#5010: Cara Beriman Kepada Kitab

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih. 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا آمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَالْكِتَابِ الَّذِي نَزَّلَ عَلَىٰ رَسُولِهِ وَالْكِتَابِ الَّذِي أَنزَلَ مِن قَبْلُ ۚ وَمَن يَكْفُرْ بِاللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا بَعِيدًا ‎

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan RasulNya, dan kepada Kitab Al-Quran yang telah diturunkan kepada RasulNya (Muhammad, s.a.w), dan juga kepada Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu. Dan sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.”

(Surah al-Nisa’: 136)

Syeikh al-Sa‘di menyebutkan, ayat ini memerintahkan untuk beriman kepada Allah, Rasul-Nya, Al-Quran, dan kitab-kitab sebelumnya. Semua ini merupakan iman yang wajib bagi seorang hamba, yang tidak dapat dianggap beriman kecuali jika ia beriman kepada semuanya ini. Secara umum, ini mencakup semua hal yang belum dijelaskan secara terperinci apa yang telah diketahui tentang iman ini. Sesiapa yang beriman kepada iman yang diperintahkan ini, maka dia telah mendapat petunjuk dan keberhasilan. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, hlm. 209).

Ibn al-‘Attar yang menyatakan bahawa sesiapa yang mengingkari kitab Taurat, Injil dan kitab-kitab Allah yang lain yang diturunkan atau kufur dengan kitab-kitab tersebut, atau melaknatnya, atau mencacinya, atau merendah-rendahkan dengannya, maka dia telah dikira kufur atau kafir. (Lihat al-I‘tiqad al-Khalis min al-Syak wa al-Intiqad, hlm. 168-169).

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan kewajipan beriman kepada kitab merupakan kewajipan ke atas setiap muslim kerana ia termasuk dalam rukun iman. Kewajipan tersebut dapat dilihat melalui firman Allah SWT:

نَزَّلَ عَلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ مُصَدِّقًا لِّمَا بَيْنَ يَدَيْهِ وَأَنزَلَ التَّوْرَاةَ وَالْإِنجِيلَ

Maksudnya: Ia menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci (Al-Quran) dengan mengandungi kebenaran, yang mengesahkan isi Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya, dan Ia juga yang menurunkan Kitab-kitab Taurat dan Injil.

(Surah ali Imran: 3)

Begitu juga dapat dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada Umar Bin al-Khattab bahawa Rasulullah bersabda:

أَنْ تُؤْمِنَ بِاَللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ، وَتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّه

Maksudnya:  Iman itu ialah bahawa engkau beriman kepada Allah, dan malaikat-Nya, dan segala kitab-Nya, dan para Rasul-Nya, dan engkau beriman kepada takdir-Nya yang baik dan yang jahat.

Riwayat Muslim(8)

Jelaslah mealui nas-nas al-Quran dan al-Hadith yang dinyatakan di atas menunjukkan kewajipan terhadap seluruh muslim untuk beriman kepada kitab yang diturunkan oleh Allah SWT kepada para Rasul-Nya. Namun bagaimana cara atau kaifiyat beriman kepada kitab ? 

Hal ini dijelaskan dalam kitab Usul Iman fi Dhau’ al-Kitab wa al- Sunnah (131-136) iaitu Kaifiyat beriman kepada kitab-kitab Allah melibatkan beberapa aspek yang ditunjukkan oleh nas-nas yang menegaskan kewajipan untuk mempercayainya dan meyakininya bagi mencapai rukun  iman dan ini mencakupi : 

  • Keyakinan yang kukuh bahawa semuanya diturunkan oleh Allah Yang Maha Mulia dan bahawa kitab-kitab tersebut adalah kalam Allah Yang Maha Tinggi, bukan kalam makhluk.  Allah berkata-kata dengan hakikat sebagaimana dan dengan  cara yang Dia kehendaki. Allah berfirman:

نَزَّلَ عَلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ مُصَدِّقًا لِّمَا بَيْنَ يَدَيْهِ وَأَنزَلَ التَّوْرَاةَ وَالْإِنجِيلَ

Maksudnya: Ia menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci (Al-Quran) dengan mengandungi kebenaran, yang mengesahkan isi Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya, dan Ia juga yang menurunkan Kitab-kitab Taurat dan Injil.

(Surah ali Imran: 3)

Dapat difahami melalui  ayat di atas bahawa AllahSWT  telah menkhabarkan bahawa Dia menurunkan kitab-kitab yang disebutkan  iaitu Taurat, Injil, dan al-Quran, dari sisi-Nya. Ini menunjukkan bahawa Dia sendiri yang berfirman melalui kitab-kitab ini dan kitab-kitab tersebut  berasal daripada-Nya, bukan dari selain-Nya. Oleh itu, Dia mengancam pada akhir konteks ayat bahawa sesiapa yang mengingkari ayat-ayat Allah akan mendapat siksaan yang amat pedih.

  • Beriman bahawa semua kitab itu menyeru kepada ibadah kepada Allah Yang Maha Esa dan ia datang dengan membawa kebaikan, petunjuk, cahaya, dan sinar. Firman Allah SWT:

مَا كَانَ لِبَشَرٍ أَن يُؤْتِيَهُ اللَّهُ الْكِتَابَ وَالْحُكْمَ وَالنُّبُوَّةَ ثُمَّ يَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُوا عِبَادًا لِّي مِن دُونِ اللَّهِ

Maksudnya: Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab ugama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: “Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah”.

(Surah ali Imran: 79 )

Allah  menjelaskan bahawa tidak sepatutnya bagi sesiapa pun dari manusia yang dianugerahkan Allah dengan kitab, hikmah, dan kenabian, untuk memerintahkan manusia agar menjadikannya sebagai tuhan selain Allah. Ini kerana kitab-kitab Allah hanya datang dengan tuntutan kesucian dalam beribadah kepada Allah Yang Maha Esa semata-mata. 

  • Beriman bahawa kitab-kitab Allah saling membenarkan satu sama lain, tidak ada pertentangan di antara kitab-kitab tersebut, sebagaimana yang diungkapkan oleh Allah dalam Al-Quran:

 وَأَنزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ مُصَدِّقًا لِّمَا بَيْنَ يَدَيْهِ مِنَ الْكِتَابِ وَمُهَيْمِنًا عَلَيْهِ

Maksudnya: Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya

(Surah al-Maidah:48)

Diwajibkan  beriman kepada hal ini dan meyakini kesempurnaan kitab-kitab Allah dari sebarang pertentangan atau pertikaian di dalamnya. Ini merupakan salah satu ciri utama yang membezakan kitab-kitab Allah dari kitab-kitab ciptaan manusia, dan kalam  Allah berbeza daripada perkataan manusia. Kitab-kitab ciptaan manusia tidak terlepas dari  kekurangan, cacat, dan pertentangan dengan kitab-kitab ciptaan manusia yang lain sebagaimana yang diungkapkan oleh Allah: 

وَلَوْ كَانَ مِنْ عِندِ غَيْرِ اللَّهِ لَوَجَدُوا فِيهِ اخْتِلَافًا كَثِيرًا

Maksudnya: Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.

(Surah al-Nisa: 82)

  • Beriman dengan apa yang Allah Yang Maha Mulia namakan dari kitab-kitab-Nya secara khusus, dan membenarkannya, serta  mempercayai penkhabaran Allah dan Rasul-Nya tentang kitab-kitab tersebut.  Kitab-kitab tersebut adalah: 
  • Taurat iaitu kitab yang diturunkan kepada Musa. Firman Allah SWT: 

 وَلَقَدْ آتَيْنَا مُوسَى الْكِتَابَ مِن بَعْدِ مَا أَهْلَكْنَا الْقُرُونَ الْأُولَىٰ بَصَائِرَ لِلنَّاسِ وَهُدًى وَرَحْمَةً لَّعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ

Maksudnya: Dan demi sesungguhnya, Kami berikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat sesudah Kami binasakan kaum-kaum yang telah lalu, untuk membuka hati dan menjadi hidayah petunjuk serta membawa rahmat, semoga mereka beringat.

(Surah al-Qasas:43)

  • Inijil iaitu kitab yang diturunkan kepada nabi Isa. Firman Allah SWT:

وَقَفَّيْنَا عَلَىٰ آثَارِهِم بِعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ مُصَدِّقًا لِّمَا بَيْنَ يَدَيْهِ مِنَ التَّوْرَاةِ ۖ وَآتَيْنَاهُ الْإِنجِيلَ فِيهِ هُدًى وَنُورٌ وَمُصَدِّقًا لِّمَا بَيْنَ يَدَيْهِ مِنَ التَّوْرَاةِ وَهُدًى وَمَوْعِظَةً لِّلْمُتَّقِينَ

Maksudnya: Dan Kami utuskan Nabi Isa Ibni Maryam mengikuti jejak langkah mereka (Nabi-nabi Bani Israil), untuk membenarkan Kitab Taurat yang diturunkan sebelumnya; dan Kami telah berikan kepadanya Kitab Injil, yang mengandungi petunjuk hidayah dan cahaya yang menerangi, sambil mengesahkan benarnya apa yang telah ada di hadapannya dari Kitab Taurat, serta menjadi petunjuk dan nasihat pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.

(Surah al-Maidah: 46)

  • Zabur iaitu kitab yang diturunkan kepada nabi Dawud. Firman Allah SWT:

وَآتَيْنَا دَاوُودَ زَبُورًا

Maksudnya: Kami telah memberikan kepada Nabi Daud: Kitab Zabur. 

(Surah al-Nisa:163)

  • Al-Quran iaitu kitab yang diturunkan kepada nabi kita Muhammad SAW. Firman Allah SWT:

وَأَنزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ مُصَدِّقًا لِّمَا بَيْنَ يَدَيْهِ مِنَ الْكِتَابِ وَمُهَيْمِنًا عَلَيْهِ

Maksudnya: Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya

(Surah al-Maidah:48)

Justeru kami katakan melalui nas-nas di atas jelaslah kepada kita akan kewajipan beriman dengan kitab bahkan al-Quran juga menunjukkan kepada kita dengan memberikan panduan bagaimana dan cara beriman kepada kitab. Oleh yang demikian, barangsiapa yang mengingkari kitab-kitab ini maka dia telah mengingkari rukun iman yang menjadi asas kepada setiap muslim.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلِ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِناَ، وَنُوْرَ صُدُوْرِناَ، وَجلاَءَ أَحْزَانِناَ، وَذهَابَ هُمُوْمِناَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah al-Qur’an sebagai penyejuk hati kami, cahaya yang menyinari dada kami, penghibur duka kami dan penghapus kesedihan kami.”

Wallahua’lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *