#5027: Jihad dan Kepentingan Niat

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah boleh jika seseorang itu berjihad dengan niat untuk membalas dendam? Contohnya umat Islam sekarang yang mungkin semangat mereka untuk berjihad berkobar-kobar kerana dendam terhadap Zionist. Mohon pencerahan ustaz, terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, berjihad di jalan Allah SWT menentang musuh Islam itu disyari‘atkan oleh Islam. Firman Allah SWT:

وَقَـٰتِلُوهُمْ حَتَّىٰ لَا تَكُونَ فِتْنَةٌۭ وَيَكُونَ ٱلدِّينُ لِلَّهِ ۖ فَإِنِ ٱنتَهَوْا۟ فَلَا عُدْوَٰنَ إِلَّا عَلَى ٱلظَّـٰلِمِينَ

Maksudnya: “Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah agama itu semata-mata kerana Allah. Kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim.”

(Surah al-Baqarah: 193)

Imam al-Tabari mengatakan, Allah SWT memerintahkan umat Islam untuk memerangi golongan musyrik agar tidak ada lagi kesyirikan, dan tidak ada yang disembah melainkan Allah SWT semata-mata yang tidak ada sekutu bagi-Nya. Lalu dengan itu juga terangkatlah bala musibah dari hamba-hamba Allah di muka bumi, dan bala inilah yang disebutkan sebagai fitnah. Disyari‘atkan jihad ini juga sehingga segala ketaatan dan penyembahan itu dikhususkan bagi Allah SWT dan bukan untuk selain-Nya. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 13/537)

Berbalik kepada persoalan yang saudara ajukan, niat yang benar ketika berjihad itu adalah penting bagi memastikan pengorbanan yang dilakukan seseorang itu mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah SWT. Hal ini adalah jelas sebagaimana riwayat daripada Abu Musa R.A, beliau berkata:

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ ﷺ، فَقَالَ الرَّجُلُ: يُقَاتِلُ لِلْمَغْنَمِ، وَالرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِلذِّكْرِ، وَالرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِيُرَى مَكَانُهُ، فَمَنْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ؟ قَالَ: مَنْ قَاتَلَ لِتَكُونَ كَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ العُلْيَا فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

Maksudnya: “Ada lelaki datang kepada Nabi SAW dan berkata: ‘Ada seorang lelaki yang berperang untuk memperoleh harta rampasan perang, ada juga seorang lelaki yang berperang kerana ingin disebut-sebut namanya, dan ada juga seorang lelaki yang berperang kerana ingin dipandang tinggi (dilihat kepahlawanannya), siapakah yang berada di jalan Allah?’ Baginda bersabda: ‘Barangsiapa yang berperang agar kalimah Allah menjadi yang paling tinggi, maka dia berada di jalan Allah’.”

Riwayat al-Bukhari (2810) dan Muslim (1904)

Ini dikuatkan lagi dengan sebuah hadith lain daripada Abu Umamah al-Bahili R.A, katanya:

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ ﷺ، فَقَالَ: أَرَأَيْتَ رَجُلاً غَزَا، يَلْتَمِسُ الأَجْرَ وَالذِّكْرَ، مَا لَهُ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: لَا شَيْءَ لَهُ‏.‏ فَأَعَادَهَا ثَلاَثَ مَرَّاتٍ، يَقُولُ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: لَا شَيْءَ لَهُ.‏ ثُمَّ قَالَ: ‏إِنَّ اللَّهَ لَا يَقْبَلُ مِنَ الْعَمَلِ إِلَّا مَا كَانَ لَهُ خَالِصًا وَابْتُغِيَ بِهِ وَجْهُهُ

Maksudnya: “Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW lalu berkata: ‘Apa pandangan kamu tentang seorang lelaki yang berperang untuk mendapat ganjaran dan kemasyhuran. Apakah yang akan dia perolehi?’ Rasulullah SAW menjawab: ‘Dia tidak mendapat apa-apa.’ Lelaki itu mengulangi soalan sebanyak tiga kali, dan Rasulullah SAW menjawab: ‘Dia tidak mendapat apa-apa.’ Kemudian Baginda bersabda: ‘Sesungguhnya Allah tidak menerima amalan kecuali ia dilakukan ikhlas dan mengharapkan wajah-Nya (keredhaan-Nya)’.”

Riwayat al-Nasa’ie (3140)

Syeikh ‘Abdullah al-Bassam berkata, sesiapa yang berjihad untuk berbangga diri sebagai seorang yang berani, lalu dia gugur di medan peperangan, maka kematiannya itu adalah untuk apa yang dihajati itu. Orang itu tidak mendapat syahid di jalan Allah SWT, akan tetapi dia hanya mendapat apa yang diinginkan sahaja iaitulah kebanggaan. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 6/350)

Dalam sebuah riwayat daripada ‘Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As R.A, dia bertanya kepada Rasulullah SAW tentang jihad, lalu Baginda SAW bersabda:

يَا عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَمْرٍو، إِنْ قَاتَلْتَ صَابِرًا مُحْتَسِبًا بَعَثَكَ اللَّهُ صَابِرًا مُحْتَسِبًا، وَإِنْ قَاتَلْتَ مُرَائِيًا مُكَاثِرًا بَعَثَكَ اللَّهُ مُرَائِيًا مُكَاثِرًا، يَا عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَمْرٍو، عَلَى أَىِّ حَالٍ قَاتَلْتَ أَوْ قُتِلْتَ بَعَثَكَ اللَّهُ عَلَى تِيكَ الْحَالِ

Maksudnya: “Wahai ‘Abdullah bin ‘Amr, sekiranya kamu berjihad dengan penuh kesabaran dan mengharapkan ganjaran Allah, nescaya Allah akan bangkitkan kamu dalam keadaan sabar dan dikurniakan ganjaran. Dan sekiranya kamu berjihad kerana ingin dilihat dan menunjuk-nunjuk, maka Allah akan bangkitkan kamu dalam keadaan ingin dilihat serta menunjuk-nunjuk. Wahai ‘Abdullah bin ‘Amr, dalam keadaan yang mana engkau berperang atau terbunuh maka Allah akan membangkitkanmu dalam keadaan seperti itu.”

Riwayat Abu Dawud (2519)

Ini menunjukkan kepada kita betapa pentingnya niat seseorang itu dalam apa jua amalan yang dilakukannya. Kerana itu, ulama’ silam memberikan penekanan terhadap perbahasan niat ini agar kebajikan yang dilakukan seseorang itu tidak menjadi sia-sia. Diriwayatkan dalam hadith yang masyhur, daripada ‘Umar bin al-Khattab R.A, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِىءٍ مَا نَوَى

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang akan mengikut apa yang diniatkan.”

Riwayat al-Bukhari (1) dan Muslim (1907)

Jihad ini merupakan satu pengorbanan yang amat besar, maka terlebih utama bagi seseorang itu memperbetulkan niatnya agar jiwanya dan hartanya yang dikorbankan tidak menjadi sia-sia. Apabila gugurnya dia di medan peperangan, tidak ada lagi peluang atau jalan untuk dia kembali dan memperbetulkan semula niatnya.

Alangkah ruginya mereka yang menginginkan daripada jihad ini selain dari redha Allah SWT dan meninggikan agama-Nya. Semoga kita semua dikurniakan ketaqwaan dan juga taufiq dari Allah SWT agar sentiasa teguh melaksanakan segala amalan kebaikan, tidak lain kerana menginginkan kebaikan dari-Nya semata-mata. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ketakwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”

Wallahu a‘lam

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *