Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah seseorang itu marah ketika memberi nasihat apabila melihat sesuatu yang tidak disukai dan tidak betul?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ

Maksudnya: “Dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”

(Surah al-‘Asr: 3)

Imam al-Tabari berkata: Saling berpesan dengan kebenaran membawa maksud: “Mereka saling menasihati untuk mengerjakan amalan, sebagaimana diturunkan oleh Allah di dalam Kitab-Nya, iaitu yang diperintahkan-Nya dan menjauhi apa yang dilarang-Nya.” Saling berpesan dengan kesabaran pula bermaksud: “Mereka saling menasihati untuk menetapi kesabaran dalam melaksanakan ketaatan terhadap Allah.” (Lihat Tafsir al-Tabari, 24/590)

Dalam menjawab persoalan ini, Imam al-Bukhari telah mem’bab’kan satu bab.

بَابُ الغَضَبِ فِي المَوْعِظَةِ وَالتَّعْلِيمِ، إِذَا رَأَى مَا يَكْرَهُ

 Bab : Marah Ketika Memberi Nasihat Dan Pembelajaran Apabila Melihat Sesuatu Yang Tidak Disukainya

Daripada Abu Mas‘ud al-Ansari, katanya:

قَالَ رَجُلٌ: يَا رَسُولَ اللهِ، لاَ أَكَادُ أُدْرِكُ الصَّلاَةَ مِمَّا يُطَوِّلُ بِنَا فُلاَنٌ، فَمَا رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي مَوْعِظَةٍ أَشَدَّ غَضَبًا مِنْ يَوْمِئِذٍ، فَقَالَ: «أَيُّهَا النَّاسُ، إِنَّكُمْ مُنَفِّرُونَ، فَمَنْ صَلَّى بِالنَّاسِ فَلْيُخَفِّفْ، فَإِنَّ فِيهِمُ المَرِيضَ، وَالضَّعِيفَ، وَذَا الحَاجَةِ».

Maksudnya: Ada seorang lelaki berkata: “Wahai Rasulullah, hampir-hampir aku melewatkan solat kerana si fulan memanjangkan bacaannya di dalam solat ketika mengimami kami.” Aku tidak pernah melihat Nabi SAW dalam nasihatnya lebih marah berbanding pada hari itu. Nabi SAW bersabda: “Wahai manusia! Sesungguhnya kamu menjauhkan orang. Sesiapa yang menjadi imam kepada orang ramai, maka hendaklah dia meringankan solat, kerana dalam  kalangan mereka ada yang sakit, ada yang lemah dan ada yang mempunyai keperluan.”

Riwayat al-Bukhari (90)

Walaupun dalam ibadat, tetapi apabila membawa kesukaran kepada orang ramai, maka hal seperti itu ditegah oleh Rasulullah SAW kerana ramainya yang mempunyai keuzuran tertentu dengan sebab sakit, tua, letih, mahu qadha hajat dan lain-lain. Apatah lagi apabila ibadat tersebut seperti solat berjemaah.

Justeru sifat meraikan adalah amat penting. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى

Maksudnya: “Wahai Allah! Sesungguhnya kami memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat iffah dan kekayaan.”

Leave a Reply