#5056: Status Hadith “Habiskan 1/3 Harta Untuk Wangian Bukan Membazir”

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Baru-baru ini saya dapati ada orang menyebarkan yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menghabiskan 1/3 dari hartanya untuk wangian, maka dia bukanlah daripada golongan yang membazir”. Adakah benar ia hadith atau sebaliknya? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menjawab persoalan di atas, hadith ini merupakan hadith yang masyhur di lidah masyarakat pada hari ini, iaitu dikatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَنْفَقَ مَالَهُ كُلَّه أَوْ ثُلُثهُ فِي الطِّيبِ، لَمْ يَكُنْ ذَلِكَ سَرَفًا

Maksudnya: “Sesiapa yang menghabiskan 1/3 dari hartanya untuk wangian, maka dia bukanlah daripada golongan yang membazir”

Namun hadith ini tidak wujud dalam mana-mana kitab ulama’ yang terdahulu. Syeikh Abdul Aziz bin Baz menyatakan bahawa hadith ini tidak ada asal padanya.[1]

Syeikh Abdul Aziz al-Turaifi juga menyatakan perkara yang sama bahawa hadith ini tidak ada asal padanya. (Lihat al-Tafsir wa al-Bayan li al-Ahkam al-Quran, 3/306)

Justeru, hadith ini merupakan hadith palsu yang direka dan disandarkan kepada Nabi SAW kerana ia bukan sahaja tidak mempunyai sanad, tetapi ia tidak direkodkan dan tidak dijumpai di dalam mana-mana kitab hadith yang mengumpulkan hadith-hadith palsu sekalipun.

Namun begitu, kelebihan dan wangi adalah sebahagian dari kenikmatan dunia dan hiasannya. Diriwayatkan daripada. Anas bin Malik R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 حُبِّب إِليَّ مِنْ دُنْيَاكُمْ النِّسَاءُ ، وَالطِّيبُ ، وَجُعَلَتْ قُرَّةُ عَيْنِي فِي الصَّلاةِ

Maksudnya: “Dijadikan cintaku daripada dunia kamu pada: wanita dan wangian, dan dijadikan penyejuk mataku pada solat.”

Riwayat al-Nasaie (3939), Ahmad (14069) dan al-Baihaqi (13836). Ibn al-Qayyim dalam Zad al-Ma’ad (1/145) dan Syeikh Syuaib al-Arnaut dalam Takhrij Zad al-Ma’ad (4/308) menyatakan bahawa hadith ini sahih.

Tidak syak lagi bahawa minyak wangi yang mahal mempunyai bau yang tahan lama dan lebih tahan lama daripada minyak wangi yang murah. Oleh itu, membeli minyak wangi dengan harga tinggi bukanlah pembaziran, kecuali dalam beberapa keadaan, antaranya:

  • Tidak menjadi pemilik harta yang dapat membeli minyak wangi itu, tetapi terjerumus dalam hutang atau menyebabkan mudharat pada nafkah hidupnya dan keluarganya jika dia membeli minyak wangi itu.
  • Niatnya membeli wangian itu adalah untuk berbangga-bangga, sombong, atau menunjuk-nunjuk
  • Menggunakan wangian secara berlebihan tanpa keperluan.

Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin ditanya tentang pembaziran yang sering terjadi berkenaan mereka yang menghabiskan duit yang banyak untuk membelikan wangian untuk sesuatu majlis yang dihadiri oleh ramai orang, maka beliau menjawab: “Minyak wangi adalah sesuatu yang menyenangkan dan disukai, dan Rasulullah SAW telah bersabda: ‘Dijadikan cintaku daripada dunia kamu pada: wanita dan wangian, dan dijadikan penyejuk mataku pada solat.’ Hakikatnya, jika minyak wangi tidak melebihi batasnya, maka itu bukanlah pembaziran. Contohnya, jika tempat tersebut dikunjungi oleh orang ramai, dan setiap kali ada tetamu, diberikan minyak wangi, ini bukanlah pembaziran. Walaupun minyak wangi ini untuk kelompok pertama yang datang ke tempat tersebut, ia akan berulang untuk kelompok kedua juga. Oleh sebab itu, kita katakan ini bukan pembaziran. Tetapi jika seseorang membawa minyak wangi seperti minyak wangi oud dalam jumlah besar dan membakarnya sepanjang majlis tanpa keperluan, ini dianggap sebagai pembaziran.” (Lihat al-Liqa’ al-Syahri, 37/Soalan no. 16)

Beliau juga ditanya tentang pandangan sesetengah ulama yang mengatakan pembaziran adalah relatif, termasuk dalam pembelian minyak wangi, beliau menjawab: “Pembaziran dalam ibadah bukanlah perkara relatif kerana ia ditentukan oleh syariat. Rasulullah SAW melakukan wuduk satu, dua, atau tiga kali, dan bersabda: ‘Sesiapa yang berlebih daripada ini, dia telah berbuat buruk, melampaui batas, dan zalim.’  Adapun pemborosan dalam adat istiadat adalah suatu perkara yang relatif. Sesuatu boleh dianggap sebagai pembaziran oleh satu kelompok, tetapi tidak oleh kelompok lain. Ia juga mungkin dianggap sebagai pemborosan oleh penduduk sesuatu negara, tetapi tidak oleh penduduk negara lain. Oleh itu, pembaziran adalah suatu perkara yang relatif, dan konsep ini dikenali dengan kaedah: “أن الإسراف مجاوزة الحد” ‘Pembaziran adalah sesuatu melampaui batas.’

Manakala dalam konteks minyak wangi, tidak syak lagi bahawa jika seseorang itu daripada golongan yang kaya, dan beliau membeli minyak wangi yang mahal dan berkualiti, maka tindakannya itu tidak dianggap sebagai pembaziran. Apatah lagi, minyak wangi yang berkualiti, seperti yang kita ketahui, kekal baunya untuk tempoh yang panjang dan mempunyai aroma yang lebih wangi. Namun, jika individu itu tergolong dalam golongan sederhana atau miskin, maka membeli minyak wangi yang mahal bagi dirinya boleh dianggap sebagai pembaziran.”(Lihat Liqa’at al-Bab al-Maftuh, 8/Soalan no. 24)

Justeru, marilah sama-sama kita berwangian berdasarkan kemampuan dan keperluan kita dan tidak membazirkannya diluar keperluan dan kemampuan kita.

Kesimpulan

Hadith yang dikatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menghabiskan 1/3 dari hartanya untuk wangian, maka dia bukanlah daripada golongan yang membazir” merupakan hadith yang tidak ada asal padanya dan  tidak ada langsung sumber yang menceritakannya daripada mana-mana kitab hadith termasuk kitab yang mengumpulkan hadith-hadith palsu dan ia merupakan hadith yang direka dan disandarkan kepada Nabi SAW.

Para ulama’ menyatakan bahawa haram bagi kita meriwayatkan hadith palsu apabila diketahui akan keadaannya (palsu) melainkan bagi menjelaskan akan kepalsuannya. Ini merupakan pendapat Imam Ibn Salah, Imam al-Nawawi, al-Suyuti dan ramai lagi termasuk ulama’-ulama’ hadith masa kini. Hukum ini terbina berdasarkan hadith-hadith berkaitan larangan keras Rasulullah SAW terhadap pendustaan di atas nama Baginda SAW. Akan tetapi, hukum ini tidak terpakai kepada hadith dhaif kerana ia boleh diriwayatkan di dalam perkara fadhail apabila menepati syarat-syaratnya sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani.

Hal ini sebagaimana hadith mutawatir yang diriwayatkan daripada ramai para sahabat, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ فَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: Sesungguhnya berdusta atas namaku tidaklah sama dengan berdusta atas nama seseorang. Sesiapa yang berdusta di atas namaku dengan sengaja maka siaplah tempatnya di dalam neraka.”

Riwayat al-Bukhari (1291), Muslim di dalam Muqaddimah Sahih Muslim (4) dan Ahmad (18202)

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa sesiapa yang dimasukkan ke dalam neraka disebabkan perkara ini, maka dia tidak akan kekal di dalamnya. Ini kerana, seseorang itu akan dikeluarkan daripada neraka dengan kelebihan dan rahmat Allah SWT selagimana ada iman atau tauhid di dalam jiwanya. Terdapat beberapa fiqh hadith atau kaedah-kaedah yang boleh diambil daripada hadith yang penting ini. Di antaranya adalah:

  • Pertama: Menurut kaedah ahli sunnah, berdusta adalah satu khabar daripada seorang yang memang sengaja atau lalai terhadap sesuatu yang mana khabar tersebut menyalahi hakikat yang sebenar.
  • Kedua: Besarnya pengharaman berdusta di atas nama Nabi SAW dan ia merupakan perkara yang begitu keji dan termasuk di dalam dosa-dosa besar. Akan tetapi, seseorang itu belum lagi kufur jika dia berdusta melainkan sekiranya dia menghalalkan perbuatan tersebut. Ini adalah pendapat yang masyhur dalam kalangan mazhab daripada pelbagai sudut.
  • Ketiga: Tidak ada perbezaan pada pengharaman berdusta di atas nama Nabi SAW sama ada pada hukum-hakam atau tidak seperti pada bab targhib (galakan) atau tarhib (ancaman), mawa’izh (peringatan) dan sebagainya. Ini kerana, kesemuanya adalah haram dan ia termasuk di dalam dosa yang besar serta seburuk-buruk perkara menurut ijma’ umat Islam.
  • Keempat: Haram meriwayatkan sesebuah hadith yang mana diketahui akan kepalsuannya atau seseorang itu merasakan bahawa hadith tersebut adalah palsu. Barangsiapa yang meriwayatkan sesebuah hadith yang diketahui akan kepalsuannya atau pada sangkaannya hadith tersebut adalah palsu dan dia tidak menjelaskan hal tersebut, maka dia termasuk di dalam ancaman hadith ini. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 1/69-71)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

 اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua`lam.

 

Nota kaki:

[1] Lihat https://www.islamweb.net/ar/fatwa/59991/حديثمنأنفقثلثمالهفيالطيبلاأصلله

Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda untuk penyelenggaraan operasi Maktabah Al-Bakri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *