Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bilakah disunatkan untuk kita mengangkat kedua belah tangan ketika solat ?  Mohon pencerahan Dato’.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلَاةِ الْوُسْطَىٰ وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ

Maksudnya: “Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.”

(Surah al-Baqarah: 238)

Merujuk kepada dalil di atas, al-Qurtubi mentafsirkan maksud perkataan “peliharalah” ialah merujuk kepada suruhan Allah SWT ke atas hambanya supaya memelihara serta menjaga solatnya dengan mengerjakan solat tersebut dalam waktunya dan memenuhi syarat-syaratnya. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 3/212)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terdapat empat tempat disunatkan untuk mengangkat tangan ketika solat:

  1. Ketika takbiratul ihram.
  2. Ketika ruku’.
  3. Ketika I’tidal.
  4. Ketika bangun dari tasyahhud awal.

Kami kemukakan sebahagian daripada dalil-dalil.

Daripada Ibn Umar R.Anhuma, katanya:

رَأَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم افْتَتَحَ التَّكْبِيرَ فِي الصَّلاَةِ، فَرَفَعَ يَدَيْهِ حِينَ يُكَبِّرُ حَتَّى يَجْعَلَهُمَا حَذْوَ مَنْكِبَيْهِ، وَإِذَا كَبَّرَ لِلرُّكُوعِ فَعَلَ مِثْلَهُ، وَإِذَا قَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ‏.‏ فَعَلَ مِثْلَهُ

Maksudnya: Aku telah melihat Nabi SAW membuka takbir di dalam solat (iaitu memulakan solat dengan bertakbir), dengan mengangkat kedua tangannya ketika bertakbir sehingga sama pada bahagian bahunya. Ketika bertakbir untuk rukuk juga Baginda melakukan sedemikian dan ketika Baginda mengucapkan: “Sami’allu liman hamidah”, Baginda melakukan sedemikian juga.

Riwayat al-Bukhari (738) dan al-Nasa’ie (876)

Daripada Malik bin al-Huwairith RA, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم كَانَ إِذَا كَبَّرَ رَفَعَ يَدَيْهِ حَتَّى يُحَاذِيَ بِهِمَا أُذُنَيْهِ

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW ketika bertakbir, mengangkat kedua tangannya sehingga bersetentang dengan cuping telinga…

Riwayat Muslim (391)

Semoga Allah membantu anda dalam lebih memahami syariat Allah SWT dan moga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

(Surah Ibrahim: 40)

Wallahua`lam.

Leave a Reply