#4738: Tujuh Dosa Besar

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Boleh terangkan tujuh dosa besar yang dinyatakan dalam hadith? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu takrif dosa. Secara umumnya, terdapat beberapa beberapa lafaz yang mengandungi makna dosa di dalam al-Quran, antaranya:

  • Lafaz Zanb (ذنب)

Di dalam al-Quran, ia disebut sebanyak 39 kali, di mana 21 daripadanya disebut dalam surah Makkiyyah dan 18 disebut dalam surah Madaniyyah. (Lihat al-Mu‘jam al-Mufahras li Alfaz al-Quran, hlm. 339) Ia merangkumi makna dosa, akhir sesuatu dan digunakan bagi menunjukkan dosa yang telah lalu.

  • Lafaz Khati’ah (خطيئة)

Dalam al-Quran, lafaz ini disebut sebanyak 22 kali. Makna yang terkandung pada lafaz ini adalah digunakan untuk menyatakan berlakunya suatu kesalahan sama ada yang disengajakan atau kerana lupa. (Lihat al-Mu‘jam al-Mufahras li Alfaz al-Quran, hlm. 288 dan Lisan al-‘Arab, 5/134)

  • Lafaz Junah (جُنَاحٌ)

Lafaz ini juga merupakan salah satu lafaz dalam al-Quran yang mengandungi makna dosa.

Seterusnya, berkenaan pengertian dosa besar, terdapat beberapa ayat yang menunjukkan kepada perkara itu. Di antaranya firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ يَجْتَنِبُونَ كَبَائِرَ الْإِثْمِ وَالْفَوَاحِشَ وَإِذَا مَا غَضِبُوا هُمْ يَغْفِرُونَ

Maksudnya: Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji; dan apabila mereka marah (disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka), mereka memaafkannya.

(Surah al-Syura: 37)

Allah SWT turut berfirman:

إِن تَجْتَنِبُوا كَبَائِرَ مَا تُنْهَوْنَ عَنْهُ نُكَفِّرْ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَنُدْخِلْكُم مُّدْخَلًا كَرِيمًا

Maksudnya: Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu, dan kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga).

(Surah al-Nisa’: 31)

Ibnu Abbas R.Anhuma dalam menjelaskan ayat di atas berkata:

الكَبِيْرَةُ كُلُّ ذَنْبٍ خَتَمَهُ اللهُ بِنَارٍ، أَوْ غَضَبٍ، أَوْ لَعْنَةٍ، أَوْ عَذَابٍ

Maksudnya: Dosa besar adalah yang Allah akhiri dengan ancaman neraka, atau kemurkaan, atau laknat atau azab seksa. (Lihat Jami‘ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran, 5/59 dan Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/282)

Al-Hasan al-Basri menyatakan:

كُلّ ذَنْب نَسَبَهُ اللَّه تَعَالَى إِلَى النَّار فَهُوَ كَبِيرَةٌ

Maksudnya: “Setiap dosa yang Allah nisbahkan dengan neraka maka itu adalah dosa besar.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/285).

Penjelasan lanjut berkenaan pengertian dosa besar bolehlah merujuk kepada artikel kami yang bertajuk: #446: Pengertian Dosa Besar.[1]

Kemudian, dalam menjawab soalan di atas, tujuh dosa besar itu dinyatakan melalui hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

اجْتَنِبُوا السَّبْعَ الـمُوبِقَاتِ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ؟ قَالَ: الشِّرْكُ بِاللَّهِ، وَالسِّحْرُ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا، وَأَكْلُ مَالِ اليَتِيمِ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ، وَقَذْفُ المُحْصَنَاتِ الـمُؤْمِنَاتِ الغَافِلاَتِ

Maksudnya: “Hendaklah kamu menjauhi tujuh perkara yang membinasakan (tujuh dosa-dosa besar).” Mereka bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah perkara-perkara tersebut?” Baginda bersabda: “Syirik kepada Allah, sihir, membunuh nyawa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan alasan yang dibenarkan, memakan riba, memakan harta anak yatim, melarikan diri dari medan perang, dan menuduh (berzina) terhadap wanita-wanita yang memelihara maruah diri serta beriman lagi baik (lalai daripada pengaruh sekeliling).

Riwayat al-Bukhari (2766)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبُّنَا لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ، خَلَقْتَنَا وَنَحْنُ عَبِيْدُكَ، وَنَحْنُ عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْنَا، نَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْنَا، نَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيْنَا، وَنَبُوْءُ بِذُنُوْبِنَا، فَاغْفِرْ لَنَا فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, Engkau adalah Tuhan kami. Tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau, Engkaulah yang menciptakan kami dan kami adalah hamba-Mu. Kami akan setia pada perjanjian kami pada-Mu dan janji-Mu dengan sedaya upaya kami. Kami berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang kami lakukan. Kami mengakui nikmat-Mu kepada kami dan kami mengakui dosa kami, maka ampunilah kami. Sesungguhnya tiada yang mengampuni dosa kecuali Engkau.”

Nota kaki:

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/pengertian-dosa-besar/. Diakses pada 30 November 2023.

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *