Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya bagaimanakan cara menghormati dan memuliakan jenazah selepas kematiannya ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Mati ialah pengakhiran hidup manusia di dunia ini dan merupakan satu proses perpindahan roh ke alam seterusnya, iaitu alam barzakh. Mati merupakan satu proses terpisahnya roh daripada jasad. Kematian akan dirasai oleh jasad yang bernyawa apabila tiba masa yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Setiap makhluk pasti akan mati. Firman Allah SWT:

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۖ ثُمَّ إِلَيْنَا تُرْجَعُونَ

Maksudnya: “Tiap-tiap diri (sudah tetap) akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami (untuk menerima balasan).”

(Surah al-Ankabut: 57)

Ibn Kathir menyatakan: Iaitu di mana sahaja kamu berada, nescaya kematian akan mendatangi kamu. Maka, hendaklah kamu berada dalam ketaatan kepada Allah. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/197)

Apabila seseorang sudah tiba ajalnya, maka tidak dapat lagi diundurkan atau dipercepatkan walaupun sesaat. Firman Allah SWT:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ ۖ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً ۖ وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ

Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.”

(Surah al-A’raf: 34)

Syeikh al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: Allah telah mengeluarkan keturunan Adam ke bumi, dan menetapkan mereka di sana. Dia juga menetapkan waktu yang ditentukan bagi mereka, yang tidak dapat dipercepat oleh suatu umat pun, baik umat yang berkumpul mahupun individu. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman,hlm.287)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan adalah menjadi kewajipan ke atas umat islam menghormati orang yang telah meninggal di kalangan muslim. Ada empat hal utama yang harus dilakukan setelah seseorang meninggal iaitu mandi jenazah, mengkafaninya, melakukan solat ke atas jenazah tersebut, dan menguruskan pengebumiannya. Itulah antara cara yang ditunjukkan oleh syarak dalam memuliakan jenazah

Allah mewajibkan pengebumian dan menanam jasad jenazah bagi  menghormatinya, menjaga kebersihan, dan memelihara martabatnya. Hal ini dianggap sebagai kewajipan bagi  umat Islam. Jika dilakukan oleh sebahagian orang, dosa diampuni bagi yang lain. Tetapi jika ditinggalkan, semua akan menanggung dosa kerana ia merupakan fardhu kifayah. Yang demikian merupakan aturan yang jelas dalam Islam dan merupakan perkara yang disepakati oleh kaum muslimin.  Firman Allah SWT:

فَبَعَثَ اللَّهُ غُرَابًا يَبْحَثُ فِي الْأَرْضِ لِيُرِيَهُ كَيْفَ يُوَارِي سَوْءَةَ أَخِيهِ

Maksudnya: Kemudian Allah hantarkan seekor burung gagak (menyuruhnya) mengorek-ngorek di bumi supaya, diperlihatkan kepada (Qabil) bagaimana cara menimbus mayat saudaranya

(Surah al-Maidah: 31)

Al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat ini beliau meyatakan bahawa : Mengebumi dan menyembunyi serta menutupinya  di bawah tanah  adalah merupakan kewajipan (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 4/301)

Begitu juga ibnu al-Munzir menyatakan dalam kitabnya al-Ijma’ bahawa: Para ulama telah bersepakat tentang kewajipan mengebumikan mayat ke atas umat manusia dan tidak boleh meninggalkannya. (Lihat al-Ijma’, hlm. 44)

Syariah tidak hanya menetapkan kewajipan mengebumikan jenazah, tetapi juga menekankan penyegeraan dalam menguruskan jenazah. Ia bagi memartabatkan dan memelihara kehormatanya. Umat sepakat atas keutamaan untuk segera mengurus jenazah berdasarkan perintah Nabi yang menyuruh untuk menyegerakan pengebumian dan melarang dari berlambat-lambat dalam melaksanakannya. Yang demikian juga merupakan amalan para sahabat dan salafussoleh hingga beberapa ulama menganggapnya sebagai suatu kewajiban.[1]

Hal Ini juga  seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا عَلَيْهِ وَإِنْ تَكُنْ غَيْرَ ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ

Maksudnya: “Segerakanlah dengan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu.”

Riwayat al-Bukhari (1315) dan Muslim (944)

Menyegerakan pengebumian jenazah di dalam hadith di atas termasuk proses memandikan, mengkafankan, mengangkat serta mengusungnya ke tanah perkuburan. (Lihat Fatawa Syeikh Ilisy, 1/155)

Dapatlah  disimpulkan bahawa menyegerakan dalam menguruskan jenazah seperti memandikan, mengkafankan, menunaikan solat jenazah, dan menguruskan pengebumian adalah antara cara  menghormati dan memuliakan jenazah Muslim selepas kematiannya. Kita juga dianjurkan untuk mendoakan keampunan dan kesejahteraannya di alam Barzakh.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمَهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”

Wallahua’lam

 

Nota kaki:

[1] Lihat: https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/19765/%D8% – Dikases pada 7 Disember 2023

Leave a Reply