Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah wanita Muslim menyusukan anak orang yang bukan Islam atau sebaliknya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Firman Allah SWT:
وَإِن تَعَاسَرْتُمْ فَسَتُرْضِعُ لَهُ أُخْرَىٰ
Maksudnya: Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak)mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya.
(Surah al-Talaq: 6)
Al-Maraghi berkata: “Jika ada antara kamu yang menyusukan pihak lain, misalnya si suami kurang dalam memberikan upah atau si isteri berlebih-lebih dalam meminta tambahan yang tidak dapat ditunaikan, maka hendaklah si suami membawa penyusu yang lain, yang boleh melakukan penyusuan. Tetapi, apabila si suami tidak rela dengan upah yang diberikan kepada penyusu yang asing itu, maka si ibu lebih berhak menyusukan anaknya.”
Begitu juga firman Allah SWT:
وَإِنْ أَرَدتُّمْ أَن تَسْتَرْضِعُوا أَوْلَادَكُمْ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ
Maksudnya: Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu.
(Surah al-Baqarah: 233)
Dalam menjawab persoalan di atas, fatwa Mantan Pengerusi Darul Ifta’ Mesir Syeikh ‘Atiyyah Saqar menjawab tentang penyusuan melibatkan perbezaan agama:
“Tidak berubah hukum penyusuan dengan sebab perbezaan agama, dan tidak haram penyusuan yang melibatkan kanak-kanak muslim dengan wanita bukan muslim kerana tidak terdapat dalil yang mengharamkannya, khususnya apabila sudah tidak mempunyai wanita untuk penyusuan selain wanita bukan muslim. Apabila penyusuan ke atas kanak-kanak muslim daripada wanita bukan muslim, maka kekal status agama seperti asal, begitu juga sebaliknya.”
Jawapan Syeikh Salih Munajjid ketika ditanyakan soalan berkenaan penyusuan wanita Muslim kepada kanak-kanak bukan Muslim dan wanita bukan Muslim menyusukan kanak-kanak Muslim.
Harus hukumnya dan tidak disyaratkan agama tertentu bagi wanita yang menyusukan seseorang bayi seperti fatwa Mantan Mufti Saudi Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz Rahimahullah. Ini kerana asal perkara melibatkan penyusuan adalah harus. Memandangkan tiada dalil yang melarangnya, dibolehkan bagi wanita bukan Islam untuk menyusukan bayi beragama Islam. Ia merupakan sebahagian daripada sifat ihsan. Ini kerana Allah mewajibkan ihsan (berlaku baik) pada segala perkara, sepertimana hadis Nabi SAW:
فِي كُلِّ كَبِدٍ رَطْبَةٍ أَجْرٌ
Maksudnya: “Pada setiap hati yang basah (makhluk bernyawa) terdapat pahala.”
Riwayat al-Bukhari (2362)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ
Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”