Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Sekiranya sesebuah negara Islam itu sedang dilanda pertempuran, adakah dibenarkan untuk negara Islam tersebut mendapatkan bantuan dari negara bukan Islam?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan ini, kami bawakan firman Allah SWT:

وَلَا تَتَّخِذُوا۟ مِنْهُمْ وَلِيًّۭا وَلَا نَصِيرًا

Maksudnya: “Dan jangan sekali-kali kamu mengambil (seorang pun) di antara mereka menjadi teman rapat atau penolong.”

(Surah al-Nisa’: 89)

Di dalam ayat ini, Allah SWT melarang umat Islam dari bersahabat dengan golongan musyrikin dan tidak meminta pertolongan mereka untuk menentang tentera musuh. Tetapi, siapakah golongan musyrikin yang dimaksudkan di sini? Mereka adalah golongan munafik yang enggan berjihad di jalan Allah SWT. Bahkan lebih teruk dari itu, mereka ini menginginkan kaum muslimin berbuat kekufuran yang sama sepertimana yang mereka lakukan itu. Allah SWT berfirman pada permulaan ayat di atas:

وَدُّوا۟ لَوْ تَكْفُرُونَ كَمَا كَفَرُوا۟ فَتَكُونُونَ سَوَآءًۭ ۖ

Maksudnya: “Mereka suka kalau kamu pula menjadi kafir sebagaimana mereka telah menjadi kafir.”

(Surah al-Nisa’: 89)

Telah direkodkan di dalam hadith daripada Zaid bin Thabit R.A sebab mengapa ayat ini diturunkan, katanya:

لَمَّا خَرَجَ النَّبِيُّ ﷺ إِلَى أُحُدٍ، رَجَعَ نَاسٌ مِمَّنْ خَرَجَ مَعَهُ، وَكَانَ أَصْحَابُ النَّبِيِّ ﷺ فِرْقَتَيْنِ: فِرْقَةً تَقُولُ: نُقَاتِلُهُمْ، وَفِرْقَةً تَقُولُ: لاَ نُقَاتِلُهُمْ، فَنَزَلَتْ {فَمَا لَكُمْ فِي المُنَافِقِينَ فِئَتَيْنِ وَاللَّهُ أَرْكَسَهُمْ بِمَا كَسَبُوا} [النساء: 88] وَقَالَ: إِنَّهَا طَيْبَةُ، تَنْفِي الذُّنُوبَ، كَمَا تَنْفِي النَّارُ خَبَثَ الفِضَّةِ

Maksudnya: “Ketika Nabi SAW keluar ke perang Uhud, maka sekelompok orang yang keluar bersama Baginda berpatah balik. Adapun sahabat-sahabat Nabi SAW terbahagi menjadi dua kelompok; satu kelompok mengatakan: ‘Kita perangi mereka.’ Dan satu kelompok mengatakan: ‘Kita tidak memerangi mereka.’ Maka turunlah ayat:

{فَمَا لَكُمْ فِي المُنَافِقِينَ فِئَتَيْنِ وَاللَّهُ أَرْكَسَهُمْ بِمَا كَسَبُوا}

(Maka apakah yang menyebabkan kamu berpecah menjadi dua golongan terhadap kaum munafik itu, padahal Allah telah menjerumuskan mereka ke dalam kekufuran disebabkan apa yang telah mereka usahakan?) [Surah al-Nisa’: 88]

Baginda bersabda: ‘Ia adalah Taybah (Madinah), menghilangkan dosa sebagaimana api menghilangkan kotoran pada perak’.”

Riwayat al-Bukhari (4050) dan Muslim (1384)

Berdasarkan nas al-Quran ini, sebahagian ulama’ berhujjah bahawa tidak boleh meminta bantuan atau pertolongan dari tentera bukan Islam untuk bersama-sama menentang tentera musuh. Mereka menguatkan lagi pandangan ini dengan sabda Rasulullah SAW, sebagaimana dalam hadith Ummu al-Mu’minin ‘Aisyah R.Anha, katanya:

خَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ قِبَلَ بَدْرٍ فَلَمَّا كَانَ بِحَرَّةِ الْوَبَرَةِ أَدْرَكَهُ رَجُلٌ قَدْ كَانَ يُذْكَرُ مِنْهُ جُرْأَةٌ وَنَجْدَةٌ، فَفَرِحَ أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ ﷺ حِينَ رَأَوْهُ. فَلَمَّا أَدْرَكَهُ قَالَ لِرَسُولِ اللَّهِ ﷺ: جِئْتُ لِأَتَّبِعَكَ وَأُصِيبَ مَعَكَ. قَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: ‏تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ‏؟‏ قَالَ: لاَ. قَالَ: فَارْجِعْ فَلَنْ أَسْتَعِينَ بِمُشْرِكٍ

Maksudnya: “Rasulullah SAW pergi ke Badar, tatkala Baginda sampai di Harratul Wabarah, Baginda ditemui oleh seorang lelaki yang terkenal gagah berani. Maka para sahabat Rasulullah SAW merasa gembira ketika melihat kedatangannya. Lelaki tersebut berkata kepada Rasulullah SAW: ‘Aku sengaja mengikuti kamu kerana hendak ikut berperang di pihak kamu dan bersama-sama denganmu.’ Rasulullah SAW bertanya kepadanya: ‘Apakah kamu sudah beriman kepada Allah dan Rasul-Nya?’ Dia menjawab: ‘Tidak.’ Baginda bersabda: ‘Jika demikian, kembalilah kamu pulang, sebab kami tidak memerlukan pertolongan orang-orang musyrik’.”

Riwayat Muslim (1817)

Hadith di atas turut disokong dengan riwayat daripada Khubaib bin Isaf al-Ansari R.A, katanya:

أَتَيْتُ رَسُولَ اللهِ ﷺ، وَهُوَ يُرِيدُ غَزْوًا، أَنَا وَرَجُلٌ مِنْ قَوْمِي، وَلَمْ نُسْلِمْ. فَقُلْنَا: إِنَّا نَسْتَحْيِي أَنْ يَشْهَدَ قَوْمُنَا مَشْهَدًا لَا نَشْهَدُهُ مَعَهُمْ. قَالَ: أَوَأَسْلَمْتُمَا؟ قُلْنَا: لَا. قَالَ: فَلَا نَسْتَعِينُ بِالْمُشْرِكِينَ عَلَى الْمُشْرِكِينَ

Maksudnya: “Aku mendatangi Rasulullah SAW bersama seorang lelaki ketika Baginda hendak keluar berjihad, sebelum kami masuk Islam. Kami berkata (kepada Baginda): ‘Sesungguhnya kami sangat malu ketika kaum kami menghadiri (ikut serta) dalam peperangan sedangkan kami tidak ikut bersama mereka.’ Maka Baginda bertanya: ‘Apakah kalian berdua telah masuk Islam?’ Kami menjawab: ‘Belum.’ Baginda bersabda: ‘Sesungguhnya kami tidak meminta bantuan daripada orang-orang musyrik untuk memerangi orang-orang musyrik’.”

Riwayat Ahmad (15763), al-Tabari (4194) dan al-Hakim (2563)

Berdasarkan dalil-dalil ini, fuqaha’ berbeza pendapat tentang hukum meminta bantuan dari orang bukan Islam untuk berjihad menentang musuh Islam:

Pertama: Melarang Secara Mutlak

Antara fuqaha’ yang berpendapat bahawa meminta pertolongan orang bukan Islam dalam peperangan adalah dilarang, Imam Malik dan salah satu pandangan Imam Ahmad, dan mereka berhujjah dengan dalil-dalil di atas. Antara sebab lain mengapa mereka lebih cenderung kepada melarang secara mutlak, kerana orang-orang musyrik ini tidak boleh dipercayai sama ada mereka bersama dengan sahabat mereka, atau datang untuk membahayakan dan mengkhianati.

Kedua: Membenarkan Secara Mutlak

Ini merupakan pandangan Imam Abu Hanifah dan fuqaha’ yang mengikut mazhab beliau. Dan mereka beristidlal dengan hadith Safwan bin Umayyah R.A:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ اسْتَعَارَ مِنْهُ أَدْرَاعًا يَوْمَ حُنَيْنٍ فَقَالَ: أَغَصْبٌ يَا مُحَمَّدُ؟ فَقَالَ: لاَ بَلْ عَارِيَةٌ مَضْمُونَةٌ ‏

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah meminjam darinya (Safwan) beberapa baju besi sewaktu perang Hunain. Dia bertanya: ‘Adakah ini rampasan wahai Muhammad?’ Maka Baginda menjawab: ‘Tidak, ia pinjaman yang ditanggung (dibayar upah)’.”

Riwayat Abu Dawud (3562)

Tetapi, pandangan ini mempunyai kritikan padanya. Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin berkata, memang benar Rasulullah SAW ada mendapatkan pertolongan tersebut, tetapi ianya pertolongan berupa harta sahaja. Adapun yang dilarang oleh Rasulullah SAW adalah pertolongan berupa tenaga badan – orang bukan Islam itu turut serta dalam peperangan -. Larangan ini kerana dikhuatiri mereka berbuat khianat dengan memecahkan rahsia orang islam kepada tentera musuh, atau mereka itu berperang tanpa semangat dan bukan bertujuan untuk mempertahankan Islam. Manakala pertolongan berupa harta pula tidak menjadi masalah, kerana yang menggunakan harta tersebut adalah orang Islam. Maka tidak ada sebarang mudharat ke atas orang Islam, dan ianya tidak bercanggah dengan hadith ‘Aisyah R.Anha di atas. (Lihat Fath zi al-Jalal wa al-Ikram, 5/469)

Ketiga: Membenarkan Dengan Syarat

Fuqaha’ Mazhab al-Syafi‘i dan salah satu pandangan Imam Ahmad yang dipersetujui oleh kebanyakan fuqaha’ al-Hanabilah, mereka mengatakan bahawa boleh meminta pertolongan dari orang bukan Islam untuk menentang musuh Islam, dengan syarat; aman dari sebarang unsur khianat dan orang bukan Islam itu boleh dipercayai, serta adanya keperluan untuk mendapatkan pertolongan tersebut bagi tujuan kemaslahatan orang Islam. (Lihat Minhah al-‘Allam, 9/49)

Imam al-Nawawi menukilkan kalam Imam al-Syafi‘i, katanya: “Sekiranya orang bukan Islam itu dipandang baik oleh orang-orang Islam, dan terdapatnya hajat keperluan untuk mendapatkan bantuan. Sekiranya tidak, maka dilarang untuk meminta bantuan.” (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 12/199)

Liga Muslim Dunia (Muslim World League) telah mengeluarkan satu resolusi mengenai Kerajaan Arab Saudi yang meminta bantuan ketenteraan dari negara bukan Islam. Dan natijah dari resolusi tersebut, sekiranya mereka meminta pertolongan untuk menyokong pasukannya dalam mempertahankan diri, bantuan tersebut diperlukan kerana dharurat yang diperakui oleh syara‘, dan undang-undang Islam membenarkan perkara ini di bawah syarat-syarat keperluan yang ditetapkan. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 6/369)

Kesimpulan

Melihat kepada perbincangan yang kami bawakan, kami katakan sebagaimana yang dipersetujui oleh fuqaha’ al-Syafi‘yyah dan al-Hanabilah, bahawa dibolehkan untuk sesebuah negara Islam itu meminta bantuan ketenteraan dari negara bukan Islam, dengan syarat:

  • Negara tersebut mestilah dipandang sebagai negara yang baik, dalam erti kata lain tidak berniat jahat terhadap negara Islam.
  • Terdapat keperluan untuk meminta pertolongan bagi memastikan maslahah dan kebajikan rakyat negara Islam itu terpelihara.

Sekiranya negara bukan Islam itu mempunyai rekod buruk dengan negara Islam, atau mereka itu terkenal dengan perbuatan khianat, muslihat serta penipuan, maka ini termasuk di dalam larangan Rasulullah SAW yang disebutkan di atas.

Semoga kita dikurniakan kefahaman yang baik dalam hukum-hakam syara‘. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply