Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah tujuan sebenar sujud sahwi dilakukan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menjawab persoalan di atas, diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

إِذَا شَكَّ أَحَدُكُمْ فِي صَلاَتِهِ، فَلَمْ يَدْرِ كَمْ صَلَّى، أثَلاَثًا أمْ أرْبَعًا؟ فَلْيَطْرَح الشَّكَّ وَلْيَبْنِ عَلَى مَا اسْتَيْقَنَ، ثُمَّ يَسْجُدُ سَجْدَتَيْنِ قَبْلَ أنْ يُسَلِّمَ، فَإنْ كَانَ صَلَّى خَمْسًا شَفَعْنَ لهُ صَلاَتَهُ، وإنْ كَانَ صَلَّى تَمَامًا كَانَتَا تَرْغِيمًا للشَّيطَانِ

Maksudnya: “Apabila salah seorang daripada kamu ragu-ragu dalam solatnya, dan tidak mengetahui berapa rakaat dia solat, tiga atau empat rakaat, maka buanglah keraguan, dan ambilah yang diyakininya. Kemudian sujudlah dua kali sebelum memberi salam. Jika ternyata dia solat lima rakaat, maka sujudnya telah menggenapkan solatnya. Dan jika, ternyata solatnya sempurna rakaat, maka kedua sujudnya itu adalah sebagai penghinaan bagi syaitan”

Riwayat Muslim (571)

Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: “Antara sebab sujud sahwi adalah keraguan dalam solat. Hadith ini membicarakan hukum sujud sahwi bagi sesiapa yang ragu-ragu dalam solat yang bukan disebabkan oleh was-was yang membelenggu seseorang, yang membuatnya melakukan suatu perbuatan, namun dia berkata dalam hatinya: “Saya tidak melakukannya.”. Hadith ini juga menunjukkan bahawa jika seseorang meragui solatnya, misalnya tidak tahu apakah yang dia lakukan itu dua rakaat atau tiga, maka dia harus menyingkirkan keraguan dan mengambil apa yang diyakininya, iaitu bilangan yang lebih rendah. Sebelum salam, dia hendaklah sujud dua kali untuk sujud sahwi.

Imam al-Nawawi mengatakan: Jika seseorang ragu-ragu dan tidak ada kecenderungan pada salah satunya, maka hendaklah dia mengambil bilangan yang paling sedikit sebagaimana ijma’ para ulama’, berbeza dengan orang yang cenderung pada keyakinan bahawa dia melakukan empat rakaat, misalnya. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 5/63)

Hadith ini juga jelas menunjukkan bahawa solat itu sah dan bahawa tidak ada yang membatalkannya. Ini adalah pandangan majoriti ulama, termasuk imam Malik, Ahmad, dan al-Syafi’i. Dalam “al-Syarh,” dikatakan bahawa sekumpulan daripada Tabi’in berpendapat bahawa solat tersebut wajib diulang, tetapi hadith ini bersama dengan pendapat awal yang menyatakan solatnya itu sah dengan perbaikan (sujud sahwi).

Keraguan di sini, menurut fuqaha, adalah apa pun yang selain daripada keyakinan. Ini merangkumi dugaan yang satu lebih lemah daripada yang lain, dan merangkumi keraguan yang seimbang antara kedua perkara itu. Semua ini dianggap sebagai keraguan oleh fuqaha, dan dalam hal ini, haruslah membina dan mengambil apa yang diyakini kerana hati sibuk dengan melakukan kewajiban, dan keamanan tidak akan tercapai kecuali dengan keyakinan. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/339)

Beliau berkata lagi: Hikmah daripada sujud sahwi pula adalah untuk menghina syaitan, yang merupakan punca lupa dan kesalahan, dan sebagai penyelesaian bagi kekurangan yang mungkin berlaku dalam solat. Ini juga sebagai keredhaan kepada Allah kepada hamba-Nya dengan menyempurnakan ibadah kepada-Nya, memperbetulkan ketaatan. Wallahu’alam. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/327)

Jesteru, berdasarkan hadith di atas ini, jelaslah bahawa tujuan sujud sahwi itu adalah untuk melengkapkan kekurangan atau penambahan dalam solat dan ia juga adalah satu penghinaan kepada syaitan yang sentiasa cuba untuk merosakkan solat seseorang itu.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam. 

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)

Leave a Reply