#4522: Bila Sebenarnya Difardhukan Zakat Fitrah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bilakah sebenarnya difardhukan zakat fitrah ke atas umat Islam? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Terlebih dahulu, kami mulakan dengan mengemukakan takrifan zakat fitrah. Zakat fitrah ialah kadar yang tertentu daripada harta yang wajib dikeluarkan oleh setiap mukallaf bagi dirinya dan orang yang di bawah tanggungannya setelah matahari terbenam pada hari terakhir bulan Ramadhan, dengan syarat-syarat tertentu. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/228)

Menurut Syeikh Abdullah al-Bassam, kaum Muslimin telah menyatakan ijma‘ berkenaan kewajipan menunaikannya. Ijma‘ tersebut adalah berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan dalam Sahihain daripada riwayat Ibn Umar R.Anhuma, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرَضَ زَكَاةَ الْفِطْر من رمضانِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah memfardhukan zakat fitrah pada bulan Ramadhan…

Riwayat al-Bukhari (1504) dan Muslim (984)

Jumhur ulama salaf dan khalaf menyebutkan, makna farada (فَرَضَ) adalah mewajibkan. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/371).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, pengarang al-Fiqh al-Manhaji menyebutkan, pendapat yang masyhur menurut sunnah menyatakan bahawa zakat fitrah difardhukan pada tahun kedua hijrah, iaitu pada tahun yang difardhukan puasa Ramadhan. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Ibn Umar R.Anhuma sebagaimana yang kami telah sebutkan di atas. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/228).

Begitu juga Syeikh Abdullah al-Bassam turut menyatakan bahawa zakat fitrah difardhukan pada tahun yang sama difardhukan puasa Ramadhan iaitu tahun kedua hijrah. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/371).

Tambahan lagi, hal ini juga disebutkan oleh Dr. Muhammad al-Zuhaili dalam kitabnya, di mana beliau menyatakan, zakat difardhukan pada bulan Sya‘ban tahun kedua hijrah bersama zakat fitrah, atau zakat fitrah difardhukan selepasnya pada bulan Ramadhan tahun kedua hijrah iaitu selepas sebulan — disyariatkan zakat. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/12).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa zakat fitrah difardhukan pada tahun kedua hijrah, iaitu pada tahun yang sama difardhukan puasa Ramadhan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

 آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا

Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *