#5078: Orang Sakit yang Tidak Dapat Berwuduk Mahupun Bertayammum

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Beberapa orang yang sakit kerana penyakit tertentu mungkin tidak dapat berwuduk, dan mereka juga tidak dapat bertayammum dengan menggunakan debu tanah. Bagaimanakah mereka mahu mendirikan solat? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, suci daripada hadas termasuk dalam syarat sah solat. Oleh itu, seseorang yang ingin mendirikan solat tetapi dia berada dalam keadaan hadas, maka hendaklah dia mengangkat hadasnya terlebih dahulu; sama ada mandi wajib bagi mereka yang berhadas besar dan berwuduk bagi mereka yang berhadas kecil. Sekiranya seseorang itu tidak boleh menggunakan air disebabkan oleh sakit yang dialami, maka dia hendaklah bertayammum. Namun, jika seseorang itu tidak boleh juga menggunakan debu tanah kerana sakit yang dialami, maka dalam hal ini ia dianggap termasuk di bawah hukum faqid al-Tahurain (فقد الطهورين) iaitu orang yang tidak menjumpai air dan debu tanah untuk bersuci.

Orang yang berada dalam situasi tersebut, iaitu tidak boleh menggunakan air untuk berwuduk atau mandi wajib mahupun debu tanah untuk bertayammum, terdapat perbincangan khusus berkenaannya dalam kitab-kitab fiqh yang muktabar. Ada dalam kalangan mereka yang berpendapat, seseorang itu tetap mendirikan solatnya tanpa berwuduk ataupun bertayammum. Akan tetapi keharusan ini bukanlah merupakan suatu ijma‘ dalam kalangan ahli fiqh. Sebahagian daripada mereka berpendapat solat seperti ini adalah tidak sah dan perlu diulangi semula apabila bertemu dengan sumber air atau debu tanah.

Hal ini adalah sebagaimana disebutkan oleh Ibn Qudamah dalam kitabnya al-Mughni (1/327-328) bahawa sekiranya tidak ada air atau debu tanah, seseorang itu perlu solat seperti mana keadaannya sahaja (tanpa berwuduk atau bertayammum), dan inilah pendapat al-Syafi‘i.

Manakala Imam Abu Hanifah, al-Thauri serta al-Auza‘i berpendapat, tidak perlu mendirikan solat sehinggalah dia mampu (berwuduk atau bertayammum), kemudian dia perlu mengqadha’kan solatnya kerana solat merupakan ibadah yang tidak boleh tergugur qadha’nya, seperti mana puasa bagi wanita yang haid.

Manakala Imam Malik pula berpendapat, dia tidak perlu solat dan tidak perlu menggantikan solat tersebut kerana dia tidak mampu untuk bersuci (berwuduk dan bertayammum) maka tidak diwajibkan ke atasnya solat seperti mana perempuan yang sedang haid. Ibn ‘Abd al-Barr menyebutkan, ini adalah riwayat yang mungkar mengenai Imam Malik. Turut disebutkan juga daripada ashab Imam Malik dua pandangan, salah satunya adalah seperti mana pandangan Imam Abu Hanifah dan yang keduanya ialah dia hendaklah solat mengikut hal keadaannya dan hendaklah dia menggantikan semula solat tersebut.

Ibn Qudamah berpendapat sama seperti Imam al-Syafi‘i, dan beliau berhujah dengan hadith Aisyah R.Anha:

أَنَّهَا اسْتَعَارَتْ مِنْ أَسْمَاءَ قِلاَدَةً فَهَلَكَتْ، فَبَعَثَ رَسُولُ اللهِ ﷺ رَجُلًا فَوَجَدَهَا، فَأَدْرَكَتْهُمُ الصَّلاَةُ وَلَيْسَ مَعَهُمْ مَاءٌ، فَصَلَّوْا، فَشَكَوْا ذَلِكَ إِلَى رَسُولِ اللهِ ﷺ، فَأَنْزَلَ اللهُ آيَةَ التَّيَمُّمِ

Maksudnya: “Beliau meminjam kalung daripada Asma’, lalu kalung tersebut hilang. Oleh itu, Rasulullah SAW mengutus seseorang untuk mencarinya dan dia menemukannya. Kebetulan waktu solat telah pun masuk, tetapi tidak ada bekalan air bersama mereka untuk berwudhu’. Namun, mereka tetap menunaikan solat tanpa berwuduk. Setelah itu, mereka mengadukan peristiwa tersebut kepada Rasulullah SAW. Lalu Allah SWT menurunkan ayat tayammum.”

Riwayat al-Bukhari (336) dan Muslim (367)

Dalam pada itu, Rasulullah SAW tidak mengingkari solat yang para sahabatnya lakukan, dan tidak juga memerintahkan mereka untuk mengulanginya semula. Ini merupakan dalil bahawa tidak wajib qadha’ solat. Ini juga disebabkan bersuci itu hanyalah syarat, maka tidak boleh dilewatkan solat ketika ketiadaan wuduk atau tayammum, seperti mana ketiadaan sutrah atau tidak menghadap kiblat.

Apabila jelas penerangan ini, maka orang yang solat tanpa wuduk atau tayammum, kemudian dia mendapati air, tidak wajib ke atasnya untuk mengulangi solat menurut salah satu riwayat daripada Imam Ahmad. Manakala dalam riwayat lain daripada beliau, perlu mengulangi solat tersebut, dan inilah pandangan mazhab al-Syafi‘i, kerana orang tersebut telah hilang satu syarat solat, umpama orang yang solat dalam keadaan bernajis.

Selain daripada itu, al-Buhuti juga ada menyatakan, seseorang yang tidak memiliki air dan tanah, hendaklah dia mendirikan solat fardhu sesuai dengan keadaannya, tanpa menambah lebih dari apa yang memadai. Begitu juga jika ada luka pada tubuh yang tidak memungkinkannya untuk menyentuh kulit dengan air atau tanah, maka dia hendaklah mendirikan solat fardhu sesuai dengan hal keadaannya tanpa perlu mengulanginya. (Lihat al-Minah al-Syafiyat, 1/183).

Menurut Wizarah al-Auqaf wa al-Syu’un al-Islamiyyah al-Mamlakah al-Maghribiyyah, sesiapa yang tidak mendapati air mahupun debu, atau tidak berkemampuan untuk menggunakan kedua-duanya (air atau debu) seperti orang yang disalib, terikat, dipenjara, atau yang dipaksa, terdapat empat pendapat berkenaan hukumnya menurut mazhab Maliki sebagaimana berikut:

  • Imam Malik berpendapat, tergugur daripadanya kewajipan solat itu sama ada secara tunai ataupun qadha’. Ini berdasarkan kepada sabda Nabi SAW:

لا تُقْبَلُ صَلاةٌ بغيرِ طُهُورٍ

Maksudnya: “Solat tidak diterima tanpa bersuci.

Riwayat Muslim (224)

  • Asyhab berpendapat, dia hendaklah menunaikan solat tanpa bersuci (yakni berwuduk atau bertayammum) dan tidak perlu mengqadha’kannya semula. Ini berdasarkan kepada hadith Aisyah R.Anha:

أَنَّهَا اسْتَعَارَتْ مِنْ أَسْمَاءَ قِلاَدَةً فَهَلَكَتْ، فَبَعَثَ رَسُولُ اللهِ ﷺ رَجُلًا فَوَجَدَهَا، فَأَدْرَكَتْهُمُ الصَّلاَةُ وَلَيْسَ مَعَهُمْ مَاءٌ، فَصَلَّوْا، فَشَكَوْا ذَلِكَ إِلَى رَسُولِ اللهِ ﷺ، فَأَنْزَلَ اللهُ آيَةَ التَّيَمُّمِ

Maksudnya: “Beliau meminjam kalung daripada Asma’, lalu kalung tersebut hilang. Oleh itu, Rasulullah SAW mengutus seseorang untuk mencarinya dan dia menemukannya. Kebetulan waktu solat telah pun masuk, tetapi tidak ada bekalan air bersama mereka untuk berwudhu’. Namun, mereka tetap menunaikan solat tanpa berwuduk. Setelah itu, mereka mengadukan peristiwa tersebut kepada Rasulullah SAW. Lalu Allah SWT menurunkan ayat tayammum.”

Riwayat al-Bukhari (336) dan Muslim (367)

  • Asbagh pula berpendapat, dia tidak perlu mendirikan solat tetapi mengqadha’kannya semula nanti apabila menjumpai air atau debu tanah.
  • Ibn al-Qasim pula berpendapat, dia hendaklah menunaikan solat tanpa bersuci dan menqadha’kannya semula nanti apabila menjumpai air atau debu tanah.

Dalam al-Mawwaq, daripada riwayat Abu Umar bahawa al-Asyhab yang dinukilkan oleh Ibn Sahnun daripada bapanya, dan ini merupakan pendapat jumhur salaf, pendapat kebanyakan fuqaha’ dan pendapat kebanyakan ulama Maliki. Pendapat yang sahih dalam mazhab kami (mazhab Maliki) adalah apabila seseorang itu tidak mendapati air mahupun debu tanah, maka janganlah dia mendirikan solat sehinggalah dia menjumpai salah satu daripadanya.[1]

Kesimpulannya

Kemudian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa sesiapa yang tidak boleh untuk menggunakan air bagi tujuan mandi wajib ataupun berwuduk, dan begitu juga dia tidak boleh menggunakan debu tanah bagi tujuan bertayammum disebabkan oleh penyakit yang dialaminya, dan jika dia tetap menggunakannya, hal itu akan semakin menambahkan mudarat padanya, maka hendaklah dia mendirikan solat sebagaimana keadaannya itu tanpa mandi wajib, berwuduk mahupun bertayammum. Solat yang didirikannya itu dikira sah dan tidak perlu mengulanginya semula.

Jawapan yang hampir sama turut dikemukakan oleh Da’irah al-Ifta’ al-Urduniyyah ketika mana mereka diajukan soalan yang hampir serupa.[2]

Pendapat ini juga dilihat lebih meraikan situasi dan keadaan pesakit tersebut, di mana kesakitan atau penyakit yang dialami mereka tidak memungkinkan mereka untuk menyentuh kulit dengan air dan tanah. Hal ini bertepatan dengan syariat Islam yang bersifat memudahkan dan tidak menyusahkan. Firman Allah SWT:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya:(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.

(Surah al-Baqarah: 185)

Menurut Syeikh al-Sa‘di, ayat ini bermaksud Allah menghendaki hal yang memudahkan bagi kamu jalan yang membawa kamu kepada keredhaan-Nya dengan kemudahan yang paling mudah dan meringankannya dengan keringanan yang paling ringan. Oleh kerana itu, segala perkara yang diperintahkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya pada dasarnya adalah sangat mudah sekali, namun apabila terjadi suatu halangan yang menimbulkan kesulitan, maka Allah SWT akan memudahkannya dengan kemudahan lain iaitu dengan menggugurkannya atau menguranginya dengan segala bentuk keringanan. Namun, hal ini adalah sesuatu yang tidak mungkin dapat dibahaskan perinciannya, kerana perinciannya adalah keseluruhan syariat dan termasuk di dalamnya segala bentuk rukhsah dan keringanan. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/86).

Begitu juga seseorang itu diperintahkan untuk melakukan ibadah mengikut kemampuannya. Manakala apa yang tidak mampu dilakukannya tergugur daripadanya. Firman Allah SWT:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya:Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu.

(Surah al-Taghabun: 16)

Al-Sa‘di menyebutkan dalam tafsirnya, Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan (1/868) bahawa Allah SWT memerintahkan para hamba-Nya untuk bertaqwa kepada-Nya iaitu dengan mematuhi segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Oleh itu, ayat ini menunjukkan bahawa segala kewajipan yang tidak mampu dilakukan oleh seorang hamba akan gugur daripadanya. Begitu juga, jika seorang hamba itu mampu menunaikan sebahagian kewajipan dan tidak mampu pada sebahagian kewajipan yang lain, maka hendalah dia menunaikan kewajipan tersebut mengikut kadar kemampuannya dan tergugur daripadanya apa yang dia tidak mampu sebagaimana sabda Nabi SAW:

وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya:Apabila aku memerintahkan kamu dengan sesuatu, maka lakukanlah ia mengikut kemampuan kamu.

Riwayat al-Bukhari (7288)

Kami berdoa kepada Allah SWT agar memberikan kesembuhan yang cepat kepada mereka dan memberi mereka kekuatan untuk melaksanakan ketaatan dengan memenuhi semua syarat-syarat yang dikehendaki oleh syarak. Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)

 

Nota kaki:

[1] Lihat https://www.habous.gov.ma/2012-01-27-11-27-05/157-2012-08-28-14-34-54.html. Diakses pada 12 Disember 2023.

[2] Lihat https://www.aliftaa.jo/Question2.aspx?QuestionId=597. Diakses pada 12 Disember 2023.

1 thoughts on “#5078: Orang Sakit yang Tidak Dapat Berwuduk Mahupun Bertayammum

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *