Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah cara yang terbaik untuk mengelak daripada api fitnah yang boleh menggugat agama dan pegangan seseorang Muslim.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَّا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنكُمْ خَاصَّةً

Maksudnya: Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum).

(Surah al-Anfal: 25)

Secara umumnya, perkataan ‘fitnah’ berbeza maksudnya dari segi penggunaannya dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu. Dalam bahasa Arab ia memiliki beberapa makna, di antaranya seperti ujian dengan api, dugaan, terpesona dengan sesuatu, keraguan dan kekusutan fikiran, seksaan, kesesatan dan lain-lain. (Lihat Lihat Tahzib al-Lughah, 14/296; Maqayis al-Lughah, 4/472; Kamus Besar Arab-Melayu Dewan, hlm. 1730.)

Manakala dalam masyarakat Melayu, perkataan fitnah memberi makna yang lebih spesifik. Ia hanya merujuk kepada sebarang tuduhan yang diada-adakan untuk memburukkan atau membencanakan seseorang atau sesuatu pihak yang membawa kepada porak-peranda. (Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=fitnah. Diakses pada 28 Mac 2022)

Justeru, jelaslah terdapat perbezaan makna perkataan ‘fitnah’ antara penggunaannya dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu.

Fitnah yang terbesar adalah yang membawa seseorang itu ke arah kekufuran tanpa disedarinya. Benarlah hadith Rasulullah SAW: Daripada Abu Hurairah R.A, sabda Rasulullah SAW:

بَادِرُوا بِاْلأَعْمَالِ فِتَنًا كَقِطَعِ اللَّيْلِ الْمُظْلِمِ، يُصْبِحُ الرَّجُلُ مُؤْمِنًا وَيُمْسِي كَافِرًا، أَوْ يُمْسِي مُؤْمِنًا وَيُصْبِحُ كَافِرًا يَبِيعُ دِينَهُ بِعَرَضٍ مِنَ الدُّنْيَا.

Maksudnya: “Bersegeralah kamu melakukan amalan soleh (sebelum datangnya) fitnah-fitnah yang bagaikan malam yang gelap-gelita. Seseorang dalam keadaan beriman pada waktu pagi, kemudian menjadi kafir pada waktu petang. Atau dalam keadaan beriman pada waktu petang, kemudian menjadi kafir pada waktu pagi. Dia menjual agamanya dengan kesenangan dunia.”

Riwayat Muslim (118)

Dalam menjawab persoalan di atass, kami kemukakan dua cara sebagaimana saranan Nabi SAW:

Pertama, hadith Abu Sa‘id al-Khudri R.A, bahawa dia berkata: Rasulullah SAW bersabda:

«يُوشِكُ أَنْ يَكُونَ خَيْرَ مَالِ الْمُسْلِمِ غَنَمٌ يَتْبَعُ بِهَا شَعَفَ الجِبَالِ وَمَوَاقِعَ القَطْرِ يَفِرُّ بِدِينِهِ مِنَ الفِتَنِ».

Maksudnya: “Hampir tiba masanya, sebaik-baik harta seorang Muslim adalah kambing. Dia mengembalanya di puncak-puncak bukit dan tempat-tempat air hujan berkumpul (lembah-lembah). Dia lari menyelamatkan sumber-sumber air bersama kambing-kambing itu. Dia lari menyelamatkan agamanya daripada fitnah.”

Riwayat al-Bukhari (7088)

Kedua, daripada  Abu Najih al-Irbadh bin Sariah RA, katanya: Rasulullah SAW  memberi nasihat  kepada  kami yang  membuatkan  hati  kami  bergetar  dan  air  mata  kami bercucuran. Maka kami berkata: “Ya Rasulullah, seolah-olah ini merupakan nasihat perpisahan, maka berilah kami wasiat.” Rasulullah SAW bersabda:

أُوْصِيْكُمْ بِتَقْوَى اللهِ وَالسَّمْعِ وَالطَّاعَةِ وَإِنْ تَأَمَّرَ عَلَيْكُمْ عَبْدٌ، فَإِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ فَسَيَرَى اخْتِلافًا كَثِيرًا؛ فَعَلَيكُمْ بِسُنَّتِيْ وَسُنَّـةِ الْـخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْـمَهْدِيِّينَ عَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ، وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الْأُمُورِ؛ فَإِنَّ كُلَّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ.

Maksudnya: “Saya wasiatkan kamu agar bertakwa kepada Allah SWT, tunduk dan patuh kepada pemimpin kamu meskipun yang memimpin kamu adalah seorang hamba. Akan ada  dalam kalangan kamu  yang  hidup  (setelah  ini)  akan  menyaksikan  banyaknya  berlaku perselisihan. Hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah Khulafa’ al-Rasyidin yang mendapat  petunjuk,  gigitlah  (peganglah  dengan  kuat)  dengan  geraham. Hendaklah kamu menghindari perkara yang diada-adakan, kerana semua perkara bid’ah adalah sesat.”

Riwayat Abu Daud (4607) dan al-Tirmizi (2678), beliau berkata: Hasan sahih

Kami katakan, berdasarkan hadith ini: Wajib mengikut sunnah Nabi SAW. Inilah jalan penyelamat dengan kembali kepada sunnah Rasul dan sunnah Khulafa’ al-Rasyidin. Mereka adalah bintang ummah yang dididik secara langsung oleh Baginda SAW, mereka banyak menghayati keperibadian Rasulullah SAW sehingga Baginda SAW menamakan mereka sebagai khulafa’ al-Rasyidin al-Mahdiyyin yang memberi maksud ‘pengganti-pengganti yang pintar dan mendapat petunjuk’. Ini kerana mereka mengetahui akan kebenaran dan berhukum dengannya. Begitu juga Allah hidayahkan mereka dengan kebenaran.

Perintah berpegang dengan sunnah dan khulafa’ al-Rasyidin yang dibahasakan dengan gigi taring atau gerham untk menunjukkan kesungguhan berpegang dengan petunjuk di atas. Ibn Hajar al-Asqalani berkata: “Khulafa’ al-Rasyidin di sini ialah Khalifah yang empat dengan ijma’ ulama iaitu Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Uthman dan Saidina Ali R.Anhum.” (Lihat al-Kafi Syarah Hadis 40, hlm. 298-299)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Leave a Reply