#5002: Orang Yang Paling Afdhal Menyembelih Dalam Kalangan Yang Berkongsi Haiwan Korban

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Di Malaysia, biasanya tujuh orang bersama-sama membeli seekor lembu untuk membuat korban. Soalan saya, siapakah yang lebih berhak menyembelih lembu korban di antara tujuh orang itu? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maksudnya: Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).

(Surah al-Kauthar: 2)

Maksud ‘berkorbanlah’ di dalam ayat tersebut mengikut pendapat yang paling sahih ialah mengorbankan atau menyembelih binatang-binatang korban. Hal ini sepertimana yang disebut di dalam tafsir Imam Ibn Kathir: “Yang benar bahawa yang dimaksudkan dengan al-Nahr adalah menyembelih korban, iaitu menyembelih unta dan sejenisnya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/556)

Dalam menjawab soalan di atas, pertamanya kami katakan bahawa terdapat riwayat daripada Jabir R.A, katanya:

نَحَرْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَامَ الْحُدَيْبِيَةِ الْبَدَنَةَ عَنْ سَبْعَةٍ وَالْبَقَرَةَ عَنْ سَبْعَةٍ

Maksudnya: Kami melakukan korban bersama-sama Rasulullah SAW pada tahun Hudaibiyah dengan seekor unta untuk 7 orang dan seekor lembu untuk tujuh orang.                                                                                

   Riwayat Muslim (1318)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith di atas menyatakan, hadith ini menunjukkan bahawa diharuskan untuk berkongsi dalam satu haiwan korban. Para ulama berselisih pendapat dalam perkara ini. Ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i berpendapat, diharuskan untuk berkongsi dalam satu haiwan korban, tidak kira korban sunat mahupun wajib, begitu juga sama ada semua sekali melakukannya kerana taqarrub (yakni mendekatkan diri kepada Allah) atau sebahagian daripada mereka bertujuan untuk taqarrub dan sebahagian lagi bertujuan bagi mendapatkan daging, dan dalil yang menunjukkan kepada keharusan perbuatan tersebut ialah hadith ini. Ini juga merupakan pendapat Imam Ahmad dan jumhur ulama.

Manakala Daud dan sebahagian ulama mazhab Maliki mengharuskan untuk berkongsi dalam haiwan korban sunat dan bukannya wajib. Imam Malik pula tidak membenarkannya secara mutlak. Selain itu, Imam Abu Hanifah pula mengharuskan untuk berkongsi, sekiranya kesemua mereka bertujuan untuk taqarrub, dan sekiranya tidak, maka ia tidak dibenarkan.

Di samping itu, para ulama juga bersepakat bahawa kambing yang dijadikan korban tidak boleh dikongsi — yakni seekor kambing hanya untuk seorang sahaja. Selain itu, dalam hadith di atas juga menunjukkan bahawa seekor unta boleh dikongsi sebanyak tujuh bahagian dan begitu juga dengan seekor lembu boleh dikongsi sebanyak tujuh bahagian. Justeru setiap haiwan tersebut kedudukannya sama seperti tujuh ekor kambing, sehinggakan jika seseorang yang berihram mempunyai tujuh dam selain dam jaza’ al-said yang perlu dibayar. Lalu dia membayarnya dengan menyembelih seekor unta atau lembu, maka kesemua tujuh damnya itu dikira selesai. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9/67).

Diriwayatkan oleh Jabir R.A, bahawa Baginda SAW telah melakukan korban:

فَنَحَرَ ثَلَاثًا وَسِتَّينَ بَدَنَةً بِيَدِهِ ثُمَّ أَعْطَى عَلِيًّا فَنَحَرَ مَا غَبَرَ وَأَشْرَكَهُ فِي هَدْيِهِ ثُمَّ أَمَرَ مِنْ كُلِّ بَدَنة بِبَضْعَةٍ فَجَعَلَتْ فِي قِدرٍ فَطَبَخَتْ فَأَكَلَا مِن لَحْمِهَا وَشُرْبَا مِن مَرْقِهَا

Maksudnya: “Baginda SAW menyembelih 63 ekor unta dengan tangannya, kemudian Baginda SAW memberikan kepada Ali untuk menyembelih haiwan yang berbaki. Lalu Baginda SAW menyuruh supaya bagi setiap satu unta itu dibahagikan kepada beberapa orang. Kemudian dimasukkan ke dalam periuk lalu dimasak. Setelah itu mereka berdua makan dagingnya dan minum kuahnya.”

Riwayat Muslim (1218)

Seterusnya, berbalik kepada soalan yang diajukan, menurut ulama, sekurang-kurangnya ada tiga kriteria seseorang itu lebih berhak dan afdhal untuk menyembelih binatang korban iaitu:

Pertama: Penyembelihan haiwan korban hendaklah dilakukan oleh orang yang soleh dan taat beragama serta memahami/mengetahui hukum dan tatacara penyembelihan haiwan korban. Orang yang bertaqwa dan memahami hukum menyembelih korban hendaklah diutamakan daripada orang lain.

Hal ini seperti yang disebutkan oleh Dr. Husamuddin dalam kitabnya, al-Mufassal fi Ahkam al-Udhhiyyah (hlm. 145) bahawa adapun mewakilkan sembelihan haiwan korban, maka hukumnya adalah dibolehkan. Sebaiknya untuk mewakilkan sembelihan haiwan korban kepada orang yang taat beragama serta mengetahui hukum-hakum menyembelih haiwan korban.

Kedua: Orang yang mampu menyembelih haiwan korban dengan sempurna. Selain bersifat soleh dan mengetahui hukum-hakum sembelihan haiwan korban, juga mampu untuk menyembelihnya.

Ketiga: Penyembelih sebaik-baiknya adalah lelaki. Oleh kerana itu, jika tujuh orang yang berkongsi itu dan di dalamnya ada lelaki dan perempuan, maka yang lebih berhak untuk menyembelihnya adalah orang lelaki Ini sebagaimana disebutkan oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili bahawa afdhalnya bagi lelaki untuk menyembelih sendiri haiwan korbannya jika dia berkemampuan sebagai mengikuti perbuatan Nabi SAW. Begitu juga sunnah bagi perempuan untuk mewakilkan sembelihan haiwan korbannya kepada orang lain. Selain itu, orang yang melakukan korban, hendaklah menghadiri penyembelihan haiwan korbannya secara langsung kerana mengamalkan sunnah Nabi SAW dan mengharapkan keampunan daripada Allah SWT. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 4/2736).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا ۖ إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ، وَتُبْ عَلَيْنَا ۖ إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ ‎

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui; dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *