Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah Dato jelaskan syarat-syarat untuk melaksanakan solat jumaat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat).

(Surah al-Jumu‘ah: 9)

Diriwayatkan daripada Tariq bin Syaibah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِلاَّ أَرْبَعَةً عَبْدٌ مَمْلُوكٌ أَوِ امْرَأَةٌ أَوْ صَبِيٌّ أَوْ مَرِيضٌ

Maksudnya: Solat Jumaat adalah tanggungjawab yang wajib atas setiap lelaki Muslim untuk didirikan secara berjemaah, kecuali hamba yang dimiliki oleh tuannya, perempuan, kanak-kanak dan orang yang sakit.”

Riwayat Abu Daud (1067)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terdapat enam syarat bagi melaksanakan solat jumaat:

  1. Hendaklah keseluruhan solat itu di dalam waktu Zuhur.
  2. Hendaklah ia didirikan di dalam suatu kawasan di dalam negeri.
  3. Hendaklah dilakukan secara berjemaah.
  4. Hendaklah para jemaah itu merupakan 40 orang yang Merdeka, lelaki, baligh, dan juga mastautin.
  5. Hendaklah solat jumaat tidak didahului oleh solat jumaat yang lain di kawasan tersebut.
  6. Hendaklah solat jumaat itu didahului dengan dua khutbah. (Lihat Safinah al-Naja, hlm 49)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

 رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

Surah Ibrahim (40)

Leave a Reply