#4847: Perempuan atau Hamba Perempuan Menyembelih

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh atau tidak kita makan sembelihan yang dilakukan oleh seorang perempuan atau hamba perempuan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Sebelum menjawab persoalan di atas, kami mulakan syarat-syarat sembelihan. Untuk menjadikan haiwan itu halal untuk dimakan, maka Allah SWT memerintahkan supaya ianya disembelih. Para ulama menggariskan panduan untuk penyembelihan binatang dan meletakkan syarat-syarat ke atasnya iaitu:

  1. Penyembelih itu mestilah sama ada lelaki, perempuan, baligh atau mumaiyyiz dan ini merupakan pendapat jumhur.
  2. Penyembelih itu mestilah orang Islam atau Ahli Kitab. Begitu juga tidak sah sembelihan orang yang murtad. Ini kerana sembelihan mereka itu bukanlah bertujuan kerana Allah SWT. Ini seperti firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 3 seperti yang di atas. Dan ulama meletakkan syarat ke atas Ahli kitab di antaranya mestilah beriman dan menyebut nama Allah SWT ketika sembelih.
  3. Binatang buruan yang halal dan bukan daripada jenis binatang buas dan ganas ini seperti firman Allah SWT:

أُحِل لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ وَحُرِّمَ عَلَيْكُمْ صَيْدُ الْبَرِّ مَا دُمْتُمْ حُرُمًا

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran; tetapi diharamkan atas kamu memburu binatang buruan darat selama kamu sedang berihram. Oleh itu, bertaqwalah kepada Allah, yang kepadaNya kamu akan dihimpunkan.”

(Surah al-Maidah: 96)

Dan selain daripada kategori binatang buas diharuskan untuk sembelih dan memakannya. Begitu juga binatang buas tidak termasuk binatang ternakan dan binatang korban.

  1. Disyaratkan menyebut nama Allah SWT ketika sembelih sama ada dari kalangan orang Islam atau ahli kitab. Sekiranya ia terlupa atau bisu dibolehkan untuk memakannya. Ini seperti firman Allah SWT:

وَلَا تَأْكُلُوا مِمَّا لَمْ يُذْكَرِ اسْمُ اللَّـهِ عَلَيْهِ وَإِنَّهُ لَفِسْقٌ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya, kerana sesungguhnya yang sedemikian itu adalah perbuatan fasik (berdosa).”

(Surah al-An’am: 121)

  1. Tidak mencampur adukkan di antara membesarkan nama Allah SWT dengan selainnya. Sama ada dengan menyebut secara jelas ataupun tidak.
  2. Mestilah dengan memutuskan Halkum dan urat Marih untuk mempercepatkan kematiannya.
  3. Selain itu, syarat peralatan sembelihan ialah dengan menggunakan peralatan yang tajam dan bukan diperbuat daripada tulang, kuku dan gigi. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah, 21/184)

Justeru, berdasarkan kepada syarat-syarat di atas, maka wanita atau hamba perempuan juga boleh sembelih dan halal sembelihannya. Hal ini berdasarkan hadith daripada Mu‘az bin Sa‘d atau Sa‘d bin Mu‘az (bahawa) beliau berkata:

أَنَّ جَارِيَةً لِكَعْبِ بْنِ مَالِكٍ كَانَتْ تَرْعَى غَنَمًا بِسَلْعٍ. فَأُصِيبَتْ شَاةٌ مِنْهَا، فَأَدْرَكَتْهَا فَذَبَحَتْهَا بِحَجَرٍ. فَسُئِلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: «كُلُوهَا».

Maksudnya: Bahawa seorang hamba perempuan milik Ka‘b bin Malik (bekerja) menggembala kambing di Sal‘ (nama sebuah bukit di Madinah). (Pada satu ketika) seekor kambing daripada kambing-kambingnya telah ditimpa (sesuatu). Lalu dia sempat menyedarinya (sebelum kambing tersebut mati) dan menyembelihnya dengan menggunakan batu. Kemudian Nabi SAW telah ditanya tentang perkara itu, lalu Baginda bersabda: “Makanlah ia.”

Riwayat al-Bukhari (5505)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *