedua suami-isteri ini memperlihatkan (kepada para tetamu) seakan-akan mereka sedang makan. Setelah itu mereka tidur dalam keadaan lapar. Keesokan harinya, si suami datang menghadap Rasulullah SAW, Baginda bersabda: ‘Malam ini Allah tertawa atau takjub dengan perbuatan kamu berdua.’ Maka Allah menurunkan (ayat tersebut).”

Riwayat al-Bukhari (3798)

Ibn Kathir menyebutkan, ungkapan ‘خَصَاصَةٌ’ ertinya adalah hajat dan keperluan. Maksudnya, mereka lebih mendahulukan orang-orang yang memerlukan daripada hajat dan keperluan diri mereka sendiri. Mereka memulakan untuk orang lain dahulu sebelum diri mereka sendiri.

Sabit di dalam hadith, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “أفْضَلُ الصَّدقَةِ جَهْدُ المُقِلِّ” (Sebaik-baik sedekah adalah sedekah (hasil) jerih payah orang yang kekurangan). Darjat ini lebih tinggi daripada orang-orang yang bersedekah seperti yang Allah berfirman tentang mereka: “وَيُطْعِمُونَ الطَّعَامَ عَلَى حُبِّهِ” (Dan mereka memberikan makanan yang disukainya…). (Surah al-lnsan: 8) Juga firman-Nya: ‘وَآتَى الْمَالَ عَلَى حُبِّهِ’ (dan seseorang memberikan harta yang dicintainya…) (Surah al-Baqarah: 177)

Orang-orang yang memberikan harta yang mereka cintai itu, maksudnya mereka bersedekah sedangkan mereka mencintai harta yang disedekahkan itu. Terkadang mereka tidak memerlukannya, serta tidak pula dalam keadaan darurat. Adapun orang-orang yang mendahulukan orang lain daripada diri mereka sendiri, maka mereka memberikan harta mereka kepada orang lain, sedangkan mereka sendiri memerlukannya. lni adalah darjat yang lebih tinggi. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/71).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”

Leave a Reply