#4974: Nabi Ayyub A.S Mandi Bertelanjang dan Melihat Sesuatu

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah Nabi Ayyub A.S mandi bertelanjang dan melihat sesuatu? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَأَيُّوبَ إِذْ نَادَىٰ رَبَّهُ أَنِّي مَسَّنِيَ الضُّرُّ وَأَنتَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ

Maksudnya: Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani”.

(Surah al-Anbiya’: 83)

Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa benar, Nabi Ayyub A.S mandi bertelanjang dan telah melihat sekumpulan belalang emas.

Ini jelas sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

بَيْنَمَا أَيُّوبُ يَغْتَسِلُ عُرْيَانًا، خَرَّ عَلَيْهِ رِجْلُ جَرَادٍ مِنْ ذَهَبٍ، فَجَعَلَ يَحْثِي فِي ثَوْبِهِ، فَنَادَاهُ رَبُّهُ يَا أَيُّوبُ أَلَمْ أَكُنْ أَغْنَيْتُكَ عَمَّا تَرَى، قَالَ بَلَى يَا رَبِّ، وَلَكِنْ لاَ غِنَى لِي عَنْ بَرَكَتِكَ

Maksudnya: “Ketika Ayyub sedang mandi dalam keadaan telanjang, tiba-tiba jatuh ke atasnya sekumpulan belalang emas. Ayyub mengambilnya lalu meletakkan pada kainnya. Lalu Tuhannya memanggilnya: ‘Wahai Ayyub, bukankah Aku telah mencukupkanmu sehingga kamu tidak lagi perlukan kepada apa yang engkau lihat?’ Ayyub berkata: ‘Benar wahai Tuhan, tetapi tidak ada kecukupan bagiku terhadap keberkatan-Mu.’

Riwayat al-Bukhari (3391)

Hadith di atas menunjukkan bahawa perbuatan mandi telanjang termasuk dalam perkara yang dibolehkan dalam syariat para nabi yang terdahulu. Terdapat hadith lain menceritakan bahawa Nabi Musa A.S juga pernah mandi dalam keadaan telanjang, jauh daripada orang ramai. Hadith itu diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah  SAW bersabda:

كَانَتْ بَنُو إِسْرَائِيلَ يَغْتَسِلُونَ عُرَاةً، يَنْظُرُ بَعْضُهُمْ إِلَى بَعْضٍ، وَكَانَ مُوسَى صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَغْتَسِلُ وَحْدَهُ، فَقَالُوا: وَاللهِ مَا يَمْنَعُ مُوسَى أَنْ يَغْتَسِلَ مَعَنَا إِلَّا أَنَّهُ آدَرُ، فَذَهَبَ مَرَّةً يَغْتَسِلُ، فَوَضَعَ ثَوْبَهُ عَلَى حَجَرٍ، فَفَرَّ الحَجَرُ بِثَوْبِهِ، فَخَرَجَ مُوسَى فِي إِثْرِهِ، يَقُولُ: ثَوْبِي يَا حَجَرُ، حَتَّى نَظَرَتْ بَنُو إِسْرَائِيلَ إِلَى مُوسَى، فَقَالُوا: وَالله مَا بِمُوسَى مِنْ بَأْسٍ، وَأَخَذَ ثَوْبَهُ، فَطَفِقَ بِالحَجَرِ ضَرْبًا».” فَقَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ: وَالله إِنَّهُ لَنَدَبٌ بِالحَجَرِ، سِتَّةٌ أَوْ سَبْعَةٌ، ضَرْبًا بِالحَجَرِ.

Maksudnya: “Orang-orang Bani Isra’il dahulu mandi bertelanjang, mereka melihat kepada satu sama lain dan Nabi Musa A.S mandi seorang diri.” Maka mereka berkata: “Demi Allah, tiada yang menegah Musa mandi bersama melainkan kerana buruk zakarnya.” Pernah sekali Musa pergi untuk mandi lalu meletakkan pakaiannya di atas batu. Maka batu itu lari membawa pakaiannya. Musa terus keluar (dari tempat mandinya) mengejar batu itu sambil berkata: “Pakaianku wahai batu.” Sehingga orang-orang Bani Israil melihat kepada Musa. Pada ketika itu barulah mereka berkata: “Tidak ada apa-apa kekurangan pun pada Musa. Musa mengambil pakaiannya dan memukul batu itu.” Abu Hurairah berkata: “Demi Allah sesungguhnya ada enam atau tujuh kesan pukulan di atas batu itu.”

Riwayat al-Bukhari (278)

Ibn al-Battal menjelaskan, adapun mandian yang dilakukan Bani Isra’il dalam keadaan telanjang dengan melihat di antara satu dengan yang lain, maka ia menunjukkan mereka menderhakai Nabi Musa pada perkara tersebut, tidak mengikut sunnahnya kerana Baginda mandi sekira-kira tiada orang yang melihat kepada Baginda dan mencari kawasan yang tiada orang. Padahal wajib bagi mereka mengikutnya pada perbuatan tersebut. Walaupun perbuatan mereka mandi telanjang ketika berseorangan di bawah pengetahuan Nabi Musa A.S dan Baginda memperakuinya. Namun tidak wajib kita mengikutinya kerana dalam syariat kita hendaklah menutup aurat daripada ditonjolkan aurat pada mata-mata manusia. Ia adalah fardhu ke atas kita. Manakala menutupnya (aurat) dalam keadaan berseorangan adalah baik bukan wajib. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, 1/392).

Imam al-Bukhari sendiri dalam kitab sahihnya telah meletakkan bab: “Orang yang Mandi Berseorangan dalam Keadaan Bersendirian, dan Orang yang Menutup Aurat, Maka Menutup Aurat adalah Lebih Baik.”

Al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari (1/387) berkata: “Imam al-Bukhari menggunakan hadith tentang kisah Nabi Musa dan Nabi Ayyub ini sebagai hujah bahawa dibolehkan bertelanjang ketika mandi. Hal ini kerana, menurut Ibn Battal bahawa Nabi Musa dan Nabi Ayyub adalah nabi yang kita diperintahkan untuk mengikuti mereka. Tetapi kaedah pendalilan dari hadith ini tepat jika kita berpegang kepada prinsip kaedah dalil syarak para nabi terdahulu sebelum syariat kepada Nabi Muhammad dan berpegang ia adalah syarak bagi kita juga.

Kemudian, al-Hafiz Ibn Hajar menyebutkan bentuk pendalilan yang lebih jelas ialah dengan mengatakan Nabi SAW menceritakan kisah dua nabi ini, tanpa memberi sebarang komentar dari sudut mereka mandi telanjang. Ini bermakna syarak mereka dalam hal ini bersamaan dengan syarak kita.

Oleh itu, hukum mandi telanjang adalah makruh, namun sebahagian Syafi‘iyyah menguatkan pendapat haram. Al-Hafiz berkata: “Yang masyhur adalah makruh jika bersendirian.

Ibn al-Muhallab berkata: “Dalam hadith Musa dan Ayyub adalah dalil keharusan bertelanjang ketika berseorangan untuk tujuan mandi dan sebagainya , sekira-kira tenteram daripada mata-mata manusia kerana Nabi Ayyub dan Nabi Musa adalah antara manusia yang diperintahkan kita agar mengikut petunjuk mereka.” (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari oleh Ibn al-Battal, 1/393).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *