#4980: Tempoh Masa Dua Masjid; Masjidil Haram dan Masjid al-Aqsa Selama 40 tahun?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah tempoh masa dua masjid; Masjidil Haram dan Masjid al-Aqsa selama 40 tahun? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Masjidil Haram (المسجد الحرام) merupakan sebuah masjid yang terletak di kota Makkah yang dilihat antara tempat yang suci bagi umat Islam di seluruh dunia. Masjid ini juga di dalamnya terletak rumah Allah iaitu baitullah atau dinamakan Ka’bah yang menjadi arah kiblat bagi seluruh umat Islam apabila ingin mengerjakan ibadah solat.

Selain itu juga, nama Masjidil Haram disebut di dalam al-Qur’an di beberapa tempat, antaranya firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا وَيَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ اللَّـهِ وَالْمَسْجِدِ الْحَرَامِ الَّذِي جَعَلْنَاهُ لِلنَّاسِ سَوَاءً الْعَاكِفُ فِيهِ وَالْبَادِ

Maksudnya: “Sesungguhnya (amatlah zalim) orang-orang yang kafir serta menghalang manusia dari jalan Allah (agama Islam) dan dari memasuki Masjid al-Haram (Makkah) yang Kami jadikan ia sebagai tempat beribadah bagi seluruh umat manusia (yang beriman) sama ada yang menetap di situ atau yang datang berziarah.”

(Surah al-Hajj: 25)

Ibn Kathir mengatakan ayat ini menunjukkan bahawa Allah SWT telah menjadikan ia (Masjidil Haram) sebagai tempat ibadah bagi semua manusia dan tidak ada perbezaan antara yang bermukim di tempat tersebut ataupun orang yang tinggal jauh dari tempat tersebut. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/409).

Demikianlah jelaslah pada kita bahawa Masjidil Haram merupakan salah satu masjid yang mulia kerana namanya dinukilkan di dalam al-Quran yang mulia. Di samping itu juga, Masjidil Haram terletak di dalam tempat yang mulia iaitu Makkah al-Mukarramah.

Begitu juga dengan Masjid al-Aqsa. Ia merupakan tempat yang mulia kerana ia adalah kiblat pertama umat Islam. Selain itu, Masjid al-Aqsa juga merupakan tempat risalah langit dan pertemuan kenabian pada masa-masa yang lama dalam sejarah. Oleh sebab itu, ia di antara tempat yang dilipat gandakan pahala bagi sesiapa yang solat di dalamnya serta dituntut untuk bermusafir kepadanya. Nabi SAW bersabda:

لاَ تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلَّا إِلَى ثَلاَثَةِ مَسَاجِدَ: المَسْجِدِ الحَرَامِ، وَمَسْجِدِ الرَّسُولِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَمَسْجِدِ الأَقْصَى

Maksudnya: “Tidaklah dipersiapkan tunggangan (yakni janganlah kamu bermusafir dengan niat ibadah padanya), kecuali menuju kepada tiga buah masjid iaitu al-Masjid aI-Haram, Masjid Rasulullah SAW, dan Masjid al-Aqsa.”

Riwayat al-Bukhari (1189)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa benar, tempoh masa antara dua masjid; Masjidil Haram dan Masjid al-Aqsa adalah selama 40 tahun.

Ini jelas sebagaimana riwayat daripada Abu Zar R.A, beliau berkata:

قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَيُّ مَسْجِدٍ وُضِعَ أَوَّلَ؟ قَالَ: الـمَسْجِدُ الحَرَامُ. قُلْتُ: ثُمَّ أَيٌّ؟، قَالَ: الـمَسْجِدُ الأَقْصَى قُلْتُ: كَمْ كَانَ بَيْنَهُمَا؟ قَالَ: أَرْبَعُونَ، ثُمَّ قَالَ: حَيْثُمَا أَدْرَكَتْكَ الصَّلاَةُ فَصَلِّ، وَالأَرْضُ لَكَ مَسْجِدٌ

Maksudnya: “Aku berkata: ‘Wahai Rasulullah, masjid manakah yang pertama kali diletakkan (dibina)?’ Baginda bersabda: ‘Masjidil Haram.’ Aku bertanya: ‘Kemudian masjid yang mana?’ Baginda bersabda: ‘Masjid al-Aqsa.’ Aku bertanya: ‘Berapakah jarak (waktu) di antara kedua-duanya?’ Baginda SAW menjawab: ‘Empat puluh (tahun).’ Setelah itu Baginda bersabda: ‘Di mana saja engkau berada kemudian masuk waktu solat, solatlah kamu, sesungguhnya bumi adalah masjid buat kamu.’

Riwayat al-Bukhari (3425)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *