Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh syarahkan kepada kami hadith yang terkait dengan perintah Nahi Mungkar, melalui tangan, lisan dan sekurang-kurangnya hati?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
لُعِنَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ مِنۢ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ عَلَىٰ لِسَانِ دَاوُۥدَ وَعِيسَى ٱبْنِ مَرْيَمَ ۚ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَوا۟ وَّكَانُوا۟ يَعْتَدُونَ ٧٨ كَانُوا۟ لَا يَتَنَاهَوْنَ عَن مُّنكَرٍۢ فَعَلُوهُ ۚ لَبِئْسَ مَا كَانُوا۟ يَفْعَلُونَ
Maksudnya: Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. (78) Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan.
(Surah Al-Ma’idah: 78-79)
Menjawab persoalan di atas, kami nukilkan sebuah hadith daripada Abu Said al-Khudri RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرُهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فِبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الإِيْمَانِ
Maksudnya: “Sesiapa di antara kamu melihat sesuatu kejahatan, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya, sekiranya tidak mampu hendaklah dengan lisannya, dan sekiranya tidak mampu hendaklah dengan hatinya yang demikian itu (mengingkarkan dengan hati) adalah selemah-lemah iman.”
Riwayat Muslim (49) dalam Sahihnya
Perkataan ‘man’ (مَنْ) Merupakan isim syarat yang jazam sedangkan perkataan ‘Ra’a’ (رَأَى) adalah fe’il syarat. Kemudian perkataan ‘maka cegahlah dengan tangannya’ merupakan jawab syarat. Hadis ini menunjukkan Nabi SAW memerintahkan semua umat ini untuk mencegah kemungkaran jika seseorang itu melihatnya tanpa mengira jawatan seseorang.
Imam Ahmad seperti dihikayatkan oleh al-Qadhi Abu Ya’la dalam salah satu riwayatnya menyebut: “Wajib ingkar kemungkaran bagi siapa yang mengetahui sekalipun orang itu tidak menerimanya.” Beliau mentashihkan pendapat ini iaitu dengan kewajipannya dan ini merupakan pendapat kebanyakkan ulama.
Perkataan ‘Ra’a’ (رَأَى) yang memberi maksud melihat dan mengetahui dengan yakin, begitu juga mengetahui dan mendengar dengan yakin kerana beramal dengan umum hadis lebih utama daripada dikhususkannya. Dalam mencegah kemungkaran hendaklah yakin bahawa ia adalah mungkar dan sememangnya mungkar bagi pelakunya. Bukan hanya sebahagian tidak sebahagian yang lain. Contohnya berbuka puasa pada bulan ramadhan adalah mungkar tetapi orang itu sakit atau musafir maka halal baginya berbuka.
Adapun cara melarang berbuat kejahatan atau mungkar itu, sama ada dengan tangannya iaitu dengan tindakan keras, “wa imma” dengan lisannya iaitu dengan memberikan nasihat atau sekurang kurangnya dengan mengingkarkan dengan hatinya.
Maka di atas tafsiran ayat dan hadis yang disebutkan itulah ayat ini membawa pengertian hendaklah kamu menjadi umat yang menyeru orang supaya berbuat kebajikan dan menegah orang daripada mengerjakan kejahatan.
Maka pihak yang berpegang dengan pendapat itu mengatakan الأمر بالمعروف dan النهي عن المنكر adalah fardu kifayah yang bermakna jika ada seseorang Islam melakukannya terlepaslah tanggungjawab itu dari orang-orang Islam yang lain. (Lihat al-Kafi, hlm. 347-349)
Marilah sama-sama kita mengingati pesanan Rasulullah SAW dengan tegas:
لَتَأمُرُنَّ بالمَعروفِ، ولَتَنهَوُنَّ عنِ المُنكَرِ، أو لَيُسلِّطَنَّ اللهُ عليكم شِرارَكم، فيَدْعو خِيارُكم فلا يُستَجابُ لهم.
Maksudnya: Sama ada kamu melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar atau kamu dikalahkan oleh orang jahat di kalangan kamu. Ketika itu orang baik di kalangan kamu berdoa, maka tetap tidak dimakbulkan doanya.
Riwayat al-Bukhari (581) Muslim (826) al-Tirmizi (183) al-Nasai (562)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ
Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”