#4523: Rahsia dan Hikmah Zakat Fitrah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah rahsia dan hikmah zakat fitrah? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Terlebih dahulu, kami mulakan dengan mengemukakan takrifan zakat fitrah. Zakat fitrah ialah kadar yang tertentu daripada harta yang wajib dikeluarkan oleh setiap mukallaf bagi dirinya dan orang yang di bawah tanggungannya setelah matahari terbenam pada hari terakhir bulan Ramadhan, dengan syarat-syarat tertentu. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/228)

Menurut Syeikh Abdullah al-Bassam, kaum Muslimin telah menyatakan ijma‘ berkenaan kewajipan menunaikannya. Ijma‘ tersebut adalah berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan dalam Sahihain daripada riwayat Ibn Umar R.Anhuma, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرَضَ زَكَاةَ الْفِطْر من رمضانِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah memfardhukan zakat fitrah pada bulan Ramadhan…

Riwayat al-Bukhari (1504) dan Muslim (984)

Jumhur ulama salaf dan khalaf menyebutkan, makna farada (فَرَضَ) adalah mewajibkan. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/371).

Seterusnya dalam menjawab soalan di atas, di antara hikmah di sebalik kewajipan zakat fitrah ini adalah seperti hadith daripada riwayat Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya:

فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ طُهْرَةً لِلصَّائِمِ مِنْ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ وَطُعْمَةً لِلْمَسَاكِينِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah untuk menyucikan orang yang berpuasa daripada perkara lagha dan kata-kata keji, dan juga untuk memberi makan orang miskin.”’

Riwayat Abu Daud (1609) dan Ibn Majah (1827)

Zakat fitrah berfungsi sebagai penampung bagi kekurangan dalam puasa. Demikianlah juga setiap ibadah akan berkait atau ada perkaitan dengan ibadah yang lain, di mana ia berperanan sebagai pelengkap dan penampung kepada apa yang kurang dalam ibadah tersebut.

Syeikh Abdullah al-Bassam menjelaskan lagi mengenai hikmah-hikmah dan rahsia-rahsia zakat fitrah ini dengan menyatakan, di antaranya apa yang berkaitan dengan orang yang berpuasa. Zakat fitrah itu membersihkan/menyucikan mereka daripada kekurangan dan ketidaksempurnaan yang mungkin terjadi dalam ibadah puasa mereka. Selain itu, ia juga merupakan suatu bentuk kesyukuran kepada Allah SWT kerana melengkapkan puasa bulan Ramadhan, dan rasa syukur kepada Allah atas segala nikmat yang telah dikurniakan kepada mereka sepanjang tahun, menjaga kesihatan tubuh badan mereka, memberi keselamatan dalam agama mereka dan juga memberikan keamanan kepada mereka di negara (tempat tinggal) mereka.

Di antara hikmah zakat fitrah juga, apa yang berkaitan dengan keharmonian masyarakat Islam dengan menyantuni golongan yang memerlukan, memberi makan kepada orang yang kelaparan di hari raya, menyebarkan kegembiraan dan kebahagiaan, serta menyemai kasih sayang dan silaturahim sesama umat Islam. Ini membantu agar semua umat Islam, dari semua lapisan ekonomi, dapat menyambut hari raya tanpa perlu lagi meminta-minta atau bergantung kepada bantuan pada hari di mana setiap Muslim ingin kelihatan kaya pada hari yang disukainya. Hikmah-hikmah dan rahsia-rahsia dalam syariat Allah dan ketetapan-Nya adalah banyak — sama ada kita mengetahuinya ataupun tidak. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/371-372).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

 آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا

Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *