#47: Pengislaman Mariah al-Qibtiyyah

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Bagaimanakah cara pengislaman Mariah al-Qibtiyyah? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, Nabi SAW memiliki beberapa orang hamba perempuan. Hal ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Ibn al-Qayyim yang menukilkan daripada Abu ‘Ubaidah bahawa Nabi SAW memiliki empat orang hamba iaitu Mariah yang merupakan ibu kepada anaknya, Ibrahim, Raihanah, seorang hamba perempuan yang cantik yang diperoleh dalam sebahagian tawanan, dan seorang lagi hamba perempuan yang dihadiahkan oleh Zainab binti Jahsy kepada Baginda. (Lihat Zad al-Ma‘ad, 1/114).

Bagi menjawab persoalan ini, kami mulakan dengan menerangkan serba sedikit biodata beliau terlebih dahulu. Beliau ialah Mariah binti Syam‘un. Dia merupakan seorang hamba yang dihadiahkan oleh pembesar Iskandariyyah dan Mesir iaitu al-Muqauqis kepada Rasulullah SAW. Pembesar itu juga turut menghadiahkan bersamanya hamba yang lain iaitu saudara perempuannya, Sirin dan juga Khasi yang dipanggil sebagai Makbur. Kemudian, Rasulullah SAW menghadiahkan Sirin kepada Hassan bin Thabit, dan dia ialah ibu kepada ‘Abd al-Rahman bin Hassan. (Lihat al-Isti‘ab fi Ma‘rifah al-Ashab, 4/1912).

Mariah al-Qibtiyyah mempunyai seorang anak lelaki bersama Rasulullah SAW yang diberi nama Ibrahim. Ibrahim bin Muhammad lahir pada bulan Zulhijjah tahun 8 Hijrah. Al-Zubair menyebutkan daripada syeikh-syeikhnya bahawa Ummu Ibrahim Mariah melahirkannya di suatu kawasan al-‘Aliyah yang dikenali pada hari ini sebagai Masyrabah Umm Ibrahim. Orang yang menyambut kelahiran Ibrahim ialah Salma maulah Nabi SAW, yang merupakan isteri kepada Abu Rafi‘. Kemudian Abu Rafi‘ menyampaikan berita gembira tersebut kepada Nabi SAW, lalu Baginda menghadiahkannya seorang hamba.

Walau bagaimanapun, umur Ibrahim bin Muhammad tidak panjang kerana wafat ketika masih lagi kecil. Ibrahim meninggal dunia di Bani Mazin di sisi Ummu Burdah ketika berusia 18 bulan iaitu pada bulan Zulhijjah tahun 8 Hijrah. Namun ada yang berpendapat, beliau dilahirkan pada bulan Zulhijjah tahun 8 Hijrah dan wafat pada tahun 10 Hijrah. Jenazahnya telah dimandikan oleh Ummu Burdah dan dibawa dari rumah Ummu Burdah di atas katil kecil. Rasulullah SAW telah mensolatkannya di Baqi‘.

Menurut al-Waqidi, Ibrahim telah meninggal dunia pada hari Selasa, setelah berlalunya sepuluh malam Rabi‘ul Awwal tahun 10 Hijrah dan dikebumikan di Baqi‘. Ibrahim telah wafat di Bani Mazin di sisi Ummu Burdah binti al-Munzir daripada Bani al-Najjar, ketika berusia 18 bulan. Akan tetapi ada juga yang berpendapat, Ibrahim meninggal dunia ketika berusia 16 bulan 8 hari, dan juga yang berpendapat, 16 bulan 6 hari, pada tahun 10 Hijrah.  (Lihat al-Isti‘ab fi Ma‘rifah al-Ashab, 1/54-56).

Mariah al-Qibtiyyah telah meninggal dunia pada zaman pemerintahan Umar bin al-Khattab, iaitu pada bulan Muharram tahun 16 Hijrah. Umar R.A telah menghimpunkan orang ramai dengan sendirinya bagi menyaksikan jenazahnya. Jenazahnya juga telah disolatkan (diimamkan) oleh Umar R.A. Beliau dikebumikan di perkuburan Baqi‘. (Lihat al-Isti‘ab fi Ma‘rifah al-Ashab, 4/1912).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, terdapat dua pendapat berkenaan kisah pengislaman Mariah al-Qibtiyyah:

Pertama: Mariah al-Qibtiyyah memeluk Islam sebelum dibawa ke Madinah melalui dakwah utusan Rasulullah SAW iaitu Hatib bin Abu Balta‘ah.

Hal ini adalah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn Sa‘ad dalam al-Tabaqat al-Kubra (8/212) dengan sanadnya daripada Abdullah bin ‘Abd al-Rahman bin Abu Sa‘sa‘ah, katanya: “Pembesar Iskandariyyah iaitu al-Muqauqis telah menghantar kepada Rasulullah SAW pada tahun 7 Hijrah Mariah dan saudara perempuannya, Sirin, seribu mithqal emas, 20 pasang kain yang lembut, baghal yang dinamakan sebagai al-Duldul, keldai yang dinamakan sebagai ‘Ufair dan dipanggil juga sebagai Ya‘fur. Bersama mereka juga Khasi (iaitu seorang hamba) yang dipanggil Makbur, seorang yang sudah lanjut usianya dan merupakan saudara lelaki kepada Mariah. Al-Muqauqis telah mengutus kesemua itu bersama Hatib bin Abu Balta‘ah. Kemudian Hatib bin Abu Balta‘ah telah menerangkan kepada Mariah mengenai Islam dan mendorongnya untuk memeluk Islam. Maka, Mariah telah memeluk agama Islam, begitu juga dengan saudara perempuannya. Manakala Khasi pula tetap kekal dalam agama asalnya sehinggalah dia memeluk Islam di Madinah selepas itu pada zaman Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW tertarik kepada Ummu Ibrahim kerana beliau berkulit putih dan memiliki kecantikan. Maka Rasulullah SAW telah meletakkannya untuk tinggal di suatu kawasan al-‘Aliyah yang dikenali pada hari ini sebagai Masyrabah Umm Ibrahim. Baginda pernah mendatanginya di sana dan memakaikannya hijab. Baginda menggaulinya sebagai seorang tuan dan hamba. Apabila beliau hamil, beliau melahirkan anak di sana dan orang yang menyambut kelahiran tersebut ialah Salma maulah Rasulullah SAW. Kemudian, Abu Rafi‘ suami kepada Salma datang bertemu Baginda untuk menyampaikan berita gembira mengenai kelahiran Ibrahim. Lalu Baginda SAW menghadiahkan kepadanya seorang hamba. Perkara tersebut berlaku pada bulan Zulhijjah tahun 8 Hijrah.”

Kedua: Mariah al-Qibtiyyah memeluk Islam disebabkan oleh dakwah Rasulullah SAW kepadanya ketika mana sampai di Madinah.

Berkenaan hal ini, Ibn Kathir menukilkan daripada al-Waqidi yang menyebutkan, Ya‘qub bin Muhammad bin Abu Sa‘sa‘ah menyampaikan kepada kami, daripada Abdullah bin ‘Abd al-Rahman bin Abu Sa‘sa‘ah, katanya: “Rasulullah SAW tertarik dengan Mariah al-Qibtiyyah. Beliau ialah seorang yang berkulit putih, rambutnya kerinting dan memiliki kecantikan. Maka, Rasulullah SAW telah meletakkannya dan saudara perempuannya untuk tinggal bersama Ummu Sulaim binti Milhan. Setelah itu, Rasulullah SAW telah masuk menemui mereka berdua dan menerangkan mengenai agama Islam kepada mereka. Lalu kedua-duanya memeluk agama Islam di sana. Setelah itu, Baginda telah menggaulinya sebagai seorang tuan dan hamba. Kemudian Baginda telah memindahkannya ke harta (tanah) miliknya di al-‘Aliyah, yang asalnya merupakan harta-harta milik Bani al-Nadhir. Ketika itu adalah musim panas dan buah-buah kurma dituai. Baginda SAW mendatanginya di sana. Selain itu, Mariah al-Qibtiyyah juga ialah seorang yang baik agamanya (kuat pegangannya).

Di samping itu, Baginda SAW telah menghadiahkan saudara perempuannya iaitu Sirin kepada Hassan bin Thabit dan dia telah melahirkan buat Hassan seorang anak bernama ‘Abd al-Rahman. Manakala Mariah pula telah melahirkan buat Rasulullah SAW seorang anak lelaki yang diberi nama Ibrahim. Baginda SAW telah melakukan akikah untuknya dengan seekor kibasy pada hari ketujuh kelahirannya, mencukur rambutnya, dan bersedekah kepada orang miskin mengikut kadar timbangan rambut tersebut dengan perak. Begitu juga Baginda memerintahkan agar rambut yang dicukur itu ditanam di dalam tanah. Baginda menamakannya sebagai Ibrahim.

Orang yang menyambut kelahiran tersebut ialah Salma maulah Rasulullah SAW. Lalu dia keluar menemui suaminya, Abu Rafi‘ mengkhabarkan kepadanya bahawa Mariah telah melahirkan seorang anak lelaki. Kemudian Abu Rafi‘ telah pergi menemui Rasulullah SAW dan menyampaikan berita gembira tersebut, lalu Baginda menghadiahkannya seorang hamba. Isteri-isteri Rasulullah SAW merasa cemburu dengannya, dan kecemburuan itu semakin bertambah bila mana dikurniakan daripadanya seorang anak lelaki. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 8/229)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 21 Februari 2023 bersamaan 30 Rejab 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *