Soalan
Adakah mesti dengan satu nafas dalam akad pernikahan?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Nikah menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud sebuah akad (perjanjian) yang mengandungi lafaz ijab dan kabul yang menghalalkan pasangan lelaki dan perempuan untuk melakukan persetubuhan.[1]
Lafaz nikah ada disebut di dalam firman Allah SWT:
فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ
Maksudnya: “…maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain)…”
(Surah Al-Nisa’: 3)
Islam menggalakkan umatnya supaya berkahwin kerana perbuatan itu merupakan Sunnah Baginda Nabi SAW. Selain itu perkahwinan juga terdapat pelbagai kebaikan dan faedah, sama ada kepada individu mahupun masyarakat. Hal ini seperti yang disebut di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Ayyub RA, Sabda Nabi SAW:
أَرْبَعٌ مِنْ سُنَنِ الْمُرْسَلِينَ: الْحَيَاءُ، وَالتَّعَطُّرُ، وَالسِّوَاكُ، وَالنِّكَاحُ
Maksudnya: Empat perkara yang merupakan sunnah para rasul, iaitu sifat malu, berwangi-wangian, bersugi dan nikah.
Riwayat al-Tirmizi (1080) dan Ahmad (23628)
Dalam memenuhi tuntutan perkahwinan, seseorang itu tidak dapat lari dari memenuhi tuntuan syarak agar perkahwinannya itu sempurna. Justeru wajib bagi seseorang yang hendak berkahwin untuk mematuihi rukun dan syarat pernikahan supaya perkahwinannya itu menjadi sah. Dr Muhammad Zuhaili menyebut tidak sempurna akad nikah melainkan dengan terlaksana rukunnya dan melengkapi segala syarat bagi rukun tersebut. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh a-Syafi’e, 4/53)
Pengarang al-Fiqh al-Manhaji menyebut rukun akad nikah mempunyai lima rukun iaitu:
- Sighah
- Pengantin perempuan
- Pengantin lelaki
- Wali
- Dua orang saksi (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/55)
Dr. Muhammad Zuhaili memperincikan lagi rukun akad nikah kepada enam iaitu Sighah (Ijab dan Qabul), al-A’qidan (Pengantin lelaki dan wali), pengantin perempuan dan dua orang saksi. (Lihat al-Mu’tamad, 4/53)
Sighah bermaksud lafaz atau perbuatan yang disampaikan oleh orang yang sedang akad (perjanjian) untuk menunjukkan kerelaannya. Para fuqaha berpendapat perkara yang terkandung di dalam sighah mestilah Ijab (lafaz penawaran) dan Qabul (lafaz penerimaan). (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 30/200))
Dr Muhammad al-Zuhaili di dalam al-Mu’tamad menyatakan lagi bahawa akad nikah tidak sah melainkan dengan Sighah akad nikah iaitu ijab dan qabul. Secara asalnya, Sighah hanya melibatkan dua pihak sahaja iaitu pengantin lelaki dan wali sahaja:
- Ijab bermaksud lafaz penawaran daripada wali pengantin perempuan yang menyebut “aku kahwinkan kamu” atau “aku nikahkan kamu” dan seumpamanya.
- Qabul bermaksud lafaz penerimaan daripada pengantin lelaki dengan menyebut “aku terima perkahwinannya” atau “aku terima nikahnya” atau “aku redha dengan menikahinya”. (Lihat al-Mu’tamad, 4/53)
Berdasarkan persoalan di atas, tidak disyaratkan satu nafas dalam menjawab lafaz nikah. Tetapi syarat yang sebenarnya ialah mesti berturutan berdasarkan mazhab al-Syafi’e.
Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut: Antara syarat lafaz nikah adalah dengan ijab oleh wali dan qabul oleh pengantin lelaki secara berturutan. Jika wali berkata: “Aku kahwinkan kamu dengan anak perempuanku,” dan selepas tempoh yang lama, pengantin lelaki menjawab: “Aku terima nikahnya,” maka aqad nikah itu tidak sah. Hal ini adalah kerana pemisahan yang lama antara ijab dan qabul tersebut. Dalam tempoh yang lama ini, ada kemungkinan wali menarik lafaz ijabnya semula. Adapun diam yang sekejap antara ijab dan qabul, seperti bernafas atau bersin, tidaklah merosakkan aqad nikah tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/551-552)
Namun begitu, mengikut mazhab Hanafi dan Hanbali: Tidak mengapa berlaku pemisahan yang lama antara ijab dan qabul jika sekiranya masih dalam majlis dan tidak disibukkan dengan perkara yang lain.
Sebagai penutup, kami mengesyorkan kepada para imam atau jurunikah agar memudahkan proses lafaz nikah ini dan tidak memberatkannya apabila telah cukup syarat. Hal ini selepas diambil kira keadaan pangantin pada ketika itu mungkin dalam keadaan gugup, berdarah gemuruh dan sebagainya.
Semoga Allah memberi kefahaman kepada kita dalam mengamalkan syariat-Nya serta memudahkan kita dalam setiap urusan. Amin. Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: Wahai Tuhan kami, berikanlah kepada kami isteri-isteri dan juga anak pinak yang menjadi penyejuk mata bagi kami, serta jadikanlah kami ini sebagai pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.
Wallahua`lam.
Bertarikh: 14 Februari 2022 bersamaan 12 Rejab 1443H
[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=nikah