Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Sebagaimana takwil mimpi, jika kita diberi pakaian yang labuh, yang cantik,
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan pbesar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Banyak isu yang terkait dengan mimpi. Justeru, kami bahagikan kepada beberapa perkara:
Pertama: Mimpi yang benar dan mainan syaitan
Dalam hal ini, kami kemukakan hadith Nabi SAW, daripada Abu Qatadah bahawa Baginda bersabda:
الرُّؤْيَا الصَّادِقَةُ مِنَ اللهِ، وَالحُلْمُ مِنَ الشَّيْطَانِ.
Maksudnya: “Mimpi yang benar daripada Allah, dan mimpi yang buruk daripada syaitan.”
Riwayat al-Bukhari (6984)
Kedua: Sikap kita terhadap mimpi
Perlunya kita memahami jika ia baik adalah daripada Allah maka bolehlah kita ceritakan sebaliknya jika tidak, ia daripada syaitan, maka hendaklah kita berdoa berlindung daripadanya. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW, daripada Abu Sa‘id al-Khudri, bahawa dia mendengar Nabi SAW bersabda:
إِذَا رَأَى أَحَدُكُمْ رُؤْيَا يُحِبُّهَا، فَإِنَّمَا هِيَ مِنَ اللهِ، فَلْيَحْمَدِ اللهَ عَلَيْهَا وَلْيُحَدِّثْ بِهَا، وَإِذَا رَأَى غَيْرَ ذَلِكَ مِمَّا يَكْرَهُ، فَإِنَّمَا هِيَ مِنَ الشَّيْطَانِ، فَلْيَسْتَعِذْ مِنْ شَرِّهَا، وَلاَ يَذْكُرْهَا لِأَحَدٍ، فَإِنَّهَا لاَ تَضُرُّهُ.
Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kalian bermimpi melihat sesuatu yang disenanginya, maka sesungguhnya mimpi itu daripada Allah, kerana itu hendaklah dia memuji Allah dan menceritakannya. Dan apabila dia bermimpi melihat sesuatu yang tidak disenanginya, sesungguhnya mimpi itu daripada syaitan, maka hendaklah dia memohon perlindungan daripada keburukannya dan tidak menceritakannya, kerana sesungguhnya mimpi itu tidak akan membahayakannya.”
Riwayat al-Bukhari (6985)
Ketiga: Mimpi adalah salah satu juzuk daripada 46 juzuk kenabian
Benarlah sabda Nabi SAW, daripada ‘Ubadah bin al-Samit, bahawa Baginda bersabda:
رُؤْيَا المُؤْمِنِ جُزْءٌ مِنْ سِتَّةٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنَ النُّبُوَّةِ
Maksudnya: “Mimpi seorang mukmin adalah satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian.”
Riwayat al-Bukhari (6987)
Guru kami Syeikh ‘Atiyyah Salim berkata: Disebut 46 juzuk kenabian dengan maksud usia risalah Rasulullah SAW kepada umatnya selama 23 tahun. Sedangkan datang dalam bentuk mimpi pada permualaan wahyu selama 6 bulan, ketika di Gua Hira’. Justeru, 6 bulan mewakili setengah tahun. Maka jadilah mimpi itu 1/46 juzuk kenabian.
Keempat: Mimpi yang baik sebagai berita gembira
Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَمْ يَبْقَ مِنَ النُّبُوَّةِ إِلَّا المُبَشِّرَاتُ. قَالُوا: وَمَا المـُبَشِّرَاتُ؟ قَالَ: الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ.
Maksudnya: “Tiada yang berbaki daripada kenabian selain berita gembira.” Mereka bertanya: “Apa itu berita gembira?” Baginda menjawab: “Mimpi yang baik.”
Riwayat al-Bukhari (6990)
Menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith Abu Sa’id al-Khudri R.A, katanya:
سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: «بَيْنَا أَنَا نَائِمٌ رَأَيْتُ النَّاسَ عُرِضُوا عَلَيَّ وَعَلَيْهِمْ قُمُصٌ، فَمِنْهَا مَا يَبْلُغُ الثَّدْيَ، وَمِنْهَا مَا يَبْلُغُ دُونَ ذَلِكَ، وَعُرِضَ عَلَيَّ عُمَرُ بْنُ الخَطَّابِ، وَعَلَيْهِ قَمِيصٌ يَجْتَرُّهُ». قَالُوا: فَمَا أَوَّلْتَهُ يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: «الدِّينَ».
Maksudnya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Ketika aku sedang tidur, aku melihat (di dalam mimpi) manusia-manusia yang ditunjukkan kepadaku dalam keadaan mereka mengenakan pakaian, di antara pakaian mereka ada yang sampai ke paras dada dan ada juga yang labuh dari itu. Dan diperlihatkan pula kepadaku Umar bin al-Khattab mengenakan pakaian yang terseret.” Mereka (para sahabat) bertanya: “Apa takwilanmu wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “(Ia adalah) agama.”
Riwayat al-Bukhari (7009)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا
Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”