#4975: Bilakah Allah menyelamatkan Nabi Musa AS dari Firaun?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bilakah Allah SWT menyelamatkan Nabi Musa A.S dari Firaun? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 اذْهَبْ إِلَىٰ فِرْعَوْنَ إِنَّهُ طَغَىٰ

Maksudnya: “Pergilah kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas”.

(Surah Taha: 24)

Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa Allah SWT telah menyelamatkan Nabi Musa A.S dan para pengikutnya daripada Firaun pada hari ‘Asyura’.

Ini adalah jelas berdasarkan kepada riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، لَمَّا قَدِمَ الْمَدِينَةَ، وَجَدَهُمْ يَصُومُونَ يَوْمًا، يَعْنِي يَوْمَ عَاشُورَاءَ، فَقَالُوا: هَذَا يَوْمٌ عَظِيمٌ، وَهُوَ يَوْمٌ نَجَّى اللَّهُ فِيهِ مُوسَى، وَأَغْرَقَ آلَ فِرْعَوْنَ، فَصَامَ مُوسَى شُكْرًا لِلَّهِ، فَقَالَ: أَنَا أَوْلَى بِمُوسَى مِنْهُمْ، فَصَامَهُ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW ketika datang ke Madinah, Baginda mendapati mereka (golongan Yahudi) berpuasa pada satu hari (iaitu hari Asyura’). Mereka berkata: ‘Hari ini ialah hari yang agung. Pada hari ini Allah menyelamatkan Musa dan menenggelamkan para pengikut Firaun. Maka Musa berpuasa padanya sebagai rasa syukur kepada Allah.’ Baginda bersabda: ‘Aku lebih berhak ke atas Musa daripada mereka.’ Nabi pun berpuasa pada hari itu dan memerintahkan untuk berpuasa pada hari tersebut.

Riwayat al-Bukhari (3397)

Secara umumnya, berpuasa ‘Asyura’ termasuk dalam puasa-puasa sunat yang digalakkan. ‘Asyura’ ialah hari kesepuluh daripada bulan Muharram. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 10/49).

Ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

أَمَرَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِصَوْمِ عَاشُورَاءَ يَوْمَ عَاشِرٍ

Maksudnya:Rasulullah SAW memerintahkan untuk berpuasa pada hari ‘Asyura’ iaitu hari yang kesepuluh.”

Riwayat al-Tirmizi (755) dan beliau menilainya sebagai hasan sahih.

Imam al-Tirmizi menyatakan, para ulama berbeza pendapat mengenai hari ‘Asyura’ kepada dua pendapat. Sebahagian mereka berpendapat, ia adalah pada hari kesembilan Muharram. Sebahagian mereka lagi pula berpendapat, ia adalah pada hari kesepuluh Muharram. (Lihat Sunan al-Tirmizi, 2/120). Al-Mubarakfuri ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan, ia menjadi dalil yang menunjukkan bahawa hari ‘Asyura’ itu ialah hari kesepuluh. Kemudian, beliau menukilkan daripada al-Zain bin al-Munir yang menyebutkan bahawa ramai dalam kalangan ulama berpendapat hari ‘Asyura’ ialah hari kesepuluh daripada bulan Muharram. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 3/382-383).

Penjelasan berkenaan berpuasa pada hari ‘Asyura’ bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #1065 Puasa Hari ‘Asyura’.[1]

Seterusnya, di antara hikmah digalakkan untuk berpuasa pada hari tersebut — selain daripada ganjaran pahalanya yang besar — adalah bagi memuliakan hari itu, sebagai tanda syukur kepada Allah SWT kerana menyelamatkan Nabi Musa A.S dan bani Isra’il serta menenggelamkan firaun dan pengikutnya. Oleh sebab itu, Nabi Musa A.S berpuasa pada hari itu sebagai tanda syukur kepada Allah SWT dan begitu juga orang-orang Yahudi. Manakala umat Muhammad SAW pula adalah lebih berhak untuk mengikuti Nabi Musa (yakni berpuasa ‘Asyura’) berbanding orang-orang Yahudi. (Lihat Minhah al-‘Allam fi Syarh Bulugh al-Maram, 5/80-81).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”

 

Nota kaki:

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/1065-puasa-hari-asyura/. Diakses pada 25 Julai 2023.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *