#5024: Menerima Hadiah Yang Diberikan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah terdapat dalil pensyariatan menerima hadiah yang diberikan? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Hadiah berasal daripada perkataan bahasa Arab, yang bermaksud pemberian seseorang yang sah memberi ketika dia masih hidup, secara tunai tanpa ada sebarang syarat dan mengharapkan balasan. (Lihat Aqrab al-Masalik, 5/342)

Dari sudut bahasa, hadiah ialah harta yang diserahkan atau diberikan kepada seseorang sebagai tanda penghormatan kepadanya. Manakala dari sudut istilah, ulama’ mazhab Syafi’i menyebut bahawa hadiah ialah pemilikan sesuatu benda tanpa berlakunya pertukaran dan berlakunya perpindahan (barang tersebut) kepada orang yang dihadiahkan sebagai tanda penghormatan. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42/252)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A sabda Nabi SAW:

تَهَادُوا تَحَابُّوا

Maksudnya: “Hendaklah kamu saling memberi hadiah. Nescaya, kamu akan saling mengasihi dan mencintai.

Riwayat al-Baihaqi (6/169), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (7240), dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (594). Hadith ini isnadnya dinilai hasan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam al-Talkhis al-Habir (3/1047)

Para fuqaha’ bersepakat bahawa pensyariatan hadiah adalah disunatkan pada asalnya, melainkan sekiranya kepentingan yang mendatang. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42/255)

Selain itu, turut dijelaskan pembahagian hadiah terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu:

  • Halal di antara keduanya iaitu pemberi dan penerima hadiah bertujuan untuk bersilaturrahim.
  • Haram di antara keduanya seperti pemberian bertujuan melakukan kezaliman.
  • Diharamkan kepada penerima hadiah sahaja sekiranya pemberian hadiah itu bertujuan untuk mengelakkan kezalimannya ke atas diri kita.
  • Selain itu, pemberian hadiah disebabkan rasa takut disebabkan kemudharatan adalah halal bagi pemberi dan haram bagi penerima. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42/258)

Dalam menjawab soalan tersebut, kami nyatakan bahawa memberi hadiah adalah perkara baik yang sangat digalakkan dalam Islam. Ini kerana ia membawa kebaikan seperti mempereratkan hubungan antara pemberi dan penerima hadiah dan menambahkan lagi kasih sayang di kalangan umat Islam. Bagi yang menerima hadiah pula, adalah digalakkan untuk membalas pemberian tersebut sambil mendoakan kebaikan  untuk orang yang memberi hadiah tersebut. Hal ini boleh dilihat dalam sebuah hadith yang  diriwayatkan daripada Umm al-Mu’minin  ‘Aisyah R.A bahawa beliau berkata:

كانَ رَسولُ اللَّهِ ﷺ يَقْبَلُ الهَدِيَّةَ ويُثِيبُ عَلَيْها

Maksudnya: “Rasulullah SAW menerima hadiah dan Baginda membalasnya.”

Riwayat Bukhari(2585)

Hadith ini memberikan pemahaman yang jelas tentang pentingnya menerima hadiah yang diberikan. Ini kerana menolak hadiah boleh melukai perasaan pemberi, merosakkan hubungan, melemahkan diri sendiri, serta membawa kepada kesan negatif. Dalam hadith di atas Rasulullah SAW menunjukkan akhlak yang sungguh indah ketika Baginda menerima hadiah iaitu Baginda menerimanya dan membalas balik hadiah yang diberikan kepada pemberi tersebut.

Begitu juga dapat dilihat melalui hadith yang diriwayatkan  daripada Anas bin Malik R.A, katanya: Sabda Rasulullah SAW:

 لوْ أُهْدِيَ إلىَّ كِراعٌ لقَبِلْتُ. ولَوْ دعِيتُ علَيْهِ لأجبْتُ

Maksudnya: Kalau diberi kepadaku keting kambing, nescaya aku terima. Dan kalau aku dijemput untuk itu, dengan hanya keting kambing, nescaya aku akan sahut.”

Riwayat al-Tirmizi (1338) dan Ahmad (13177). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya sahih dalam takhrij al-Musnad.

Syeikh Mustafa al-Nadwi berkata: Rasulullah SAW dengan sifat tawaduknya menerima hadiah walaupun harganya yang murah dan pemberinya orang fakir dari kalangan orang Islam. Beliau sekali-kali tidak takabur dan memandang rendah kepada orang ramai. Ini merupakan sifat kesempurnaan akhlak Rasulullah SAW. (Lihat Jawab al-Sa’il ‘an Syarh al-Syama’il, hlm. 364)

Dalam hadith yang lain Rasulullah SAW memerintahkan ‘Aisyah agar menerima pemberian kerana ia merupakan rezki yang dikurniakan oleh Allah SWT. Diriwayatkan daripada ‘Aisyah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَن أعطاكِ عطاءً بغيرِ مسألةٍ فاقبَليهِ، هوَ رِزقٌ عَرضَه اللهُ إليكِ

Maksudnya: Siapa yang memberikanmu sesuatu pemberian tanpa ada permintaan (imbalan) maka terimalah kerana itu adalah rezeki yang Allah berikan kepadamu.

Riwayat Ahmad(24480) dan Baihaqi(12406)

Justeru jelaslah kepada kita melalui nas-nas di atas bahawa amatlah penting bagi seseorang yang diberikan hadiah kepadanya untuk menerima hadiah yang diberikan agar hubungan silaturrahim kekal harmoni antara pemberi dan penerima. Selain itu dengan menerima hadiah yang diberikan bukan sahaja mengembirakan hati pemberi bahkan ia menunjukkan akhlak yang terpuji dengan menghargai pemberian tersebut. Suka juga kami nasihati sekiranya terdapat beberapa hal keadaan yang terpaksa menolak hadiah yang diberikan maka tolaklah dengan cara dan kata-kata yang baik agar tidak melukai perasaan pemberi.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Wallahua’lam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *