#5055: Memohon Cerai Disebabkan Suami Dikenakan Hukuman Penjara

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya adakah dibolehkan bagi isteri memohon cerai disebabkan suami dikenakan hukuman penjara dalam tempoh masa yang lama ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Perkahwinan atau pernikahan adalah sangat dituntut di dalam Islam. Sudah menjadi fitrah manusia untuk saling berkasih sayang ini diperjelaskan di dalam Al-Quran melalui firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang.”

(Surah al-Rum: 21)

Namun begitu, disebalik bahagia dan romantisnya dalam sebuah rumahtangga, sudah tentu terdapat juga pasang surutnya. Antara sebab konflik dalam rumahtangga adalah penglibatan orang ketiga, tidak menghargai pasangan, stress, isu kewangan, keganasan rumahtangga dan seumpamanya.

Oleh itu, sekiranya segala usaha telah dilakukan dalam mempertahankan institusi kekeluargaan, tetapi hanya perceraian sahaja jalan keluarnya, maka Islam membenarkannya. Firman Allah SWT:

ٱلطَّلَٰقُ مَرَّتَانِۖ فَإِمۡسَاكُۢ بِمَعۡرُوفٍ أَوۡ تَسۡرِيحُۢ بِإِحۡسَٰنٖۗ

Maksudnya: “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”

(Surah al-Baqarah: 229)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan keadaan yang dibenarkan syarak untuk meminta cerai antaranya ialah:

  • Suami tidak menjalankan tanggungjawabnya seperti memberi nafkah yang wajib. (Lihat al-Mughni, 8/204).
  • Suami memukul/mencederakan tubuh badan isteri tanpa sebab yang sah. (Lihat Hashiah al-Dusuki ‘ala al-Sharh al-Kabir, 2/345)
  • Suami dipenjarakan dalam suatu tempoh masa yang lama dan isterinya menderita kerana darar akibat perkara itu dan menuntut cerai. Pendapat Malikiyyah menunjukkan menuntut cerai itu dibolehkan kerana dianggap hilang tanpa uzur selama setahun. (Lihat Mausu’ah al-Kuwaitiyyah, 29/ 67)

Dalam isu ini  isteri sebaiknya tidak memohon pembubaran perkahwinan disebabkan suami dikenakan hukuman penjara lagi-lagi bilamana sudah mempunyai anak. Ini kerana penceraian membawa kesan yang negatif terhadap institusi kekeluargaan khususnya kepada anak. Namun sekiranya suami dipenjarakan dalam tempoh terlalu lama atau seumur hidup sehinggakan memberi mudarat kepada Isteri dan anak-anak seperti tidak mendapat nafkah dan sebagainya maka isteri berhak untuk memohon pembubaran perkahwinan daripada Mahkamah.

Hal ini sepertimana yang  diriwayatkan oleh Yahya al-Mazini, bahawa Baginda SAW bersabda:

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya: Tidak boleh memudaratkan diri dan memudaratkan orang lain.

Riwayat Malik (1435) Ibn Majah (2341)

Ibn Qudamah dalam isu ini beliau menyataka bahawa: Apabila seorang lelaki tidak memberikan nafkah kepada isterinya, disebabkan kesukaran dan ketidakupayaannya untuk menafkahinya, maka wanita mempunyai pilihan antara bersabar dalam situasi tersebut atau memohon dibubarkan perkahwinan.(Lihat al-Mughni, 11/361 )

Kemudaratan yang menimpa isteri disebabkan meninggalkan hubungan kelamin adalah suatu perkara yang membolehkan untuk membubarkan perkahwinan samaada disengajakan oleh suami ataupun tidak walaupun keadaan suami yang mampu mahupun tidak. Pembubaran perkahwinan ini menjadi lebih utama  sekiranya suami tidak mampu untuk menyetubuhi isteri mengikut ijma’ para ulama. Oleh yang demikian,  Isteri kepada suami yang dipenjarakan atau seumpamanya adalah seperti isteri yang kehilangan suami dalam masalah  permohonan pembubaran perkahwinan.  (Lihat Fatawa al-Kubra, 5/4810482 )

Dalam isu ini juga Dar al-Ifta al-Misriyyah juga ada mengeluarkan fatwanya bahawa sebagai seorang isteri, tidak seharusnya tergesa-gesa untuk meminta penceraian semata-mata kerana suaminya dihukum penjara, terutama jika mereka mempunyai anak-anak. Jika keadaan mencapai tahap di mana dia tidak mampu lagi untuk  menanggung situasi tersebut, dia boleh merujuk kepada badan kehakiman. Agama yang mulia telah menetapkan pengadilan sebagai penyelesaian untuk memisahkan antara individu dan menghapuskan kesulitan bagi yang sedang menghadapi masalah. [1]

Justeru, kami katakan sekiranya isteri mampu untuk bersabar sepanjang tempoh penahanan suami di penjara maka itu adalah lebih baik. Namun sekiranya dengan penahanan suami dalam tempoh yang lama sehingga membawa mudarat kepada isteri, maka dibolehkan baginya  memohon pembubaran perkahwinan.   Walaubagaimanapun, kami nasihatkan agar merujuk ke Mahkamah Syariah untuk merungkaikan situasi yang berlaku. Ketika itu, hakim yang akan memutuskannya. Selaras dengan kaedah fiqh:

أَنَّ حُكْمَ الْحَاكِمِ يَرْفَعُ الْخِلَافَ

Maksudnya: “Keputusan hakim (pemerintah) mengangkat khilaf.”

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”,

Wallahua’lam

 

Nota kaki:

[1] Lihat : https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/19277/%D9%83% – Diakses pada 11 Disember 2023

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *