#4741: Dakwaan Dajjal Mempunyai Segunung Roti dan Sungai Air

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Dajjal mendakwa berkenaan dengan pemilikannya terhadap makanan dan minuman yang banyak, seperti segunung roti dan sungai air?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan takrif Dajjal terlebih dahulu.

Kata Dajjal (دَجَّال) berasal dari kata dajala, artinya, menutupi (sesuatu). Kamus Lisan al-’Arab mengemukakan beberapa pendapat mengapa disebut Dajjal.

  • Kerana ia adalah pembohong yang menutupi kebenaran dengan kepalsuan.
  • Kerana menutupi bumi dengan bilangannya yang besar.
  • Kerana ia menutupi manusia dengan kekafiran.
  • Kerana ia tersebar dan menutupi seluruh muka bumi.

Dajjal dari sudut bahasa bermaksud menutup akan sesuatu. Ini kerana, Dajjal antara sifatnya adalah al-Kazib (pendusta) dan pendustaan adalah menyembunyikan atau menutupi akan sesuatu. Selain itu,  jjal juga bermaksud menyembunyikan kebenaran dan membuat tipudaya terhadap manusia serta menampakkan kecantikan pada perkara yang bathil. Dajjal juga datang dalam sighah (lafaz) mubalaghah (melampau) iaitu “فَعَّال” kerana Dajjal ini banyak melakukan pendustaan dan tipudaya.

Manakala dari sudut istilah pula, Dajjal boleh dikenali dengan beberapa sifat yang dikhabarkan oleh Baginda SAW melalui hadith-hadithnya. Antaranya ialah:

  • Seorang manusia.
  • Rambutnya kerinting dan kusut masai.
  • Sebelah daripada matanya buta.
  • Tertulis pada dahinya كفر (kufur) atau كافر (kafir).

Menjawab persoalan di atas, kami katakan benar. Hal ini berdasarkan hadith al-Mughirah bin Syu’bah R.A, katanya:

مَا سَأَلَ أَحَدٌ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الدَّجَّالِ أَكْثَرَ مَا سَأَلْتُهُ، وَإِنَّهُ قَالَ لِي: «مَا يَضُرُّكَ مِنْهُ؟» قُلْتُ: لِأَنَّـهُمْ يَقُولُونَ: إِنَّ مَعَهُ جَبَلَ خُبْزٍ وَنَـهْرَ مَاءٍ. قَالَ: «إِنَّهُ أَهْوَنُ عَلَى اللهِ مِنْ ذَلِكَ».

Maksudnya: “Tidak ada orang yang lebih banyak bertanya kepada Nabi SAW tentang Dajjal selainku. Sesungguhnya Baginda bertanya kepadaku: Apakah yang merisaukan kamu tentang dirinya (dajjal)? Aku menjawab: Ini kerana orang ramai berkata: Sesungguhnya Dajjal itu akan membawa  bersamanya segunung roti dan sungai air.” Baginda bersabda: “Dajjal itu lebih hina bagi Allah dari demikian itu.”

Riwayat al-Bukhari (7122)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *