#4998: Kanak-kanak Mendapat Pahala Amal Kebaikan dan Diangkat  Daripada Mereka  Dosa

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya faham bahawa seseorang tidak dihitung dosanya atas perbuatan-perbuatan sebelum baligh. Saya mempunyai anak-anak yang saya ajar untuk melakukan ibadah dan tanggungjawab syara’. Adakah mereka akan mendapat pahala atas amalan ibadah dan ketaatan sebelum mencapai usia baligh ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah.”

(Surah al-Baqarah: 286)

Diriwayatkan daripada daripada Ali bin Abi Talib RA, Nabi SAW bersabda:

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ: عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَحْتَلِمَ، وَعَنِ الْمَجْنُونِ حَتَّى يَعْقِلَ

Maksudnya: “Diangkat pena daripada tiga golongan, iaitu orang yang tidur sehingga dia terjaga, kanak-kanak sehingga dia bermimpi, dan orang yang gila sehingga dia berakal.”

Riwayat Abu Daud (4403)

Nas di atas menunjukkan taklifan ibadat dikecualikan daripada tiga golongan ini. Dalam erti akta yang lain, sekali pun seseorang itu melakukan perkara maksiat, ia tidak dianggap berdosa kerana mereka bukanlah ahli taklif.

Dinyatakan dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah: Para ahli fekah sepakat bahawa akal adalah syarat bagi tanggungjawab seseorang. Oleh itu, ibadah seperti solat, puasa, haji, jihad, dan sebagainya tidak diwajibkan ke atas orang yang tidak berakal seperti orang gila, walaupun dia adalah seorang Muslim yang baligh. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 30/264 )

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan menurut syariat, seorang kanak-kanak lelaki yang belum mencapai baligh tidaklah diwajibkan oleh syara’ untuk melaksanakan tanggungjawab syara’ sepertimana  yang diwajibkan ke atas individu yang telah baligh. Namun sekiranya dia melaksanakan ibadat solat atau haji atau perkara-perkara taat yang lain, maka dia diberikan ganjaran terhadap perkara tersebut.

Hal ini seperti mana yang diriwayatkan daripada  ‘Ali bin Abi Talib R.A, sabda Rasulullah SAW:

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ: عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَحْتَلِمَ، وَعَنِ الْمَجْنُونِ حَتَّى يَعْقِلَ

Maksudnya: “Diangkat pena daripada tiga golongan, iaitu orang yang tidur sehingga dia terjaga, kanak-kanak sehingga dia bermimpi, dan orang yang gila sehingga dia berakal.”

Riwayat Abu Dawud (4403), Ahmad (1183), Tirmizi (1423), Nasa‘ie (3432), dan Ibn Majah (2041)

Syeikh Abdullah al-Tayyar menyatakan: “Yang dimaksudkan dalam hadith tersebut adalah tidak ditulis baginya dosa. Ini kerana pada ketika itu, dia tidak dianggap sebagai mukallaf.” (Lihat Wabal al-Ghumamah Syarh Umdah al-Fiqh li Ibn al-Qudamah, 9/9)

Al-Imam al-Munawi ketika menasyarahkan hadith di atas beliau menyebutkan: yang dimaksudkan “Diangkat pena daripada tiga golongan” ialah berbentuk kinayah yang bermaksud tidak ditaklifkan. Oleh itu taklif ditulis daripadanya catatan amal (Lihat Faidh al-Qadir, 4/35)

Begitu juga Ibn Rusyd menyatakan: Kanak-kanak tidak dicatat ke atasnya kesalahan, namun kebaikan dicatat baginya mengikut pandangan yang paling sahih. (Lihat Mawahib al-Jalil,1/413)

Dalam isu ini juga Dar al-Ifta dalam fatwanya menyatakan: Sekiranya seorang kanak-kanak, walaupun tidak diwajibkan untuk melaksanakan ibadah secara mutlak, namun jika dia melakukannya dengan cara yang betul, dia akan mendapat pahala. Pembebasan dari tanggungjawab bagi kanak-kanak hanya berkaitan dengan perbuatan jahat. Namun, pahala bagi melakukan ketaatan tidak terbatal, bahkan dia akan mendapat ganjaran atas setiap ibadah yang dilakukan.[1]

Justeru, walaupun kanak-kanak belum mencapai usia baligh, jika mereka melaksanakan ibadah seperti haji, umrah, atau melakukan apa-apa ketaatan dan kebaikan yang lain, mereka akan diberikan ganjaran pahala atas amalannya tersebut. Namun, jika mereka melakukan dosa atau maksiat, mereka tidak dihukum dan dosa mereka diangkat.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahua’lam

 

Nota kaki:

[1] Lihat : https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/19727/% Diakses pada 4 Disember 2023

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *