#4999: Apakah Nabi SAW Pernah Lupa?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah Nabi SAW pernah lupa ketika solat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, katanya:

صَلَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. فَلَمَّا سَلَّمَ قِيلَ لَهُ: يَا رَسُولَ اللهِ، أَحَدَثَ فِي الصَّلاَةِ شَيْءٌ؟ قَالَ: «وَمَا ذَاكَ»، قَالُوا: صَلَّيْتَ كَذَا وَكَذَا، فَثَنَى رِجْلَيْهِ، وَاسْتَقْبَلَ القِبْلَةَ، وَسَجَدَ سَجْدَتَيْنِ، ثُمَّ سَلَّمَ، فَلَمَّا أَقْبَلَ عَلَيْنَا بِوَجْهِهِ، قَالَ: «إِنَّهُ لَوْ حَدَثَ فِي الصَّلاَةِ شَيْءٌ لَنَبَّأْتُكُمْ بِهِ، وَلَكِنْ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ مِثْلُكُمْ، أَنْسَى كَمَا تَنْسَوْنَ، فَإِذَا نَسِيتُ فَذَكِّرُونِي، وَإِذَا شَكَّ أَحَدُكُمْ فِي صَلاَتِهِ، فَلْيَتَحَرَّ الصَّوَابَ فَلْيُتِمَّ عَلَيْهِ، ثُمَّ لِيُسَلِّمْ، ثُمَّ يَسْجُدُ سَجْدَتَيْنِ».

Maksudnya: “Nabi SAW menunaikan solat, selepas Baginda memberi salam, seseorang bertanya kepadanya: “Wahai Rasulullah, adakah wahyu baru turun ketika solat tadi? Nabi SAW bertanya: “Mengapa?” Para sahabat berkata: “Engkau bersolat dengan sekian sekian rakaat.” Lalu Nabi SAW pun melipatkan dua kakinya, menghadap qiblat dan melakukan sujud dua kali. Kemudian Baginda memberi salam. Setelah Nabi SAW menghadap ke arah kami, Baginda bersabda: “Jika ada wahyu baru yang turun ketika solat tadi, pasti aku telah beritahu kamu. Namun aku hanya manusia seperti kamu; aku juga lupa seperti kamu lupa. Jika aku lupa, ingatkanlah aku. Jika seseorang daripada kamu syak dalam solatnya, hendaklah dia mencari kepastian, dan menyempurnakan solat atas kepastian tersebut. Dia hendaklah memberi salam lalu sujud dua kali.”

Riwayat al-Bukhari (401) dan Muslim (572)

Berdasarkan hadith ini, benarlah bahawa Nabi SAW pernah lupa dalam solat. Hal ini jelas berdasarkan sabda Nabi SAW yang menyebutkan:

 إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ مِثْلُكُمْ، أَنْسَى كَمَا  فَإِذَا نَسِيتُ فَذَكِّرُونِي تَنْسَوْنَ

Maksudnya: “Aku hanya manusia seperti kamu; aku juga lupa seperti kamu lupa Jika aku lupa, ingatkanlah aku.”

Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: Ibn al-Qayyim berkata: “Kesalahan dan lupanya Nabi SAW dalam solat merupakan satu kesempurnaan nikmat Allah SWT yang menyelamatkan umatnya dan melengkapkan agama mereka, supaya mereka dapat mencontohi baginda dalam situasi kesalahan, kelalaian dan lupa yang dibolehkan oleh syarak.

Disebutkan bahawa antara hikmah daripada kesalahan yang dilakukan oleh Nabi SAW adalah menunjukkan hakikat sifat kemanusiaan baginda SAW, dan ini dilakukan agar pihak ekstrem dan melampau tidak mendapat peluang untuk memberikan sifat-sifat ilahi dan ketuhanan kepada baginda SAW dengan menyebut nama yang agung. Oleh itu, Nabi SAW bersabda: ” “Aku hanya manusia seperti kamu; aku juga lupa seperti kamu lupa Jika aku lupa, ingatkanlah aku.” Hikmah daripada sujud sahwi pula adalah untuk menghina syaitan, yang merupakan punca lupa dan kesalahan, dan sebagai penyelesaian bagi kekurangan yang mungkin berlaku dalam solat. Ini juga sebagai keredhaan kepada Allah kepada hamba-Nya dengan menyempurnakan ibadah kepada-Nya, memperbetulkan ketaatan. Wallahu’alam. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/327)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

1 thoughts on “#4999: Apakah Nabi SAW Pernah Lupa?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *