Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah punca demam juga seolah-olah sebahagian daripada kepanasan api neraka sehingga suhu meningkat dan bagaimana cara yang diajar oleh Rasulullah SAW?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami katakan, memang terdapat hadith dan beberapa riwayat yang menunjukkan ke arah itu. Hadith-hadith tersebut adalah:

Daripada Ibn ‘Umar R.A, daripada Nabi SAW, Baginda SAW bersabda:

الحُمَّى مِنْ فَيْحِ جَهَنَّمَ، فَأَطْفِئُوهَا بِالْمَاءِ

Maksudnya: “Demam itu berasal daripada kepanasan api neraka, maka padamkanlah api itu dengan air.”

Riwayat al-Bukhari (5723)

Daripada Asma’ binti Abu Bakar R.Anhuma, katanya:

كَانَتْ إِذَا أُتِيَتْ بِالْمَرْأَةِ قَدْ حُمَّتْ تَدْعُو لَهَا، أَخَذَتِ المَاءَ، فَصَبَّتْهُ بَيْنَهَا وَبَيْنَ جَيْبِهَا، قَالَتْ: وَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرُنَا أَنْ نَبْرُدَهَا بِالْمَاءِ

Maksudnya: Dahulunya apabila didatangkan kepadanya perempuan yang demam untuk didoakan baginya, dia mengambil air, lalu menuangkannya di sekitar dadanya, beliau berkata: “Rasulullah SAW pernah memerintahkan kami untuk menyejukkannya dengan air.”

Riwayat al-Bukhari (5724)

Daripada Aisyah R.Anha, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

الحُمَّى مِنْ فَيْحِ جَهَنَّمَ، فَابْرُدُوهَا بِالْمَاءِ

Maksudnya: “Demam itu berasal daripada kepanasan api neraka, maka sejukkanlah ia dengan air.”

Riwayat al-Bukhari (5725)

Daripada Rafi‘ bin Khadij R.A, beliau berkata: “Aku mendengar Nabi SAW bersabda:

الحُمَّى مِنْ فَوْحِ جَهَنَّمَ، فَابْرُدُوهَا بِالْمَاءِ

Maksudnya: “Demam itu berasal daripada kepanasan api neraka, maka sejukkanlah ia dengan air.”

 Riwayat al-Bukhari (5726)

Walaupun begitu, kami tidak nafikan jika seorang mahu ke hospital atau klinik untuk mendapat rawatan kerana ia termasuk dalam usaha dan ikhtiar. Islam menghormati takhassus atau kepakaran seseorang dalam bidang yang dikuasainya sebagaimana firman Allah SWT:

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.”

(Surah al-Nahl: 43)

Mengenai tafsir bagi ayat di atas, Abu Hayyan menukilkan daripada al-Zajjaj, katanya: “(Ahli Zikri) adalah umum pada setiap orang yang disandarkan dengannya ilmu.” (Lihat al-Bahr al-Muhit, 6/533)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ

Maksudnya: “Ya Allah, kami berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”

Leave a Reply