#4727: Rawatan Sihir

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah sihir boleh dirawat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, kami nyatakan bahawa amalan sihir termasuk dalam dosa besar sebagaimana hadis Abu Hurairah R.A, sabda Nabi SAW:

«اجْتَنِبُوا المُوبِقَاتِ: الشِّرْكُ بِاللَّهِ، وَالسِّحْرُ»

Maksudnya: “Jauhilah perkra-perkara yang membinasakan: Iaitu mensyirikkan Allah dan sihir.”

Riwayat al-Bukhari (5764)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan, boleh. Hal ini berdasarkan Aisyah R.Anha, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سُحِرَ، حَتَّى كَانَ يَرَى أَنَّهُ يَأْتِي النِّسَاءَ وَلاَ يَأْتِيهِنَّ، قَالَ سُفْيَانُ: وَهَذَا أَشَدُّ مَا يَكُونُ مِنَ السِّحْرِ، إِذَا كَانَ كَذَا. قَالَ: فَانْتَبَهَ مِنْ نَوْمِهِ ذَاتَ يَوْمٍ، فَقَالَ: «يَا عَائِشَةُ، أَعَلِمْتِ أَنَّ اللَّهَ قَدْ أَفْتَانِي فِيمَا اسْتَفْتَيْتُهُ فِيهِ، أَتَانِي رَجُلاَنِ، فَقَعَدَ أَحَدُهُمَا عِنْدَ رَأْسِي، وَالآخَرُ عِنْدَ رِجْلَيَّ، فَقَالَ الَّذِي عِنْدَ رَأْسِي لِلْآخَرِ: مَا بَالُ الرَّجُلِ؟ قَالَ: مَطْبُوبٌ، قَالَ: وَمَنْ طَبَّهُ؟ قَالَ: لَبِيدُ بْنُ أَعْصَمَ – رَجُلٌ مِنْ بَنِي زُرَيْقٍ حَلِيفٌ لِيَهُودَ كَانَ مُنَافِقًا – قَالَ: وَفِيمَ؟ قَالَ: فِي مُشْطٍ وَمُشَاقَةٍ، قَالَ: وَأَيْنَ؟ قَالَ: فِي جُفِّ طَلْعَةٍ ذَكَرٍ، تَحْتَ رَاعُوفَةٍ فِي بِئْرِ ذَرْوَانَ» قَالَتْ: فَأَتَى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ البِئْرَ حَتَّى اسْتَخْرَجَهُ، فَقَالَ: «هَذِهِ البِئْرُ الَّتِي أُرِيتُهَا، وَكَأَنَّ مَاءَهَا نُقَاعَةُ الحِنَّاءِ، وَكَأَنَّ نَخْلَهَا رُءُوسُ الشَّيَاطِينِ» قَالَ: فَاسْتُخْرِجَ، قَالَتْ: فَقُلْتُ: أَفَلاَ؟ – أَيْ تَنَشَّرْتَ – فَقَالَ: «أَمَّا اللَّهُ فَقَدْ شَفَانِي، وَأَكْرَهُ أَنْ أُثِيرَ عَلَى أَحَدٍ مِنَ النَّاسِ شَرًّا»

Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah disihir sehingga Baginda SAW menyangka bahawa Baginda menggauli isteri-isteri Baginda sedangkan Baginda SAW tidak berbuat demikian.” Sufyan berkata: “Inilah sihir yang paling keras jika kesannya sedemikian rupa.” Maka Baginda telah bangun daripada tidur Baginda pada suatu hari, lalu Baginda SAW bersabda: “Wahai Aisyah, adakah engkau tahu bahawa Allah SWT telah memberitahuku tentang apa yang aku tanyakan pada-Nya? Telah datang kepadaku dua orang lelaki lalu salah seorang daripada mereka telah duduk di kepalaku dan seorang lagi telah duduk di kedua kakiku. Yang berada di bahagian kepalaku bertanya kepada temannya: “Apa yang berlaku dengan lelaki ini? Seorang lagi berkata: “Baginda disihir”. Dia bertanya lagi: “Siapakah yang menyihirnya?” Dia berkata: “Labid bin al-A‘sam, seorang lelaki dari bani Zuraiq, dia sekutu Yahudi dan seorang munafik.” Dia berkata: “Pada apakah dia menyihir?” Seorang lagi menjawab: “Pada sikat dan rambut yang terlekat padanya.” Dia bertanya lagi: “Di mana?” Sahabatnya menjawab: “Pada kulit mayang kurma jantan yang diletakkan di bawah batu di dalam telaga Zarwan.” Aisyah R.Anha berkata: Bahawa Rasulullah SAW kemudiannya pergi ke telaga itu dan mengeluarkan barang-barang sihir itu lalu Baginda SAW berkata: “Inilah telaga yang diperlihatkan kepadaku (di dalam mimpi), airnya seakan warna campuran inai, dan rupa pohon tamarnya seakan-akan kepala syaitan.” Baginda SAW berkata: “Kemudian barang-barang itu dikeluarkan.” Aku (Aisyah) bertanya (kepada Nabi SAW): “Mengapa tidak engkau melakukan ruqyah (untuk mengembalikan kepadanya perbuatannya itu)?” Baginda SAW menjawab: “Ketahuilah, demi Allah, sesungguhnya Dia yang telah menyembuhkanku, dan aku tidak menyukai tersebarnya kejahatan dalam kalangan manusia.”

Riwayat al-Bukhari (5765)

Kami akhiri dengan surah al-Falaq:

قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ (1) مِن شَرِّ مَا خَلَقَ (2) وَمِن شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ (3) وَمِن شَرِّ النَّفَّاثَاتِ فِي الْعُقَدِ (4) وَمِن شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad); “Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk, (1) “Dari bencana makhluk-makhluk yang Ia ciptakan; (2) “Dan dari bahaya gelap apabila ia masuk; (3) “Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan); (4) “Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya”. (5)

(Surah al-Falaq: 1-5)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *