Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya tentang niat solat, bolehkah niat kita dalam bahasa rumi?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Niat menurut bahasa adalah mengarah diri kepada sesuatu perbuatan. (Lihat al-Mu‘jam al-Wasit, hlm. 1021). Manakala menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, niat ialah maksud atau tujuan sesuatu perbuatan. (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat, hlm. 1080).
Dari segi istilah pula, terdapat beberapa definisi yang diberikan. Antaranya ialah:
- Al-Nawawi menyebutkan bahawa niat ialah keazaman (tekad) di dalam hati atas setiap perkara yang fardhu dan selain daripadanya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/310).
- Ibn ‘Abidin pula menyebutkan bahawa niat ialah tujuan melakukan ketaatan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan amal perbuatan. (Lihat Rad al-Mukhtar, 1/105).
Niat merupakan syarat sahnya suatu amalan ibadah. Hal ini berdasarkan hadith, sabda Nabi SAW:
إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ
Maksudnya: “Sesungguhnya amalan itu adalah dengan niat.”
Riwayat al-Bukhari (1) dan Muslim (1907)
Untuk menjadikan solat sah, seseorang hendaklah menyertakan niat di dalam hati ketika bertakbiratul Ihram dan sedar akan tujuannya untuk bersolat semasa melafazkan takbir tersebut serta mengingati jenis solat dan fardhunya. Sementara niat untuk bersolat pula tidak disyaratkan melafazkannya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/129)
Niat hendaklah disertakan dengan keikhlasan. Firman Allah SWT:
وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ
Maksudnya: “Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya.”
Surah al-Bayyinah (5)
Imam al-Qurtubi mentafsirkan ayat ini dengan ayat yang lain iaitu: Firman Allah SWT: ‘قُلْ إِنِّي أُمِرْتُ أَنْ أَعْبُدَ اللَّـهَ مُخْلِصًا لَّهُ الدِّينَ’ (“Katakanlah (wahai Muhammad SAW): “Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah SWT dengan mengikhlaskan segala ibadah hanya kepada-Nya”). [Surah al-Zumar:11] Ayat ini menjadi dalil bahawa wajibnya kita berniat dalam melaksanakan perkara-perkara berkaitan ibadah. Ini kerana, ikhlas merupakan amalan hati dan ia perlulah dilakukan semata-mata kerana Allah SWT dan tidak pada selain daripada-Nya. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 20/144)
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan niat ialah lintasan dalam hati ketika adanya tekad dan keazaman untuk melakukan sesuatu perkara, dan tempatnya di dalam hati. Maka, tidak menjadi masalah membaca niat dalam bahasa yang difahami.
Kami juga sarankan, bagi mereka yang mengalami masalah was-was untuk mengucapkan lafaz niat sebelum mengangkat takbir. Ia dipanggil sebagai talaffuz (melafazkan niat) dan ia dihukumkan sebagai sunat di sisi jumhur fuqaha. Sedangkan niat yang dimaksudkan ialah lintasan dalam hati ketika adanya tekad dan keazaman untuk melakukan sesuatu perkara, dan tempatnya di dalam hati. Justeru, perbuatan melafazkan niat sebelum bertakbir, lalu mengangkat takbir untuk mendirikan solat, menjadi bukti yang kuat menunjukkan bahawa dia ingin mendirikan solat, dan perbuatannya itu sudah dikira sebagai niat. Begitu juga solat yang dilakukannya adalah sah.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
(Surah Ibrahim: 40)