#473 Memberi Salam Pertama Dua Kali

 

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Adakah sah solat saya sekiranya saya memberi salam ke sebelah kanan dua kali kerana saya ingin memperbetulkan sebutan salam saya yang pertama yang tersilap?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, solat yang sah dan sempurna adalah yang memenuhi rukun-rukun serta syarat-syaratnya. Rukun adalah bahagian yang asas bagi sesuatu perkara. Contohnya dinding bagi sesebuah bilik. Oleh itu bahagian-bahagian solat adalah rukun-rukunnya. Solat tidak akan sempurna dan tidak sah kecuali dengan menyempurnakan kesemua bahagiannya mengikut cara dan susun atur yang datang daripada Rasulullah SAW sebagaimana yang diterimanya daripada Jibril A.S. Semua rukun solat dapat kita rumuskan kepada 13 perkara. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/141.)

Berbalik kepada soalan yang diajukan, memberi salam yang pertama termasuk di dalam rukun solat qauliyyah. Ia dinamakan sebagai qauliyyah kerana disyaratkan kepada orang yang solat bagi melafazkan sebutannya yang didengari oleh dirinya sendiri. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 208)

Selain itu, memberi salam yang pertama adalah wajib berdasarkan riwayat daripada Ali bin Abu Talib R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مِفتاحُ الصَّلاةِ الطُّهورُ، وتحريمُها التَّكبيرُ، وتحليلُها التَّسليمُ

Maksudnya: “Kunci solat itu adalah bersuci, ihramnya pula adalah takbir dan yang menghalalkannya adalah salam.”

Riwayat Abu Daud (61); Ibn Majah (275); Ahmad (1006); al-Tirmizi (238) dan al-Albani menilainya sebagai sahih.

Imam Nawawi ketika mengulas hadith di atas menyimpulkan bahawa memberi salam merupakan rukun daripada rukun-rukun solat. Tidak sah solat seseorang itu melainkan dengannya, dan tidak ada yang dapat mengambil tempatnya — yakni menggantikannya. Sekurang-kurangnya hendaklah dia menyebut lafaz salam “السَّلَامُ عَلَيْكُمْ”. Jika dia kurang satu huruf daripada huruf-hurufnya ini, maka tidak sah salamnya itu. ( Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab3/475-476.)

Seringkas-ringkas lafaz salam adalah dengan menyebut “السَّلَامُ عَلَيْكُمْ” sebanyak sekali, dan yang sebaik-baiknya pula adalah dengan menyebut “السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ” sebanyak dua kali, iaitu pada kali pertama sambil berpaling ke arah kanan dan kali kedua sambil berpaling ke arah kiri. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/141; al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘I, 1/300; Mughni al-Muhtaj, 1/385; Raudhah al-Talibin, 1/267-268.)

Hal ini adalah berdasarkan riwayat daripada Sa‘ad bin Abu Waqqas R.A, beliau berkata:

كُنْتُ أَرى رَسولَ اللهِ ﷺ يُسَلِّمُ عن يَمِينِهِ، وَعَنْ يَسارِهِ، حتّى أَرى بَياضَ خَدِّهِ

Maksudnya:Aku melihat Rasulullah SAW mengucapkan salam ke kanan dan ke kirinya hingga kelihatan putih pipinya.

Riwayat Muslim (582)

Adapun memberi salam dengan mengucapkan lafaz “عَلَيْكُمُ السَّلَامُ”, menurut ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i, ia diterima tetapi hukumnya adalah makruh. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 2/90; Raudhah al-Talibin, 1/267; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/476; al-Azkar, hlm. 148.)

Lafaz-lafaz salam yang tidak sah

Jika seseorang itu memberi salam dengan mengucapkan lafaz “السَّلَامُ عَلَيْهِمْ”, ia dikira tidak sah tetapi solatnya tidak batal kerana itu merupakan doa kepada pihak ketiga. Manakala jika dia menggunakan lafaz-lafaz lain seperti “السَّلَامُ عَلَيْكَ” atau “سَلَامِي عَلَيْكَ” atau “سَلَامُ اللَّهِ عَلَيْكُمْ”, juga dikira tidak sah. Sekiranya dia tidak sengaja menyebut lafaz-lafaz berkenaan, solatnya tidak batal tetapi dia wajib mengulangi dengan menyebut semula lafaz salam yang betul dan sabit. Sekiranya dia menyebut lafaz-lafaz berkenaan dengan sengaja, maka solatnya terbatal.

Adapun memberi salam dengan mengucapkan lafaz “سَلَامٌ عَلَيْكُمْ” iaitu dibaca dengan tanwin pada huruf mim, ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i berbeza pendapat mengenainya kepada dua pendapat:

Pendapat pertama, lafaz salam itu dikira sah kerana tanwin telah menggantikan alif dan lam (ال). Pendapat ini dipegang oleh sebahagian ulama dari Khurasan seperti Imam al-Haramain, al-Baghawi dan al-Rafi‘i. Namun, Imam Nawawi menyebutkan, pendapat ini adalah ganjil.

Pendapat kedua, lafaz salam itu tidak sah. Ini merupakan pendapat yang dipilih oleh Imam Nawawi dan dipersetujui oleh Syeikh Abu Hamid, al-Bandaniji, Qadi Abu al-Tayyib dan kebanyakkan ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i. Bahkan Syeikh Abu Hamid dan Abu Ishaq al-Marwazi menukilkan bahawa ia merupakan pendapat Imam al-Syafi‘i. Mereka berhujah berdasarkan riwayat daripada Malik bin al-Huwairith R.A, beliau berkata:

أَتَيْنَا النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَنَحْنُ شَبَبَةٌ مُتَقَارِبُونَ، فَأَقَمْنَا عِنْدَهُ عِشْرِينَ لَيْلَةً، فَظَنَّ أَنَّا اشْتَقْنَا أَهْلَنَا، وَسَأَلَنَا عَمَّنْ تَرَكْنَا فِي أَهْلِنَا، فَأَخْبَرْنَاهُ، وَكَانَ رَقِيقًا رَحِيمًا، فَقَالَ: ارْجِعُوا إِلَى أَهْلِيكُمْ، فَعَلِّمُوهُمْ وَمُرُوهُمْ، وَصَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي، فَإِذَا حَضَرَتِ الصَّلاَةُ، فَلْيُؤَذِّنْ لَكُمْ أَحَدُكُمْ، ثُمَّ لِيَؤُمَّكُمْ أَكْبَرُكُمْ

Maksudnya:Kami datang kepada Nabi SAW, sedang kami pada waktu itu merupakan para pemuda yang sebaya (dari segi umurnya). Kami tinggal di sisi Baginda selama dua puluh malam, lalu Baginda pun merasakan yang kami merindui keluarga kami, maka Baginda pun bertanya kepada kami tentang mereka-mereka yang telah kami tinggalkan dalam keluarga kami, lalu kami pun mengkhabarkan kepada Baginda, dan Baginda merupakan seorang yang sangat lembut dan penyayang. Baginda bersabda: ‘Kembalilah kamu kepada (pangkuan) keluarga kamu. Ajarkanlah mereka (tentang agama) dan perintahkanlah mereka (untuk berbuat amalan-amalan yang baik), dan solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat, dan bila waktu solat telah tiba, maka hendaklah salah seorang di antara kamu (melaungkan) azan, dan kemudian hendaklah orang yang paling tua di antara kamu mengimami solat kamu.’

Riwayat al-Bukhari (6008)

Di samping itu juga, hadith-hadith sahih telah menerangkan kepada kita semua bahawa Nabi SAW ketika memberi salam menyebut lafaz “السَّلَامُ عَلَيْكُمْ” dan tidak ada satu pun lafaz yang dinukilkan daripadanya menyatakan bahawa Baginda mengucapkan lafaz “سَلَامٌ عَلَيْكُمْ”. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/476; Mughni al-Muhtaj, 1/385; Raudhah al-Talibin, 1/267.)  

Selain itu, Imam al-Nawawi juga ada menyebutkan bahawa jika dia tidak sengaja — yakni menyebut lafaz salam yang salah — maka solatnya tidak batal, tetapi solatnya belum lagi selesai sehinggalah dia mengulang semula sebutan lafaz salam yang betul. ( Lihat al-Azkar, hlm. 149.)

Malah Imam al-Nawawi turut menyatakan, jika dia telah memberi salam — yakni dengan lafaz salam yang tidak sah secara tidak sengaja — maka solatnya tidak batal, tetapi dia disunatkan sujud sahwi dan wajib mengulangi semula lafaz salam yang betul. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/476.)

Hal ini kerana hukum sujud sahwi adalah sunat, apabila adanya sebab-sebab yang mengizinkannya. Caranya adalah selepas dia tersilap ketika melafazkan lafaz salam tersebut, hendaklah dia sujud sahwi dahulu dan barulah dia mengulang semula lafaz salam yang betul kerana tempat sujud sahwi adalah di penghujung solat iaitu selepas bacaan tasyahhud akhir serta selawat Ibrahimiyyah dan sebelum memberi salam. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/336-337.)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa jika seseorang itu dengan sengaja memberi salam yang pertama dengan lafaz salam yang tidak sah, maka solatnya terbatal. Namun, jika dia tersilap atau tidak sengaja menyebutnya, maka solatnya tidak terbatal tetapi wajib ke atasnya untuk mengulangi semula dengan menyebut lafaz salam yang betul dan sabit.

Begitu juga disunatkan sujud sahwi bagi sesiapa yang tersilap atau tidak sengaja mengucapkan lafaz salam yang tidak sah tersebut sebagaimana yang telah disebutkan oleh Imam al-Nawawi dan tempat sujud sahwi itu adalah di penghujung solat iaitu selepas bacaan tasyahhud akhir serta selawat Ibrahimiyyah dan sebelum memberi salam.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 15 Februari 2022 bersamaan 13 Rejab 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *