#4769: Menukar Nama

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah kita menukar nama jika nama tersebut kurang baik atau tidak sesuai dengan Islam?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Berdasarkan nas, nama-nama yang bersifat mengabdikan selain daripada Allah SWT seperti Abd al-Uzza, Abd al-Ka’bah, hendaklah ditukar kepada Abdullah, Abd al-Rahman dan lain-lain. Nama juga sebagai tafa’ul agar anak tersebut benar-benar menepati nama tersebut. Justeru, melihat kepada Hadyun Nabawi, Rasulullah SAW mengajar kita dan pernah menukar nama-nama sahabatnya kepada nama yang lebih baik.

Antaranya hadith daripada Abu Hurairah:

أَنَّ زَيْنَبَ كَانَ اسْمُهَا بَرَّةَ، فَقِيلَ: تُزَكِّي نَفْسَهَا، فَسَمَّاهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَيْنَبَ.

Maksudnya: Sesungguhnya Zainab mulanya bernama Barrah, maka dikatakan: Dia menyucikan dirinya. Kemudian Rasulullah SAW menamakannya Zainab.”

Riwayat al-Bukhari (6192)

Pernah satu kisah berlaku apabila Nabi SAW ingin menukar nama seseorang, ia masih lagi tidak mahu kecuali dengan nama yang diberi ayahnya.

Abdul Hamid bin Jubair bin Syaibah berkata:

جَلَسْتُ إِلَى سَعِيدِ بْنِ المُسَيِّبِ، فَحَدَّثَنِي: أَنَّ جَدَّهُ حَزْنًا قَدِمَ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: «مَا اسْمُكَ» قَالَ: اسْمِي حَزْنٌ، قَالَ: «بَلْ أَنْتَ سَهْلٌ» قَالَ: مَا أَنَا بِمُغَيِّرٍ اسْمًا سَمَّانِيهِ أَبِي قَالَ ابْنُ المُسَيِّبِ: فَمَا زَالَتْ فِينَا الحُزُونَةُ بَعْدُ.

Maksudnya: Aku duduk di samping Sa‘id bin al-Musayyib, lalu dia menyampaikan kepadaku bahawa datuknya Hazn datang bertemu Nabi SAW. Baginda lalu bertanya: “Siapa namamu?” Dia menjawab: “Namaku Hazn (bermakna kepayahan atau kekasaran).” Baginda bersabda: “Bahkan nama engkau Sahl (bermakna senang).” Dia berkata: “Aku tidak akan mengubah nama yang diberikan oleh ayahku kepadaku.” Ibn al-Musayyib berkata: “Maka kesusahan sentiasa menimpa kami selepas itu.”

Riwayat al-Bukhari (6193)

Berdasarkan kisah di atas jelas menunjukkan nama boleh memainkan peranan dalam kehidupan seseorang, kerana nama adalah doa yang akan dipanggil dan disebut oleh orang terhadap seseorang. Justeru, perelokkanlah nama.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *