#1103: Ejen Affiliate

Soalan:       

Assalamualaikum w.b.t. Saya teringin hendak mendaftar sebagai ejen affiliate bagi suatu produk. Akan tetapi saya tertanya-tanya, sebenarnya apakah hukum menjadi ejen affiliate? Mohon penjelasan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Affiliate marketing merupakan satu sistem pemasaran menggunakan komisen. Sebagai contoh, seorang affiliate marketer akan mendapat komisen daripada setiap jualannya. Sistem ini tidak hanya terletak pada jualan produk kerana affiliate marketing mempunyai banyak jenis dan konsepnya. Dalam bahasa mudahnya, seseorang yang menyertai program affiliate marketing hanya perlu mempromosikan produk ataupun laman web menerusi pautan alamat url affiliate ID tersendiri yang diberikan oleh pemilik produk.

Jika terdapat pembeli yang klik alamat url tersebut dan kemudian membuat pembelian di laman web itu, pemiliknya akan memberi komisen kepada peserta tersebut. Ada komisen diberikan atas sebab mempromosikan laman web tersebut dan ada juga komisen diberikan disebabkan oleh pembelian yang dilakukan oleh pembeli melalui alamat url affiliate peserta tersebut.[1]

Jika berdasarkan kepada bentuk di atas, pada asasnya ia adalah halal kerana menggunakan kontrak ju‘alah. Pengarang al-Fiqh al-Manhaji menyatakan, kata nama itu merujuk kepada sesuatu yang diberikan oleh seseorang kepada seseorang kerana sesuatu yang dilakukan. Ia juga boleh disebut sebagai Ju‘lun (جُعْل) atau Ja‘ilah (جعيلة).

Manakala dari segi syarak, ju‘alah ialah mewajibkan gantian yang diketahui untuk kerja tertentu, sama ada diketahui atau tidak diketahui, oleh orang yang dikenali atau tidak dikenali.  Maksudnya kerja ini dilakukan oleh seseorang pekerja yang dikenali atau tidak dikenali. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/161).

Ju‘alah dibenarkan oleh syara’ dan ini dinyatakan oleh hadith yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘id al-Khudri R.A, katanya:

انْطَلَقَ نَفَرٌ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي سَفْرَةٍ سَافَرُوهَا حَتَّى نَزَلُوا عَلَى حَيٍّ مِنْ أَحْيَاءِ العَرَبِ، فَاسْتَضَافُوهُمْ فَأَبَوْا أَنْ يُضَيِّفُوهُمْ، فَلُدِغَ سَيِّدُ ذَلِكَ الحَيِّ، فَسَعَوْا لَهُ بِكُلِّ شَيْءٍ لاَ يَنْفَعُهُ شَيْءٌ. فَقَالَ بَعْضُهُمْ: لَوْ أَتَيْتُمْ هَؤُلاَءِ الرَّهْطَ الَّذِينَ نَزَلُوا لَعَلَّهُ أَنْ يَكُونَ عِنْدَ بَعْضِهِمْ شَيْءٌ، فَأَتَوْهُمْ فَقَالُوا: يَا أَيُّهَا الرَّهْطُ، إِنَّ سَيِّدَنَا لُدِغَ، وَسَعَيْنَا لَهُ بِكُلِّ شَيْءٍ لاَ يَنْفَعُهُ، فَهَلْ عِنْدَ أَحَدٍ مِنْكُمْ مِنْ شَيْءٍ؟ فَقَالَ بَعْضُهُمْ: نَعَمْ وَاللَّهِ إِنِّي لَأَرْقِي، وَلَكِنْ وَاللَّهِ لَقَدِ اسْتَضَفْنَاكُمْ فَلَمْ تُضَيِّفُونَا، فَمَا أَنَا بِرَاقٍ لَكُمْ حَتَّى تَجْعَلُوا لَنَا جُعْلًا. فَصَالَحُوهُمْ عَلَى قَطِيعٍ مِنَ الغَنَمِ. فَانْطَلَقَ يَتْفِلُ عَلَيْهِ، وَيَقْرَأُ: {الحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ العَالَمِينَ}، فَكَأَنَّمَا نُشِطَ مِنْ عِقَالٍ، فَانْطَلَقَ يَمْشِي وَمَا بِهِ قَلَبَةٌ. قَالَ: فَأَوْفَوْهُمْ جُعْلَهُمُ الَّذِي صَالَحُوهُمْ عَلَيْهِ، فَقَالَ بَعْضُهُمْ: اقْسِمُوا. فَقَالَ الَّذِي رَقَى: لاَ تَفْعَلُوا، حَتَّى نَأْتِيَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَنَذْكُرَ لَهُ الَّذِي كَانَ، فَنَنْظُرَ مَا يَأْمُرُنَا. فَقَدِمُوا عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَذَكَرُوا لَهُ، فَقَالَ: «وَمَا يُدْرِيكَ أَنَّهَا رُقْيَةٌ؟» ثُمَّ قَالَ: «قَدْ أَصَبْتُمْ، اقْسِمُوا وَاضْرِبُوا لِي مَعَكُمْ سَهْمًا». فَضَحِكَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya:Sekelompok sahabat Nabi SAW berangkat dalam suatu perjalanan sehinggalah mereka singgah di salah satu perkampungan Arab, lalu mereka meminta untuk menjadi tetamu, namun penduduk kampung itu enggan menjadikan mereka tetamu. Setelah itu, pemimpin kampung itu digigit oleh binatang berbisa. Mereka berusaha dengan segala upaya (untuk menyembuhkannya), tetapi tidak berhasil. Sebahagian mereka berkata: ‘Bagaimana kalau kamu mendatangi rombongan yang singgah di tempat kita, barangkali ada salah seorang di antara mereka yang dapat menolong.’ Maka mereka pergi kepada mereka dan berkata: ‘Wahai ahli rombongan, sesungguhnya pemimpin kami disengat binatang berbisa, dan kami telah berusaha dengan segala upaya (untuk merawatnya, tetapi tidak berhasil. Maka adakah ada salah seorang di antara kamu yang dapat menolong?’ Maka mereka berkata: ‘Ya, demi Allah, sesungguhnya aku boleh merawatnya (meruqyah), akan tetapi demi Allah kami telah meminta untuk dijadikan tetamu namun kamu tidak mahu menjadikan kami tetamu, maka aku tidak akan merawatnya untuk kamu sehinggalah kamu meletakkan upah (sagu hati) bagi kami.’ Maka penduduk di tempat itu sepakat dengan mereka untuk memberikan sejumlah kambing. Maka sahabat tersebut berangkat (untuk mengubatinya) dan menyemburkan sedikit ludah (kepada pemimpin kampung yang sakit itu) lalu membaca: “الحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ العَالَمِين” (Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam) [Surah al-Fatihah: 1]. Setelah itu, seakan-akan pemimpin itu terlepas daripada ikatan, dia bangkit dan berjalan tanpa rasa sakit.” Dia berkata: “Maka mereka (penduduk di tempat itu) memberikan upah (sagu hati) mereka yang telah disepakati. Sebahagian sahabat berkata: ‘Bahagikanlah.’ Lalu orang yang mengubati itu berkata: ‘Jangan kamu lakukan sehingga kita pergi kepada Nabi SAW, lalu kita menceritakan kepadanya apa yang terjadi dan kita menunggu apa yang Baginda perintahkan kepada kita.’ Maka mereka datang kepada Rasulullah SAW dan menceritakan kejadian itu kepada Baginda. Lalu Baginda bersabda: ‘Apakah yang membuatkan engkau tahu bahawa itu adalah ruqyah?’ Kemudian Baginda bersabda: ‘Kamu benar, bahagikanlah (di antara kamu) dan berilah kepada aku sebahagian.’ Lantas Rasulullah SAW pun tertawa.”

Riwayat al-Bukhari (2276) dan Muslim (2201)

Sabda Baginda SAW ini merupakan suatu perakuan kepada perbuatan para sahabat dan menjadi dalil yang mengesahkan ju‘alah (الجُعْل). Perkataan “جُعْلًا” dalam hadith di atas adalah suatu pemberian kerana sesuatu yang dilakukan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/162).

Rukun-rukun Ju‘alah

Terdapat empat rukun bagi Ju‘alah iaitu kerja, bayaran sagu hati, sighah dan pihak yang berkontrak. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, Qism al-Buyu‘ wa al-Fara’idh, hlm. 148).

Seterusnya, pengarang al-Fiqh al-Manhaji ada menjelaskan lebih lanjut berkenaan rukun-rukunnya sebagaimana disebutkan bahawa pihak yang berkontrak terdiri daripada dua pihak iaitu:

  • Pemberi sagu hati (الجَاعِلُ) iaitu pemilik kerja yang akan memberikan sagu hati dan disyaratkan mestilah dia seorang mukallaf iaitu baligh, berakal dan waras.
  • Pekerja (العَامِلُ) iaitu orang yang melakukan kerja tersebut dan berhak mendapat bayaran sagu hati dan tidak disyaratkan mesti orang yang telah ditentukan. Contohnya, pengupah berkata: “Sesiapa yang kembalikan kereta aku, dia akan memperolehi sagu hati ini.” Ini kerana pemberi sagu hati mungkin mempunyai kerja yang perlu diselesaikan tetapi dia tidak tahu siapa yang boleh melakukannya. Maka dengan cara ini dia boleh memberikan sagu hati dengan jumlah tertentu untuk orang yang bersedia melakukan kerja tersebut, walaupun dia tidak mengenali orang tersebut.

Kemudian sighah pula ialah lafaz yang digunakan bagi merujuk kepada kebenaran untuk melakukan sesuatu kerja dengan bayaran yang wajib. Contohnya pemberi sagu hati berkata: “Sesiapa yang memulangkan kereta aku kepadaku, dia akan memperolehi bayaran sagu hati ini,” ataupun dia berkata kepada seorang doktor: “Jika kamu dapat merawat penyakit aku sehingga sembuh, kamu akan memperolehi bayaran sagu hati ini,” ataupun dia berkata kepada seorang guru: “Jika kamu dapat mengajar anak aku membaca dan menulis, kamu akan memperolehi bayaran sagu hati ini,” dan begitulah seterusnya. Selain itu, tidak disyaratkan persetujuan orang yang melakukan kerja tersebut, walaupun orang tersebut telah ditentukan. Ini kerana kerja ini boleh dilakukan oleh orang yang tidak dikenali. Apa yang penting ialah kerja tersebut.

Kemudian ‘kerja’ pula adalah merujuk kepada tugasan yang ditetapkan oleh pemilik bagi membolehkan seseorang itu memperolehi bayaran sagu hati. Contohnya, memulangkan barangan yang hilang atau mengajar kanak-kanak atau merawat penyakit atau sebagainya. Dalam kontrak ini, kerja yang dilakukan tidak disyaratkan diketahui secara terperinci seperti yang dikehendaki dalam kes khidmat (manfaat) bagi kontrak sewa. Seperti yang kita fahami, dalam kontrak sewa, khidmat perlu diperincikan mengikut kerja atau masa. Ini bermakna, kontrak Ju‘alah dibenarkan walaupun tabiat kerja tidak diketahui. Maksudnya, kerja tersebut tidak dinilai mengikut kerja atau masa.

Hal ini kerana berkemungkinan usaha untuk mencari barang yang hilang atau mengajar kanak-kanak itu memakan masa yang lama dan mungkin juga singkat. Mungkin juga ia membabitkan ramai orang dan mungkin tidak. Semua keadaan ini menyebabkan kerja ini tidak dapat dipastikan, walau bagaimanapun ini masih dibenarkan kerana kerja ini diperlukan.

Kemudian rukun yang terakhir ialah bayaran sagu hati iaitu bayaran yang wajib dibayar oleh pemilik kerja kepada pekerja. Bayaran ini disyaratkan mestilah berupa kadar yang dimaklumi kerana ia dikategorikan sebagai kontrak pertukaran. Pembayaran yang tidak ditetapkan kadarnya tidak dibenarkan dalam kontrak ini. Jika kadar bayaran sagu hati tidak ditetapkan, kontrak tersebut adalah tidak sah. Dalam kes ini (iaitu bayaran sagu hati tidak ditetapkan), jika kerja telah dilakukan oleh seseorang, maka dia berhak mendapat bayaran sagu hati yang sepadan. Ini kerana setiap kontrak yang diwajibkan kadar yang tetap dan tertentu untuk menjadikannya sah, ia juga wajib dibayar mengikut kadar sepadan ketika kontrak tersebut tidak sah. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/162-163).

Sekalipun begitu, keharusan program affiliate ini juga terikat atau bergantung kepada kandungan dan produk laman web yang disertai sama ada halal atau haram. Dalam erti kata lain, hukum program affiliate ini boleh berubah menjadi haram sekiranya ia mengandungi perkara yang diharamkan oleh syarak seperti mengandungi kandungan lucah atau pornografi, ada unsur perjudian, adanya penipuan, dan lain-lain, atau produk yang dipromosikan adalah produk yang diharamkan oleh syarak seperti penjualan babi, arak dan seumpamanya.

Hal ini kerana ia boleh dianggap tolong-menolong dalam perkara kemungkaran sama ada secara langsung ataupun tidak langsung. Firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya:Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).

(Surah al-Ma’idah: 2)

Al-Baghawi menjelaskan ketika menafsirkan ayat di atas, lafaz “الْإِثْمُ” adalah merujuk kepada kekufuran, manakala lafaz “الْعُدْوَانُ” pula merujuk kepada kezaliman. Namun, ada juga dalam kalangan ulama yang berpendapat, lafaz “الْإِثْمُ” merujuk kepada perkara maksiat, manakala lafaz “الْعُدْوَانُ” pula merujuk kepada perkara bidaah. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 2/9).

Ibn Kathir pula menyebutkan, Allah SWT melarang mereka daripada bersatu atas kebatilan, dan bertolong-tolongan atau bekerjasama atas perkara dosa dan perkara yang haram. Di samping itu, Ibn Jarir turut menyatakan, makna “الْإِثْمُ” di sini adalah meninggalkan suruhan Allah SWT. Manakala “الْعُدْوَانُ” pula adalah melebihi batas yang telah ditetapkan oleh Allah SWT dalam agama mereka dan juga melampaui batas (bersikap berlebih-lebihan) pada diri mereka sendiri mahupun pada orang lain dalam apa yang telah diwajibkan oleh Allah SWT ke atas mereka. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 2/13-14).

Justeru, jelaslah bahawa agama melarang kita daripada bekerjasama atau bertolong-tolongan dalam perkara yang mungkar dan maksiat seperti meninggalkan suruhan Allah, melakukan perkara yang dilarang dan seumpamanya, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa program affiliate atau dipanggil juga sebagai “Affiliate marketing” sebagaimana bentuknya di atas adalah diharuskan. Hal ini kerana ia menggunakan menggunakan kontrak ju‘alah dan ju‘alah adalah diharuskan dalam syarak berdasarkan kepada syarat-syaratnya.

Walau bagaimanapun, keharusannya tersebut masih lagi terikat atau bergantung kepada kandungan dan produk laman web yang disertai. Sekiranya terdapat unsur haram pada kandungan atau produk yang dipromosikan, maka hukum program affiliate ini boleh berubah menjadi haram. Oleh itu, mereka yang ingin menyertai apa-apa program affiliate hendaklah memastikan produk yang ingin dipromosikan itu bebas daripada unsur-unsur yang dilarang dalam syarak.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 8 Mac 2023 bersamaan 15 Syaaban 1444H

[1] Lihat https://dzulfaqarhashim.com/apa-itu-affiliate-marketing/. Diakses pada 30 Januari 2023.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *