Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah wajib mengeluarkan zakat harta benda tidak bergerak seperti bangunan kilang dan prasarana yang lain?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Zakat adalah termasuk dalam rukun Islam yang lima di mana ia wajib ditunaikan oleh setiap orang beragama Islam yang telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Antara tujuan pensyariatan zakat ini adalah untuk membersihkan hati dan harta disamping melahirkan masyarakat Islam yang pemurah dan prihatin terhadap kesusahan yang dihadapi oleh saudara mereka. Allah SWT berfirman:
خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا
Maksudnya: “Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk).”
(Surah al-Taubah: 103)
Syeikh al-Maraghi menyebutkan, sedekah (zakat) itu dapat membersihkan mereka daripada sifat bakhil, tamak dan sifat yang kasar kepada golongan fakir yang hidup melarat. Di samping itu, kamu juga dapat menyucikan jiwa mereka dan mengangkat mereka ke darjat orang yang baik dengan melakukan kebajikan sehingga mereka wajar menerima kebahagian di dunia dan akhirat. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/2888).
Berkenaan persoalan di atas, Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam fatwanya menyebut:
“Para fuqaha’ menetapkan bahawa zakat wajib atas harta yang mencapai nisab apabila dapat berkembang, sama ada dikembangkan oleh pemiliknya atau tidak, dan sama ada pengembangannya itu dia abaikan disebabkan adanya keuzuran atau tidak.
Berdasarkan ini, zakat tidak wajib atas harta yang tidak bergerak seperti bangunan kilang, makmal dan peralatan walau berapa besar pun nilainya, kerana ia adalah alat-alat untuk pengeluaran, dan bukan sesuatu yang pada dasarnya adalah harta yang dikembangkan. Bahkan nilainya menjadi berkurangan setelah digunakan.
Tidak ada bezanya antara alat-alat pengeluaran yang lama seperti senjata yang dipergunakan, buku-buku ulama dan alat-alat para profesional dengan alat-alat pengeluaran yang baru, walau berapa besar pun nilainya kerana tabiatnya adalah satu dan tujuannya juga satu. Hal ini berbeza dengan apa yang difatwakan oleh sebahagian ulama kontemporari. (Lihat Fatawa Mu’asirah oleh Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili, hlm. 27)
Kami akhiri dengan doa kepada pengeluar zakat:
آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا
Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.”