Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Ketika menunaikan umrah baru-baru ini, ada seseorang memberitahu saya bahawa boleh mendirikan solat jenazah tanpa wuduk. Betulkah? Mohon pencerahan.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ ۖ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً ۖ وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ
Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap umat itu ada ajalnya (tempoh yang telah ditetapkan); maka apabila datang ajalnya, tidak dapat mereka lewatkan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka awalkan (saat kematian tersebut).”
(Surah al-A‘raf: 34)
Ayat ini di atas menunjukkan bahawa bagi tiap-tiap generasi dan kurun itu tempoh masa dan waktu yang telah ditetapkan bagi ajal mereka. Apabila telah datang waktu-waktu mereka (ajal) yang telah ditentukan, mereka tidak dapat melewatkannya walaupun seketika (sesaat) atau memajukannya (lebih awal). (Lihat Mukhtasar fi Tafsir al-Quran al-Kareem, hlm. 154.)
Tidak dapat dinafikan lagi, solat jenazah mempunyai ganjaran yang besar bagi mereka yang mengerjakannya. Hal ini adalah berdasarkan riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ شَهِدَ الْجَنَازَةَ حَتَّى يُصَلَّى عَلَيْهَا فَلَهُ قِيرَاطٌ، وَمَنْ شَهِدَهَا حَتَّى تُدْفَنَ فَلَهُ قِيرَاطَانِ. قِيلَ: وَمَا الْقِيرَاطَانِ؟ قَالَ: مِثْلُ الْجَبَلَيْنِ الْعَظِيمَيْنِ
Maksudnya: “Sesiapa yang menghadiri solat jenazah sehingga ia disolatkan ke atasnya, maka baginya satu qirat. Sesiapa yang mengiringi jenazah sehingga ia dikebumikan, maka baginya dua qirat. Ditanyakan kepada Baginda SAW: ‘Apakah yang dimaksudkan dengan dua qirat? Baginda SAW menjawab: ‘Seperti dua gunung yang besar.’”
Riwayat al-Bukhari (1325); Muslim (945)
Solat jenazah tanpa wuduk
Pada asasnya, disyaratkan bagi sahnya solat jenazah itu adalah sebagaimana yang disyaratkan bagi solat-solat yang lain iaitu suci yang hakiki dari segi badan, pakaian dan tempat solat. Begitu juga suci yang hukmi (batin), menutup aurat, mengadap kiblat, dan berniat. Perkara yang membezakannya dengan solat-solat yang lain hanyalah waktu iaitu bagi solat jenazah tidak disyaratkan waktu yang khusus. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 16/18.)
Terdapat riwayat daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, beliau berkata:
لَا يُصَلِّي الرَّجُلُ عَلَى الْجَنَازَةِ إِلَّا وَهُوَ طَاهِرٌ
Maksudnya: “Tidak boleh seorang lelaki untuk solat ke atas jenazah melainkan dia berada dalam keadaan suci.”
Riwayat Malik dalam Muwatta’ (787)
Syeikh ‘Abd al-Karim al-Khudhair ketika membahaskan riwayat di atas menyebutkan bahawa ini merupakan pendapat majoriti ulama. Bahkan Ibn ‘Abd al-Bar menukilkan bahawa para ulama telah sepakat dalam perkara ini melainkan apa yang diriwayatkan oleh al-Sya‘bi yang berpendapat bahawa solat jenazah boleh dilaksanakan tanpa perlu bersuci. (Lihat Syarh al-Muwatta’, 46/8.)
Selain itu, Imam al-Nawawi turut menyatakan bahawa umat Islam telah bersepakat pada keharaman solat tanpa bersuci sama ada daripada air ataupun tanah. Tidak ada beza antara solat fardhu, solat sunat, sujud tilawah, sujud syukur atau solat jenazah melainkan apa yang dinukilkan oleh al-Sya‘bi dan Muhammad bin Jarir al-Tabari bahawa solat jenazah boleh dilaksanakan tanpa bersuci. Pendapat ini adalah batil dan para ulama telah bersepakat pada sebaliknya — yakni solat jenazah tidak boleh dilaksanakan tanpa bersuci.
Sekiranya seseorang yang sedang berhadas mendirikan solat dengan sengaja tanpa sebarang keuzuran, dia telah berdosa tetapi tidak jatuh kafir di sisi ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i dan majoriti ulama — dalam kalangan mazhab yang lain. Walau bagaimanapun, terdapat satu pendapat yang dinukilkan daripada Abu Hanifah bahawa beliau berpandangan orang tersebut jatuh kafir kerana telah main-main dengan ibadah berkenaan. Manakala ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i pula menyatakan bahawa hukuman kafir tersebut hanyalah bagi perkara-perkara yang melibatkan soal iktikad — yakni akidah. Sedangkan orang yang melaksanakan solat jenazah tanpa wuduk ini, iktikadnya masih lagi sahih. Perkara ini kesemuanya adalah sekiranya tidak ada bagi orang yang mendirikan solat dalam keadaan berhadas itu sebarang keuzuran. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 3/103.)
Dalam erti kata lain, menurut mazhab Syafi‘i, solat jenazah itu dikira tidak sah melainkan dengan bersuci yakni jika dia mampu untuk berwuduk, maka tidak sah solat jenazah itu melainkan dengannya. Jika dia tidak mampu, dia boleh bertayammum. Akan tetapi tidak sah tayammum dalam keadaan dia mampu menggunakan air, sekalipun dia takut terlepasnya waktu solat jenazah — yakni solat jenazah itu telah selesai didirikan. Ini juga merupakan pendapat Imam Malik, Ahmad, Abu Thaur, dan Ibn al-Munzir. Abu Hanifah pula berpendapat boleh bertayammum dalam keadaan adanya air, jika dia takut terlepas untuk melaksanakan solat jenazah disebabkan sibuk mengambil wuduk — kerana jauh dan seumpamanya. Manakala al-Sya‘bi, Muhammad bin Jarir al-Tabari dan Syiah pula berpendapat, solat jenazah boleh dilaksanakan tanpa bersuci sekalipun dia mampu untuk berwuduk dan bertayammum kerana solat jenazah itu adalah doa. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 5/223.)
Ibn Battal menjelaskan lagi pendapat al-Sya‘bi ini dengan menyatakan bahawa beliau membolehkan solat jenazah tanpa perlu bersuci daripada hadas kerana ia adalah doa dan tidak ada di dalamnya perbuatan rukuk mahupun sujud. Sedangkan para fuqaha’ telah bersepakat pada pendapat yang sebaliknya — yakni berbeza dengan al-Sya’bi — dan jangan mengikuti pendapatnya yang syaz ini. Selain itu, para ulama juga telah bersepakat bahawa tidak sah solat jenazah melainkan dengan menghadap ke arah kiblat. Oleh itu, kalaulah benar ia adalah doa sebagaimana dakwaan al-Sya‘bi, sudah tentu ia boleh dilaksanakan tanpa menghadap ke arah kiblat. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, 3/305.)
Malah, dinukilkan daripada sebahagian ulama terdahulu yang berpendapat bahawa solat jenazah adalah doa. Lalu, tidak disyaratkan padanya wuduk. Kemudian, dikatakan kepadanya: “Oleh itu, adakah ia boleh dilakukan tanpa menghadap ke arah kiblat?” Kemudian, mereka menarik semula pendapatnya itu. (Lihat Fath al-Bari oleh Ibn Rejab, 3/92.)
Manakala jumhur ulama berpendapat bahawa disyaratkan untuk bersuci daripada hadas ketika melaksanakan solat jenazah adalah berdasarkan firman Allah SWT:
وَلَا تُصَلِّ عَلَىٰ أَحَدٍ مِّنْهُم مَّاتَ أَبَدًا
Maksudnya: “Dan janganlah engkau solatkan seorang pun yang mati daripada orang-orang Munafik itu selama-lamanya.”
(Surah al-Taubah: 84)
Dalam ayat di atas, Allah SWT menamakan solat jenazah itu dengan solat. Begitu juga di dalam hadith-hadith turut menamakannya sebagai solat. Hal ini adalah sebagaimana sabda Nabi SAW:
مَن صَلَّى علَى جِنازَةٍ فَلَهُ قِيراطٌ
Maksudnya: “Sesiapa yang solat ke atas jenazah, baginya (pahala) satu Qirat.”
Riwayat Muslim (946)
Oleh kerana itu, apabila solat jenazah termasuk dalam kategori solat, maka ia terikat dengan syarat-syarat solat seperti bersuci daripada hadas dan menghadap ke arah kiblat. Adapun keadaan solat jenazah itu kebanyakannya adalah doa, perkara tersebut sedikitpun tidak mengeluarkannya daripada sifatnya sebagai solat. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 5/223.)
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa disyaratkan bagi melaksanakan solat jenazah mesti dalam keadaan suci sebagaimana disyaratkan bagi solat-solat yang lain. Justeru, seseorang itu perlu memastikan dirinya berada dalam keadaan suci daripada hadas sebelum melaksanakan solat jenazah. Bahkan, Imam al-Nawawi telah menukilkan bahawa para ulama telah ijmak mengenai hal ini.
Adapun pendapat yang menyatakan bahawa ia boleh dilakukan tanpa perlu berada dalam keadaan suci sebagaimana pendapat yang telah dinisbahkan kepada al-Sya‘bi dan Ibn Jarir al-Tabari merupakan pendapat yang syaz — yakni ganjil dan asing — serta tidak boleh beramal mahupun berpegang dengannya.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 15 Februari 2022 bersamaan 13 Rejab 1443H