Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!

Buku Fizikal

Hakikat Dajjal

Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.

Soalan:       

Assalamualaikum w.b.t. Apakah yang dimaksudkan dengan berhala ‘Uzza? Mohon penjelasan. Terima Kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

أَفَرَأَيْتُمُ اللَّاتَ وَالْعُزَّىٰ ﴿١٩﴾ وَمَنَاةَ الثَّالِثَةَ الْأُخْرَىٰ ‎

Maksudnya:(Setelah kamu — wahai kaum musyrik Makkah — mendengar keterangan yang membuktikan kekuasaan dan keagungan Allah) maka adakah kamu nampak bahawa al-Lat dan al-‘Uzza (19). Serta Manat yang ketiga, yang bertaraf rendah lagi hina itu (layak disembah dan dianggap sebagai anak-anak perempuan Allah)?

(Surah al-Najm: 19-20)

Syeikh al-Sa‘di ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan, setelah Allah SWT menyebutkan petunjuk dan agama yang benar yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW serta perintah untuk beribadah kepada-Nya dan mentauhidkan-Nya, seterusnya Allah SWT menyebutkan pula kebatilan jalan orang-orang musyrik, berupa ibadah mereka kepada sesuatu yang tidak memiliki kesempurnaan sifat dan juga tidak boleh memberi sebarang manfaat mahupun mudarat. Sebaliknya ia hanyalah nama-nama yang kosong daripada sebarang makna, yang mana nama itu diberikan oleh mereka (orang musyrikin) dan nenek moyang mereka yang jahil lagi sesat. Mereka mengada-ngadakan buatnya nama-nama yang batil yang tidak sepatutnya pun untuknya, lalu menipu diri mereka sendiri dan orang lain daripada kalangan mereka yang sesat. Justeru, sembahan seperti ini tidak berhak untuk disembah walau sedikitpun.

Sekutu-sekutu Allah SWT yang mereka namakan dengan nama-nama ini, mereka mendakwa ia diambil (yakni bersumberkan) daripada sifat-sifat-Nya. Mereka menamakan sebagai “al-Lat” yang berasal daripada “al-Ilah” (merupakan nama Allah) yang berhak untuk disembah, nama “al-‘Uzza” daripada “al-‘Aziz” (yang Maha Perkasa) dan nama “Manat” daripada “al-Manan” (yang Maha Pemberi), yang jauh menyimpang dari nama-nama dan berusaha untuk menyekutukan Allah dengan nama-nama tersebut. Oleh itu, sebenarnya nama-nama ini (yang diberikan itu) tidak memiliki sebarang makna. Maka, sesiapa sahaja yang memiliki akal sekalipun sedikit pasti akan mengetahui kebatilan sifat-sifat yang terdapat padanya. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/819).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, al-Tabari ketika membahaskan mengenai ‘Uzza menyebutkan, ahli takwil (tafsir) berbeza pendapat mengenainya. Sebahagian mereka berpendapat, ia merupakan pokok-pokok yang disembah, dan ini adalah pendapat Mujahid. Sebahagian yang lain berpendapat, ia adalah batu putih, dan ini adalah pendapat Sa‘id bin Jubair. Manakala Ibn Zaid pula berpendapat, ia adalah sebuah rumah di Ta’if yang disembah oleh suku Thaqif, dan ada juga yang berpendapat, ia berada di dalam perut wadi Nakhlah. (Lihat Tafsir al-Tabari, 22/524).

Begitu juga al-Tha‘labi dalam tafsirnya, al-Kasyf wa al-Bayan (9/145) turut menyebutkan, para ulama berselisih pendapat berkenaan al-‘Uzza. Mujahid berpendapat, ia adalah pokok yang disembah oleh suku Ghatfan, dan Rasulullah SAW telah menghantar Khalid bin al-Walid R.A untuk menebangnya. Maka, ketika Khalid R.A hendak menebangnya dengan kapak, beliau berkata:

 يا عزّى كُفْرَانَكِ لَا سُبْحَانَكِ … إِنِّي رَأَيْتُ اللَّهَ قَدْ أَهَانَكِ

Maksudnya:Wahai ‘uzza, engkau dikufuri dan diri engkau juga tidak suci. # Aku lihat Allah SWT telah menghinakan engkau.

Lalu syaitan betina telah keluar darinya, rambutnya terurai, menyeru kepada kecelakaannya dan tangannya diletakkan di atas kepalanya.

Selain itu, Ibn Kathir juga ada menukilkan daripada Ibn Ishaq bahawa dahulunya bangsa Arab menjadikan bersama Kaabah taghut-taghut iaitu rumah-rumah yang diagungkan sebagaimana diagungkan Kaabah. Ia juga memiliki penjaga, dilakukan korban kepadanya sebagaimana dilakukan korban kepada Kaabah, mereka juga melakukan tawaf di sekelilingnya sebagaimana tawaf di Kaabah dan menyembelih haiwan di sisinya. Orang-orang Arab mengetahui kelebihan dan keutamaan Kaabah berbanding ‘Uzza kerana mereka mengetahui bahawasanya Kaabah itu adalah Bait (rumah atau binaan) Ibrahim dan masjidnya. Manakala (rumah yang dimuliakan) bagi Quraisy dan Bani Kinanah pula adalah ‘Uzza di Nakhlah. Penjaganya adalah Bani Syaiban daripada Sulaim yang berada di bawah jagaan (mendapat jaminan perlindungan) Bani Hasyim.

Kemudian Ibn Kathir menambah, Rasulullah SAW telah mengutus Khalid bin al-Walid R.A kepadanya (‘Uzza itu), lalu menghancurkannya. Beliau berkata:

يا عزّى كُفْرَانَكِ لَا سُبْحَانَكِ … إِنِّي رَأَيْتُ اللَّهَ قَدْ أَهَانَكِ

Maksudnya:Wahai ‘uzza, engkau dikufuri dan diri engkau juga tidak suci. # Aku lihat Allah SWT telah menghinakan engkau.” (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 7/423).

Selain daripada itu, menurut al-Dhahhak, ‘Uzza ialah berhala sembahan milik suku Ghatfan. Sa‘ad bin Zalim al-Ghatfani yang telah meletakkan ‘Uzza kepada mereka. Manakala Ibn Zaid pula berpendapat, ia adalah sebuah rumah di Ta’if yang disembah oleh suku Thaqif.

Tambahan lagi, Yaqut al-Hamawi juga ada menyatakan, al-‘Uzza ialah Samurah (iaitu pokok). Dahulunya ia adalah berhala milik suku Ghatfan yang disembah oleh mereka, dan mereka juga telah membina sebuah rumah di atas pokok itu, serta menyediakan beberapa orang penjaga untuknya. Nabi SAW telah mengutus Khalid bin al-Walid R.A untuk menghancurkan rumah itu dan membakar samurah (pokok tersebut).

Perkataan al-‘Uzza (العزّى) ialah kata nama perempuan bagi perkataan al-A‘az (الأعزّ) seperti mana perkataan al-Kubra (الكبرى) yang merupakan kata nama perempuan bagi al-Akbar (الأكبر). Al-A‘az adalah dengan makna al-‘Aziz dan al- ‘Uzza pula dengan makna al-‘Azizah. Ibn Habib menyebutkan, al-‘Uzza ialah sebatang pokok yang terletak di Nakhlah, di sisinya terdapat berhala yang disembah oleh suku Ghatfan, dan penjaganya pula daripada Bani Sirmah bin Murrah. Abu Munzir — selepas menyebutkan berkenaan Manat dan al-Lata — menyatakan, kemudian mereka mengambil al-‘Uzza (sebagai sembahan) yang mana ia adalah lebih baharu daripada al-Lata dan Manat. Perkara tersebut adalah kerana aku mendengar orang Arab menamakan ‘Abd al-‘Uzza dengannya. Orang yang menjadikan al-‘Uzza (sebagai sembahan) ialah Zalim bin As‘ad dan ia berada di lembah Nakhlah al-Syamiyah. Dia telah membina di atasnya sebuah rumah. Selain itu, mereka juga mendengar suara dari dalam rumah tersebut. Orang Arab dan Quraisy memanggilnya sebagai ‘Abd al-‘Uzza, serta ia merupakan berhala yang paling besar dan agung di sisi Quraisy. Mereka akan menziarahinya serta mengadakan korban dan mendekatkan diri kepadanya (taqarrub) melalui sembelihan haiwan. (Lihat Mu‘jam al-Buldan, 4/116-117).

Di samping itu, Fairuz Abadi juga ada menyebutkan, al-‘Uzza ialah berhala atau Samurah (iaitu pohon) yang menjadi sembahan suku Ghatfan. Orang pertama yang mengambilnya (sebagai sembahan) ialah Zalim bin As‘ad, dan kawasan itu terletak atas Zat ‘Irq sehingga ke Bustan dengan jarak 9 batu. Dia membina di atasnya sebuah rumah dan menamakannya sebagai Bussa (بُسّاً). Mereka juga mendengar suara di dalam rumah itu. Maka Rasulullah SAW mengutus Khalid bin al-Walid R.A kepadanya (‘Uzza). Lalu Khalid telah menghancurkan rumah tersebut dan membakar Samurah. (Lihat al-Qamus al-Muhit, hlm. 517).

Kesimpulannya

Walau bagaimanapun, setelah kami meneliti pendapat-pendapat di atas, kami berpendapat bahawa pendapat yang kuat (rajih), al-‘Uzza adalah sebuah rumah di Nakhlah, yang disembah dan diagungkan sebagaimana Kaabah diagungkan. Ia terletak di atas tiga pokok yang suci di sisi mereka, dan di dalamnya ada syaitan betina. Mereka menyembah rumah tersebut dan melakukan tawaf di sekelilingnya. Bukan itu sahaja, malah syaitan betina itu turut berbicara kepada mereka dari dalam rumah tersebut. Oleh sebab itu, semakin bertambah kesesatan mereka. Justeru, Rasulullah SAW telah mengutus Khalid bin al-Walid R.A untuk menghancurkan rumah dan menebang pokok tersebut serta membunuh syaitan betina itu. Syaitan betina itulah pada hakikatnya yang mereka sembah.

Hal ini adalah sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu al-Tufail, katanya:

 لَمَّا فَتْحَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَكَّةَ بَعَثَ خَالِدَ بْنَ الْوَلِيدِ إِلَى نَخْلَةٍ، وَكَانَتْ بِهَا الْعُزَّى، فَأَتَاهَا خَالِدٌ , وَكَانَتْ عَلَى ثَلَاثِ سَمُرَاتٍ، فَقَطَعَ السَّمُرَاتِ، وَهَدَمَ الْبَيْتَ الَّذِي كَانَ عَلَيْهَا، ثُمَّ أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَخْبَرَهُ، فَقَالَ: «ارْجِعْ فَإِنَّكَ لَمْ تَصْنَعْ شَيْئًا» , فَرَجَعَ خَالِدٌ، فَلَمَّا بَصُرَتْ بِهِ السَّدَنَةُ وَهُمْ حَجَبَتُهَا، أَمْعَنُوا فِي الْجَبَلِ , وَهُمْ يَقُولُونَ: يَا عُزَّى يَا عُزَّى، فَأَتَاهَا خَالِدٌ , فَإِذَا امْرَأَةٌ عُرْيَانَةٌ , نَاشِرَةٌ شَعْرَهَا , تَحْتَفِنُ التُّرَابَ عَلَى رَأْسِهَا، فَعَمَّمَهَا بِالسَّيْفِ حَتَّى قَتَلَهَا، ثُمَّ رَجَعَ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَخْبَرَهُ , فَقَالَ: تِلْكَ الْعُزَّى

Maksudnya: Ketika Rasulullah SAW menakluk kota Makkah, Baginda mengutus Khalid bin al-Walid ke Nakhlah, tempat terletaknya berhala ‘Uzza, dan ia berada di atas tiga pohon yang dipanggil Samurah. Khalid pun menebang ketiga-tiga pohon tersebut dan meruntuhkan rumah yang berada di atasnya. Setelah itu, Khalid kembali bertemu Nabi SAW dan memberitahu apa yang telah dilakukannya. Namun, Baginda bersabda: ‘Kembalilah kerana sesungguhnya engkau belum lagi melakukan apa-apa.’ Maka, beliau pun kembali ke tempat tersebut. Tatkala para penjaganya melihat kedatangan Khalid, mereka bersungguh-sungguh melindungi dan menyembunyikannya ke dalam bukit sambil berteriak: ‘Wahai ‘Uzza! Wahai ‘Uzza!’ Akhirnya Khalid datang ke tempat itu. Ternyata dia seorang perempuan telanjang yang terurai rambutnya, dan dia ketika itu sedang menuangkan debu ke atas kepalanya dengan menggunakan kedua telapak tangannya. Khalid pun menghunuskan pedang ke arah perempuan itu sehingga berhasil membunuhnya. Setelah itu Khalid kembali menemui Nabi dan memberitahu apa yang telah dilakukannya. Maka, Nabi bersabda: ‘Itulah al-‘Uzza.’

Riwayat al-Nasa’i (11483); sanad hadith ini dinilai hasan oleh Syeikh Muqbil al-Wadi‘i dalam al-Sahih al-Musnad (533)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 21 Februari 2023 bersamaan 30 Rejab 1444H

Leave a Reply