#51: Umar bin ‘Abd al-‘Aziz Memberi Zakat kepada Bukan Islam

-25%
Percuma Al-Quran
Rated 0 out of 5
Original price was: RM440.00.Current price is: RM330.00.
Size Pocket
Rated 0 out of 5
RM10.00
Rated 0 out of 5
RM13.00

Buku Fizikal

Dengan Nama Allah

Rated 0 out of 5
RM15.00

Buku Fizikal

Imam Mahdi

Rated 0 out of 5
RM13.00

Buku Fizikal

Yajuj dan Majuj

Rated 0 out of 5
RM13.00

Buku Fizikal

Hakikat Dajjal

Rated 0 out of 5
RM13.00
-29%
Rated 0 out of 5
Original price was: RM70.00.Current price is: RM50.00.

Soalan:       

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan, adakah benar Khalifah Umar bin ‘Abd al-‘Aziz pernah memberi zakat kepada bukan Islam? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Bagi menjawab persoalan ini, kami mulakan dengan menerangkan serba sedikit biodata beliau terlebih dahulu. Beliau ialah Abu Hafs Umar bin ‘Abd al-‘Aziz bin Marwan bin al-Hakam bin Abu al-‘As bin Umayyah bin ‘Abd Syams bin ‘Abd Manaf bin Qusai bin Kilab al-Qurasyi al-Umawi. Beliau adalah seorang al-Imam, al-Hafiz, al-‘Allamah, al-Mujtahid, al-Zahid, al-‘Abid, al-Sayyid dan Amirul Mukminin. Ibunya pula bernama Ummu ‘Asim binti ‘Asim bin Umar bin al-Khattab. Ada ulama berpendapat, beliau dilahirkan pada tahun 63 Hijrah. Manakala al-Fallas menyebutkan bahawa dia mendengar al-Khuraibi berkata: “Al-A‘masy, Hisyam bin ‘Urwah, Umar bin ‘Abd al-‘Aziz dan Talhah bin Yahya dilahirkan pada tahun terbunuhnya Husain iaitu pada tahun 61 Hijrah. Inilah juga pendapat yang dipegang oleh Khalifah bin Khayyat dan ramai lagi berkenaan tarikh kelahirannya.

Beliau meriwayatkan atau mengambil ilmu daripada Abdullah bin Ja‘far bin Abu Talib, al-Sa’ib bin Yazid, Sahl bin Sa‘d, Sa‘id bin al-Musayyib, ‘Urwah, Abu Salamah bin ‘Abd al-Rahman dan ramai lagi. Bahkan Umar bin ‘Abd al-‘Aziz juga termasuk dalam kalangan para imam mujtahid dan Khulafa’ al-Rasyidin. Selain itu, Ibn Sa‘d ada menyebutkan, “Umar bin ‘Abd al-‘Aziz adalah seorang yang thiqah dan amanah. Beliau memiliki kefahaman, ilmu pengetahuan dan kewarakan. Beliau juga meriwayatkan banyak hadith dan merupakan seorang pemimpin yang adil. Semoga Allah merahmati dan meredhainya.” (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 5/114-115).

Menurut Ibn Kathir, Umar bin ‘Abd al-‘Aziz termasuk dalam kalangan ulama tabi‘in yang besar. Beliau meriwayatkan (mengambil ilmu) daripada sebahagian sahabat Rasulullah SAW seperti Anas bin Malik, al-Sa’ib bin Yazid dan Yusuf bin Abdullah bin Salam, dan begitu juga beliau turut meriwayatkan daripada sebahagian ulama tabi‘in yang lain. Selain daripada itu, sebahagian ulama tabi‘in dan selain mereka juga ada meriwayatkan (mengambil ilmu) daripadanya. Keilmuannya diakui sehinggakan Imam Ahmad bin Hanbal pernah berkata: “Aku tidak mengetahui perkataan mana-mana tabi‘in yang menjadi hujah melainkan perkataan Umar bin ‘Abd al-‘Aziz.” (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 12/576-577).

Umar bin ‘Abd al-‘Aziz meninggal dunia pada bulan Rejab, tahun 101 Hijrah dan umurnya ketika itu ialah 40 tahun. (Lihat Tarikh Ibn Khaldun, hlm. 96).  Raja’ bin Haiwah menyebutkan, Umar bin ‘Abd al-‘Aziz telah berwasiat kepadaku supaya aku memandikan dan mengkafankan jenazahnya serta memintaku untuk melihat wajahnya ketika dimasukkan ke dalam liang kubur. Maka, aku melakukan semua wasiat tersebut dan wajahnya seperti kertas yang berwarna putih. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 12/718).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, pada zaman pemerintahan Khalifah Umar bin ‘Abd al-‘Aziz, dikatakan bahawa pada zaman tersebut tiada lagi mereka yang berhak menerima zakat dalam kalangan orang Islam. Abu al-Hasan Aslam bin Sahal (lebih dikenali sebagai Bahsyal al-Wasiti) telah menukilkan dalam kitabnya daripada Marwan bin ‘Abd al-Malik yang telah berkata: Aku telah mendengar Abu Hasyim berkata: “Seorang lelaki telah mengeluarkan zakat daripada hartanya pada zaman pemerintahan Umar bin ‘Abd al-‘Aziz, akan tetapi tidak ada seorang pun menerimanya.” (Lihat Tarikh Wasit, hlm. 184).

Begitu juga Ibn Asakir ada membawakan satu kisah bahawa Abduh bin Abu Lubabah telah dihantar bersamanya 150 dirham dan diperintahkan supaya mengagihkannya kepada golongan fakir dalam kalangan Ansar. Dia telah datang bertemu al-Majisyun dan bertanya kepadanya berkenaan perihal mereka (golongan Ansar). Al-Majisyun menjawab:

 “Demi Allah, tidak aku ketahui seorang pun dalam kalangan mereka pada hari ini yang memerlukan. Sesungguhnya Umar bin ‘Abd al-‘Aziz telah mencukupkan (keperluan) mereka, dia telah bersegera pergi kepada mereka (yang memerlukan) dan dia tidak tinggalkan seorang pun daripada kalangan mereka melainkan dia telah memberikan haknya.” (Lihat Tarikh Dimasyq, 37/388).

Hasil zakat dan baitulmal pada zaman Khalifah Umar bin ‘Abd al-‘Aziz melimpah ruah disebabkan oleh perhatian yang serius telah diberikan oleh beliau. Beliau juga sangat menitikberat soal pengagihannya  agar mereka yang berhak mendapatkan haknya. Oleh itu, beliau telah memerintahkan gabenor-gabenornya agar mencari mereka yang berhak (menerima zakat) dan memberikannya. Beliau juga telah memerintahkan agar diambil zakat daripada semua harta yang diwajibkan zakat ke atasnya. (Lihat Umar bin ‘Abd al-‘Aziz Ma‘alim al-Tajdid wa al-Islah al-Rasyidi ‘ala Manhaj al-Nubuwwah, hlm. 276).

Dr. Ali al-Sallabi menyebut dalam kitabnya bahawa selepas Umar bin ‘Abd al-‘Aziz mengagihkan harta (memberi infak) kepada golongan fakir, miskin, golongan yang lemah (tidak mampu), orang yang berhutang dan ibn Sabil, beliau beralih pula perbelanjaan harta tersebut bagi tujuan menebus hamba-hamba yang terikat. (Lihat Umar bin ‘Abd al-‘Aziz Ma‘alim al-Tajdid wa al-Islah al-Rasyidi ‘ala Manhaj al-Nubuwwah, hlm. 286).

Perkara ini dapat dirujuk bagaimana Khalifah Umar bin ‘Abd al-‘Aziz telah mencukupkan (keperluan) rakyatnya sehingga amilnya di Afrika tidak menjumpai seorang pun yang mahu mengambil zakat. Yahya bin Said menyebutkan, Umar bin ‘Abd al-‘Aziz telah menghantarku ke Afrika bagi urusan pengagihan zakat. Aku telah laksanakan perintah tersebut dengan mencari dan bertanyakan berkenaan orang-orang fakir supaya dapat aku berikan kepada mereka. Akan tetapi aku tidak menjumpai seorang pun orang fakir dan yang mahu mengambil duit zakat ini daripadaku. Sesungguhnya Umar bin ‘Abd al-‘Aziz telah mencukupkan (keperluan) rakyatnya. Maka aku telah membeli hamba-hamba dengan duit zakat tersebut dan membebaskan mereka (dengan syarat) wala’ (ketaatan) mereka kepada orang-orang Islam. (Lihat Sirah Umar ibn ‘Abd al-‘Aziz ‘ala Ma Rawahu al-Imam Malik bin Anas wa Ashabuhu, hlm. 65).

Dr. Ali al-Sallabi juga ada menukilkan bahawa Khalifah Umar bin ‘Abd al-‘Aziz: “…dia sangat mementingkan (kebajikan) rakyatnya daripada kalangan kafir zimmi, dengan memberi infak kepada golongan fakir dan yang memerlukan dalam kalangan mereka daripada Baitulmal.” (Lihat Umar bin ‘Abd al-‘Aziz Ma‘alim al-Tajdid wa al-Islah al-Rasyidi ‘ala Manhaj al-Nubuwwah, hlm. 286).

Kita dapat merujuk bagaimana kesedihan mereka (bukan Islam) ketika kematian Khalifah Umar bin ‘Abd al-‘Aziz. Al-Hafiz Ibn al-Jauzi menukilkan daripada al-Auza‘i bahawa dia telah menyaksikan jenazah Umar bin ‘Abd al-‘Aziz. Kemudian, dia telah keluar (bermusafir) menuju ke Kota Qinnasrin dan telah melalui (bertemu) seorang rahib dan rahib tersebut bertanya kepadanya: “Adakah engkau menyaksikan kematian (jenazah) lelaki ini?” Al-Auza‘i menjawab: “Ya.” Rahib tersebut terus menangis. Al-Auza‘i bertanya kepadanya: “Kenapa engkau menangis sedangkan engkau bukan daripada kalangan penganut agamanya?” Maka dia pun menjawab: “Aku tidak menangis kerana dirinya. Akan tetapi aku menangis kerana dahulu di atas muka bumi ini ada cahaya, tetapi ia sudah dipadamkan (ditutup).    

Selain itu, ketika Soleh bin Ali datang ke negeri Syam. Dia telah bertanya berkenaan kubur Umar bin ‘Abd al-‘Aziz. Tiada seorang pun yang memberitahunya sehinggalah datang seorang rahib dan berkata kepadanya: “Adakah engkau mahukan kubur al-Siddiq? Ia terletak di dalam kebun itu!” (Lihat Sirah wa Manaqib Umar ibn ‘Abd al-‘Aziz al-Khalifah al-Zahid, hlm. 331).

Kalaulah bukan kerana keadilan dan betapa seriusnya Khalifah Umar bin ‘Abd al-‘Aziz menjaga kebajikan mereka, sudah tentu mereka tidak akan memujinya dengan gelaran al-Siddiq dan merasai kesedihan saat beliau sudah tiada lagi di dunia ini.

Kesimpulannya

Sebagai kesimpulannya, pertamanya tidak dapat dipastikan adakah benar Khalifah Umar bin ‘Abd al-‘Aziz memberikan zakat kepada golongan bukan Islam kerana setakat pencarian kami, kami tidak menjumpai satu athar pun yang menunjukkan bahawa beliau ada memberikan zakat kepada orang bukan Islam secara jelas melainkan apa yang telah dilakukan oleh Yahya bin Said, yang mana dia telah menggunakan wang zakat bagi menebus hamba dengan syarat mereka memberikan ketaatan kepada orang-orang Islam. Hal ini kerana ada kemungkinan bahawa hamba-hamba tersebut adalah bukan beragama Islam. Adapun begitu, perkara tersebut hanyalah dilakukan selepas tiada lagi dalam kalangan orang-orang Islam yang berhak menerima zakat.

Keduanya, sebagaimana yang telah disebutkan oleh Dr. Ali al-Sallabi bahawa Khalifah Umar bin ‘Abd al-‘Aziz telah membantu orang-orang miskin dalam kalangan kafir zimmi dengan memberikan mereka infak daripada baitulmal. Dalam hal ini, hendaklah kita ketahui bahawa pada ketika itu sumber baitulmal bukanlah daripada wang kutipan zakat semata-mata serta jenis-jenis sahaja, tetapi daripada sumber-sumber yang pelbagai seperti 1/5 harta ghanimah yang boleh dipindahkan, 1/5 harta yang keluar daripada perut bumi seperti emas, perak dan lain-lain, 1/5 al-Rikaz, harta rampasan daripada orang kafir tanpa peperangan, cukai dan lain-lain lagi. (Lihat  al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 8/245-248) .

Oleh yang demikian, tidak dapat dipastikan adakah infak tersebut benar-benar daripada duit zakat ataupun daripada sumber-sumber baitulmal yang lain.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 8 Mac 2023 bersamaan 15 Syaaban 1444H

Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda untuk penyelenggaraan operasi Maktabah Al-Bakri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *