Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah membela anjing buruan termasuk dikurangi pahala dua qirat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertama, anjing dalam mazhab al-Syafi’i adalah najis mughallazah yang memerlukan samak apabila terkenanya. Hal ini berdasarkan hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasululullah SAW bersabda:

إذا ولَغَ الكَلبُ في إناءِ أحدِكُم فلْيُرِقْهُ ثم ليَغسِلْهُ سَبعَ مَرّاتٍ

Maksudnya:Apabila anjing meminum pada bekas salah seorang daripada kamu, maka tuanglah (yakni buang) air itu. Kemudian, basuhlah ia (bekas) sebanyak tujuh kali.

Riwayat al-Nasa’i (66)

Berkenaan dengan qirat yang dimaksudkan di sini, ia tidak termasuk dengan anjing buruan. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW: Daripada Ibn Umar R.Anhuma, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

مَنِ اقْتَنَى كَلْبًا لَيْسَ بِكَلْبِ مَاشِيَةٍ أَوْ ضَارِيَةٍ، نَقَصَ كُلَّ يَوْمٍ مِنْ عَمَلِهِ قِيرَاطَانِ.

Maksudnya: “Sesiapa yang memelihara anjing yang bukan digunakan untuk menjaga haiwan ternakan ataupun buruan (anjing buruan yang terlatih), maka akan berkuranglah setiap hari daripada amalannya sebanyak dua qirat.”

Riwayat al-Bukhari (5480)

Daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, katanya: Aku mendengar Nabi SAW bersabda:

مَنِ اقْتَنَى كَلْبًا إِلَّا كَلْبًا ضَارِيًا لِصَيْدٍ أَوْ كَلْبَ مَاشِيَةٍ، فَإِنَّهُ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِهِ كُلَّ يَوْمٍ قِيرَاطَانِ.

Maksudnya: “Sesiapa yang memelihara anjing, kecuali anjing (yang terlatih) untuk memburu atau anjing untuk menjaga haiwan ternakan, kerana sesungguhnya akan berkuranglah daripada pahalanya setiap hari sebanyak dua qirat.”

Riwayat al-Bukhari (5481)

Antara jenis dan baka anjing terbaik dalam buruan dan mengawal ialah:

  • English pointer. Ia adalah jenis anjing gun dog yang memiliki sifat menghidu mangsa yang luar biasa, lincah dan sangat pantas untuk memburu khususnya burung di tempat dan dataran yang tinggi. Ia mempunyai tubuh yang mampu menahan cuaca panas dan lembap sehingga menjadi pilihan terbaik untuk berburu.
  • Labrador retriever. Ia dikenali sebagai anjing yang lembut dan sangat setia dan boleh berubah menjadi ganas apabila tuannya diancam. Ia juga mahir dalam berenang dan dapat bertahan lama dalam suhu yang sejuk.
  • Chesapeake bay retriever. Ia dibiakkan secara ekslusif di Amerika Syarikat. Ia tidak pernah mempunyai sifat penat, lelah dan sentiasa bertenaga dan memiliki bulu dan fizikal yang boleh bertahan lama pada air yang sangat dingin. Ia juga boleh menjadi anjing pengawal yang sangat kuat di rumah.[1]

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Nota kaki:

[1] https://www.kompas.com/homey/read/2021/12/01/202500976/8-ras-anjing-terbaik-untuk-berburu?page=all

Leave a Reply