Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Memburu dengan anjing tetapi terdapat anjing yang lain, adakah diboleh makan binatang buruan dengan sebab anjing yang kita guna berburu bersama dengan anjing-anjing yang lain?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

 يَسْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ ۖ قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ ۙ وَمَا عَلَّمْتُم مِّنَ الْجَوَارِحِ مُكَلِّبِينَ تُعَلِّمُونَهُنَّ مِمَّا عَلَّمَكُمُ اللَّهُ ۖ فَكُلُوا مِمَّا أَمْسَكْنَ عَلَيْكُمْ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهِ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ

Maksudnya:  Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): “Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?” Bagi menjawabnya katakanlah: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik, dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu. Oleh itu makanlah dari apa yang mereka tangkap untuk kamu dan sebutlah nama Allah atasnya (ketika kamu melepaskannya berburu); dan bertaqwalah kepada Allah (dengan memelihara diri dari memakan yang diharamkan Allah); Sesungguhnya Allah Maha Cepat hitungan hisabNya”

(Surah al-Ma’idah: 4)

Dalam isu ini, kami menyatakan hukumnya tidak dibolehkan kerana wujudnya syak dan ragu-ragu. Hal ini berdasarkan sebuah hadith daripada ‘Adi bin Hatim R.A, katanya: Aku bertanya kepada Rasulullah SAW, lalu aku berkata: “Sesungguhnya kami adalah satu kaum yang berburu menggunakan anjing-anjing ini.” Baginda SAW bersabda:

إِذَا أَرْسَلْتَ كِلاَبَكَ المُعَلَّمَةَ، وَذَكَرْتَ اسْمَ اللَّهِ، فَكُلْ مِمَّا أَمْسَكْنَ عَلَيْكَ، إِلَّا أَنْ يَأْكُلَ الكَلْبُ فَلاَ تَأْكُلْ، فَإِنِّي أَخَافُ أَنْ يَكُونَ إِنَّمَا أَمْسَكَ عَلَى نَفْسِهِ. وَإِنْ خَالَطَهَا كَلْبٌ مِنْ غَيْرِهَا فَلاَ تَأْكُلْ.

Maksudnya: “Sekiranya engkau telah melepaskan anjing-anjingmu yang terlatih dan engkau telah menyebut nama Allah, maka makanlah apa yang ia telah tangkap untukmu, kecuali jika anjing itu memakannya maka janganlah kamu memakannya kerana sesungguhnya aku khuatir bahawasanya ia telah menangkap (binatang buruan tersebut) untuk dirinya. Dan jika anjing itu turut bercampur dengan anjing-anjing yang lain, maka janganlah engkau memakannya.”

Riwayat al-Bukhari (5487)

Dengan jelas menunjukkan di sini, larangan Rasulullah SAW agar jangan kita makan kerana boleh jadi yang memburunya bukan anjing kita yang terlatih, tetapi anjing yang lain. Justeru, ia tidak menepati dan mencukupi syarat yang telah ditetapkan.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply