Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Kami ingin mengetahui, walaupun datuk hanya sebagai seorang pendakwah biasa buat masa ini, Disember 2023, tapi Datuk sentiasa istiqamah menjawab soalan di dalam Maktabah al-Bakri dan juga al-Inarah? Sehingga setakat ini sudah mencecah 5000 soalan dan jawapan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, saya ucapkan alhamdulillah

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ

Keduanya, kami lafazkan sekali lagi syukur kerana dengan izin-Nya juga, Dia telah mentaufikkan kami untuk berada di landasan ilmu dan kefatwaan sejak daripada muda lagi. Minat kami kepada fatwa sejak di bangku Thanawi apabila melihat Sahibus Samahah Mufti Terengganu ketika itu, Datuk Indera Guru dengan pakaian yang cukup menarik iaitu misylah atau jubah ketika sembahyang Jumaat. Rasa betapa kerdilnya insan ini di hadapan tokoh yang luar biasa.

Tambahan pula, ketika berada di SMASZA Thanawi 1985-1988, kami diajar oleh masyayikh daripada al-Azhar, Mesir dan mereka selalu menyebut tokoh-tokoh ulama’ besar Mesir, seperti Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi dan kebetulan ketika itu, Syeikh al-Azhar, Syeikh Ali Jad al-Haq Ali Jad al-Haq masuk ke bilik kami. Ketika itu guru kami bertanyakan soalan kepada saya, dan saya tidak dapat menjawab. Dia malu dan saya malu. Hal ini sedikit sebanyak memberi semangat kepada saya kerana ketika itu saya baru masuk tahun 1 Thanawi. Ketokohan beliau menjadi pemangkin semangat kepada kami untuk mengkaji dalam ilmu-ilmu agama.

Ketiganya, apabila sampai di kota suci Madinah al-Munawwarah, ketika itu Universiti Islam Madinah kaya dengan tokoh-tokoh ulama dan di masjid Nabawi dipenuhi dengan tokoh-tokoh yang luar biasa dari segi keilmuannya, sementelah di Arab Saudi, Mufti Besarnya dipimpin oleh al-Allamah Syeikh Abd al-Aziz bin Baz dan sentiasa menjawab persoalan di dalam rancangan Nur Ala al-Darb. Kami juga dibarisi oleh masyayikh yang terkenal.

Antara guru kami yang kami terkesan ialah al-Allamah Syeikh Dr. Muhammad Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti yang ketika itu baru menamatkan PhDnya dengan tesis bertajuk Ahkam al-Jirahah al-Tibbiyyah. Cara beliau menjawab persoalan amat menarik, seolah-olah mengikut cara Ibn Rusyd melalui kitabnya Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtasid.

Selepas itu, kami meneruskan lagi perjuangan talaqqi ilmu ke bumi Anbiya’, Syria. Di sana, kami bertalaqqi dengan beberapa tokoh seperti Syeikh Sadiq Habannakah, Syeikh Abd al-Qadir al-Arna’ut, al-Allamah Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buti, Al-Allamah Dr Wahbah al-Zuhaili, al-Allamah Dr. Mustafa al-Khin, al-Allamah Dr. Mustafa Bugha, al-Allamah Syeikh Dr. Rejab Dib dan yang paling banyak saya perolehi ilmu secara talaqqi guru kami Fadilatus Syeikh Rusydi Qalam. Justeru, dapatlah kami mengambil istifadah daripada mereka dengan sebaik mungkin.

Selepas pulang ke Malaysia, kami ditaklifkan untuk menjawat jawatan sebagai Ahli Majlis Fatwa Negeri Sembilan, dan selepas beberapa tahun, Ahli Majlis Fatwa Terengganu. Pengalaman tersebut banyak mendewasakan kami. Saat yang sama, terbabit sebagai panel penasihat bank dan juga panel penasihat Tabung Haji yang berakhir dengan Pengerusi Penasihat Ibadat Haji.

Pada tahun 2014, kami ditaklifkan menjawat jawatan sebagai Mufti Wilayah Persekutuan selama enam tahun. Ketika di jawatan inilah, kami telah menjawab soalan hampir 3000 soalan yang dikategorikan dengan pelbagai kategori. Alhamdulillah, selepas selesai menjawat jawatan Menteri pada tahun 2021 sehingga kini, Disember 2023, kami menyusun semula jawapan-jawapan kami dan mengemaskini. Maka dengan izin Allah, kami dapat menubuhkan Maktabah al-Bakri yang berusia hampir dua tahun dan pada bulan November 2023, dengan izin Allah SWT, kami dapat lancarkan Apps kami yang dinamakan al-Inarah. Alhamdulillah thumma alhamdulillah.

Maka pada hari ini jam 5.20 petang, Isnin, 4 Disember 2023, bersamaan 20 Jamadil Awwal 1445 H, kami telah melepasi jawapan yang ke-5000. Maka kami katakan sekali lagi:

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ

Kenapa kami jawab soalan? Kerana beberapa sebab. Sebahagiannya kerana keterlibatan langsung kami dalam satu tempoh yang panjang, melebihi 20 tahun berkecimpung dalam bidang kefatwaan dan hukum-hakam.

Keduanya, jawapan secara bertulis dan dengan berfakta serta mempunyai rujukan, tidak ramai yang melaksanakannya secara bersungguh-sungguh dan tuntas di Malaysia. Memandangkan mutakhir ini, ledakan maklumat yang kadang-kadang tanpa disaring boleh mengelirukan ummah. Justeru, sebagai sebuah tanggungjawab kepada agama dan sedikit kurniaan ilmu yang diberikan Allah kepada kami, maka dapatlah kami kemukakan jawapan ini dengan izin-Nya. Kami tetap menyatakan sebagaimana ucapan para malaikat:

 سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا ۖ إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ

Maksudnya: “Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.

(Surah al-Baqarah: 32)

Semoga, Apps kami al-Inarah benar-benar memberi cahaya kepada ummah, khususnya ilmu terkait dengan Islam dan panduan kehidupan kepada khalayak masyarakat.

Segala kelemahan akan diperbaiki dari semasa ke semasa dan kami mengalu-alukan sebarang pembetulan kesilapan kami sebagaimana sikap yang selalu kami pegang, sebagaimana kata Saidina Umar R.A:

الرُّجُوعُ إلَى الْحَقِّ خَيْرٌ مِنَ التَّمَادِي فِي الْبَاطِل

Maksudnya: “Kembali kepada kebenaran adalah lebih baik daripada berterusan dalam kebatilan.”

Akhir kalam, kami ucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia dan Nusantara yang mengenali insan yang kerdil ini atas sokongan dan dokongan dalam penyebaran ilmu di media sosial yang diharap memberi banyak kebaikan. Jazakumullahu khairal jaza’.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply