Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh Dato terangkan tentang pembahagian najis?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ
Maksudnya: “SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.”
(Surah al-Baqarah: 222)
Al-Syaukani menyatakan bahawa makna ayat di atas ialah Allah menyukai orang yang bertaubat daripada dosa-dosanya dan mensucikan diri daripada junub dan hadas. Dalam erti kata lain, Allah SWT menyukai para hamba-Nya yang banyak beristighfar dan bertaubat serta yang menyucikan diri dengan menjauhi segala perbuatan keji dan kotor. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir oleh al-Asyqar, hlm. 44; Lihat Tafsir al-Muyassar, hlm. 35)
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan najis itu terbahagi kepada tiga:
- Mughallazah (berat)
Ia merupakan najis yang berat yakni anjing dan babi. Maka, cara pembersihannya adalah dengan 7 kali basuhan selepas menghilangkan ain najis dan salah satu daripada basuhan itu menggunakan air tanah.
- Mutawassitah (sederhana)
Ia merupakan najis yang pertengahan iaitu najis selain anjing dan babi dan kencing kanak-kanak lelaki yang tidak makan dan minum kecuali susu ibu. Najis Mutawasittah ini terbahagi kepada dua:
- Ainiyyah: Najis yang padanya warna, bau dan rasa. Maka najis seperti ini perlulah dihilangkan warna, bau dan rasanya.
- Hukmiyyah: Najis yang padanya tidak terdapat warna, bau dan rasa. Cukup sekadar melalukan air ke atasnya.
Maka, cara pembersihannya adalah dengan melalukan air ke atasnya dan menghilangkan ain najis dan sifat-sifatnya (bau, warna dan rasa).
- Mukhaffafah (ringan)
Ia merupakan najis yang ringan yakni kencing kanak-kanak lelaki yang belum berumur dua tahun dan hanya minum susu ibu. Maka, cara pembersihannya adalah renjis dengan menggunakan air sehingga rata ke tempat najis tersebut, sama ada najis tersebut najis aini dan hukmi dan sama ada terkena pada badan, pakaian atau tempat. (Lihat Safinah al-Naja, hlm 27-28)
Daripada Aisyah R.Anha, katanya:
أنَّ رَسولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ كانَ يُؤْتَى بالصِّبْيانِ فيُبَرِّكُ عليهم ويُحَنِّكُهُمْ، فَأُتِيَ بصَبِيٍّ فَبالَ عليه، فَدَعا بماءٍ، فأتْبَعَهُ بَوْلَهُ ولَمْ يَغْسِلْهُ
Maksudnya: “Beberapa orang bayi dibawa kepada Baginda lalu Nabi mendoakan keberkatan dan mentahnikkan mereka. Kemudian seorang bayi dibawa kepada Nabi lalu bayi itu terkencing (di atas riba Nabi SAW). Nabi meminta air lalu Nabi membersihkan kencing tersebut tanpa membasuhnya.”
Riwayat Muslim (286)
Semoga Allah membantu anda dalam lebih memahami syariat Allah SWT dan moga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
(Surah Ibrahim: 40)