#4919: Status Hadith Kasih dan Benci Kepada Seseorang Jangan Melampau

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya terdengar sebuah hadith, Rasulullah SAW ada menyebutkan: “Kamu kasih kepada seseorang, jangan kamu melampau, kerana boleh jadi ia menjadi musuh kamu pada suatu masa nanti.” Adakah benar?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Menjawab persoalan di atas, hadith tersebut ialah:

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 أَحْبِبْ حَبِيبَكَ هَوْنًا ما، عسى أن يكون بَغِيضَكَ يومًا ما، وأَبْغِضْ بَغِيضَكَ هَوْنًا ما عسى أن يكونَ حَبِيبَكَ يومًا ما

Maksudnya: Kasihlah kepada kekasih kamu sekadar adanya (jangan melampau), nanti suatu masa dia menjadi orang yang kamu benci. Dan bencilah seseorang sekadar adanya sahaja (jangan melampau), nanti boleh jadi ia menjadi kekasihmu suatu hari nanti.”

Riwayat al-Tirmizi (1998). Al-Iraqi dalam takhrij al-Ihya’ (2/232) berkata: Rijalnya thiqah, dan rijalnya Muslim tetapi perawi telah ragu-ragu dalam merafa’kannya.

Hadith ini dengan maksud, kasih sayang kepada seseorang janganlah melampau dan sederhana. Dan lafaz ma pada lafaz hadith tersebut bagi menggambarkan taqlil atau sedikit, kerana boleh jadi orang yang kamu kasih, itulah orang yang kamu benci pada hari yang lain pula. Al-Imam al-Munawi dalam Syarh al-Jami’ al-Saghir: Ini terjadi dengan sebab berlakunya perubahan masa dan keadaan. Jika melampau, dibimbangi kamu merasa kecewa dan sedih atas apa yang berlaku selepas itu, atau kamu merasa malu atas tindakan kamu sebelum itu. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 6/113)

Walaupun begitu, kita diajar untuk mengasihi seseorang semata-mata kerana Allah, kerana itulah yang akan mengekalkan kebaikan untuk kita. Benarlah hadith Rasulullah SAW: Daripada Anas bin Malik R.A, daripada Nabi SAW, sabda Baginda:

ثَلاَثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلاَوَةَ الإِيمَانِ: أَنْ يَكُونَ اللهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا، وَأَنْ يُحِبَّ المـَـرْءَ لاَ يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّـهِ، وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُـقْذَفَ فِي النَّارِ

Maksudnya: “Tiga perkara yang apabila ada pada diri seseorang, nescaya dia akan memperolehi kemanisan iman. (Pertama) Allah dan Rasul-Nya lebih disayanginya daripada sesuatu selain keduanya dan (Kedua) dia mengasihi seseorang, tidak dikasihinya orang itu melainkan kerana Allah, dan (Ketiga) dia tidak suka untuk kembali menjadi kafir (murtad) sepertimana dia tidak suka dirinya dicampakkan ke dalam api neraka.”

Riwayat al-Bukhari (16)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”

Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda untuk penyelenggaraan operasi Maktabah Al-Bakri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *