Soalan

Adakah bapa biologi kepada anak zina dikira boleh menjadi mahram dengan perkahwinan dengan ibu anak tersebut serta dengan faktor susuan?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Berdasarkan mazhab Imam al-Syafie, anak zina tidak sabit nasab kepada bapa biologinya sehingga ia harus berkahwin dengan bapa biologinya walaupun hukumnya makruh. Mazhab lain seperti mazhab Abu Hanifah, mengharamkan perkahwinan antara anak zina dan bapa biologinya sekalipun tidak menasabkan anak perempuan itu kepada bapa biologinya. (Lihat al-Mu`amad fi al-Fiqh al-Syafie 4/29, dan al-Majmu` Syarh al-Muhadzzab 16/222.)

Perlu diketahui bahawa keharusan berkahwin dengan bapa biologi itu hanya berlaku disebabkan ketidaksabitan nasab. Namun demikian, jika terdapat sebab pengharaman nikah daripada sudut penyusuan atau musaharah (persemendaan) maka di sana terdapat pengecualian seperti berikut:

  • Jika seorang anak zina itu disusukan oleh seorang wanita sedangkan wanita itu mempunyai suami, maka anak tersebut akan menjadi anak susuan bagi lelaki tersebut kerana faktor Labn al-Fahl (Susu Jantan). ( Lihat al-Mu`tamad (4/34) Menurut ulama Syafieyyah, susu wanita itu jika terhasil akibat mengandung dalam perkahwinan yang sah dengan seseorang lelaki, maka susu itu akan mengharamkan bayi-bayi perempuan yang disusukan oleh wanita untuk berkahwin dengan suaminya. Adapun jika susu itu terhasil daripada perkahwinan lain atau zina, maka itu tidak mengharamkan. (Lihat al-Majmu` (18/222))
  • Jika seorang wanita yang mempunyai anak susuan kemudian wanita berkenaan berkahwin dengan seorang lelaki, maka lelaki itu juga menjadi mahram kepada anak susuan wanita itu apabila dia bersetubuh dengan wanita itu selepas nikah. Ini dinamakan pengharaman secara musaharah dan penyusuan. Anak perempuan itu diistilahkan sebagai al-Rabibah bil al-Rada`. (Lihat al-Mu`tamad, 4/35)
  • Apatahlagi, sekiranya seorang anak zina yang ibunya yang tsabit nasabnya dengan anak itu secara wiladah (kelahiran) lalu dia berkahwin dengan seorang lelaki, maka lelaki itu adalah ayah tirinya apabila dia sudah bersetubuh dengan ibunya dalam pernikahan yang sah. Ini dinamakan pengharaman secara musaharah (persemendaaan). (Lihat al-Mu`tamad, 4/32)

Terdapat empat golongan perempuan yang haram dikahwini kerana persemendaan, antaranya adalah Anak tiri perempuan. Anak tiri perempuan haram dikahwini oleh bapa tirinya. Pengharaman ini berlaku apabila ibu kepada anak tiri tersebut telah disetubuhi oleh bapa tiri. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَرَبَائِبُكُمُ اللاَّتِي فِي حُجُورِكُم مِّن نِّسَآئِكُمُ اللاَّتِي دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُواْ دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلاَ جُنَاحَ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: Anak-anak isterimu yang dalam pemeliharaanmu dari isteri yang telah kamu campuri, tetapi jika kamu belum bercampur dengan isterimu itu (dan sudah kamu ceraikan), maka tidak berdosa kamu mengahwininya.

( Surah al-Nisa’: 23)

Pengharaman ini tidak hanya kepada anak tiri yang tinggal bersama-sama bapa tirinya, tetapi juga termasuk anak tiri yang tidak tinggal bersama-samanya. Maksud anak tiri yang dalam pemeliharaan kamu adalah bagi menerangkan kebiasaan anak tiri tinggal bersama-sama di bawah jagaan bapa tiri dan ibunya. Demikianlah sebaliknya, seorang perempuan haram mengahwini bapa tirinya, menantu lelaki, anak tiri dan bapa mertuanya.

Penyusuan ataupun dalam bahasa arabnya Al-Rada’ (الرّضَاعْ)  menurut al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah ialah Perbuatan mengalirkan susu bagi seseorang perempuan ke dalam perut seorang bayi dengan syarat-syarat yang tertentu. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 22/238)

Manakala menurut kitab al-Fiqh al-Manhaji, al-Rada’  ialah Susu perempuan yang mengalir masuk ke dalam perut bayi. (Lihat al-Fiqh al- Manhaji, 3/119)

Terdapat tujuh golongan perempuan yang haram dikahwini kerana penyusuan. Di dalam al-Quran, disebut dua golongan sahaja, manakala bakinya dijelaskan di dalam hadith Nabi SAW. Tujuh golongan tersebut adalah:

  1. Ibu susuan

Ibu susuan ialah perempuan yang telah menyusukan anak orang lain. Dia haram dikahwini anak susuan tersebut, termasuk ibu kepada ibu susuan, nenek sebelah ibu, dan nenek sebelah bapanya.

  1. Saudara perempuan susuan

Mereka adalah perempuan lain yang menyusu dengan ibu kita atau kita menyusu dengan ibunya, atau kita dan perempuan yang lain sama-sama menyusu dengan seorang perempuan.

Jika seorang perempuan menyusu dengan ibu kita, dia haram kita kahwini. Namun, kita halal mengahwini saudara perempuannya kerana mereka tidak menyusu dengan ibu kita.

Jika kita menyusu dengan ibu seorang perempuan, maka kita haram mengahwini perempuan tersebut dan semua saudara perempuannya. Namun, saudara kita halal mengahwininya dan semua saudara perempuannya kerana mereka tidak menyusu dengan ibu kita dan saudara kita pula tidak menyusu dengan ibu perempuan itu.

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَأُمَّهَاتُكُمُ اللاَّتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ

 Maksudnya: Dan ibu-ibumu yang menyusui kamu dan saudara perempuan susuan kamu.

(Surah al-Nisa’: 23)

  1. Anak perempuan daripada saudara lelaki susuan.
  2. Anak perempuan daripada saudara perempuan susuan.
  3. Ibu saudara susuan sebelah bapa, iaitu perempuan yang menjadi saudara susuan kepada bapa.
  4. Ibu saudara susuan sebelah bapa, iaitu perempuan yang menjadi saudara sususan kepada ibu.
  5. Anak perempuan susuan, iaitu anak perempuan yang menyusu dengan isteri kita. Maka, kita ialah bapa susuan kepada anak tersebut.

 Hal ini berdasarkan hadith, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الرَّضَاعَةَ تُحَرِّمُ مَا يَحْرُمُ مِنَ الْوِلاَدَةِ

Maksudnya: Sesungguhnya susuan itu mengharamkan perkahwinan, sebagaimana haram disebabkan kelahiran.

Riwayat al-Bukhari (2646)

Begitu juga hadith, daripada Ibn Abas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda tentang anak perempuan Hamzah:

لاَ تَحِلُّ لِي، يَحْرُمُ مِنَ الرَّضَاعِ مَا يَحْرُمُ مِنَ النَّسَبِ، هِيَ بِنْتُ أَخِي مِنَ الرَّضَاعَةِ

Maksudnya: Dia tidak halal bagiku disebabkan susuan (الرضاع), sebagaimana yang haram disebabkan keturunan (النسب). Dia ialah anak perempuan saudara susuanku.

 Riwayat al-Bukhari (2503) dan Muslim (1444)

Sepertimana lelaki, seorang perempuan juga haram berkahwin dengan bapa susuan, anak lelaki susuan, saudara lelaki susuan, anak lelaki kepada saudara susuan, bapa saudara susuan sebelah bapa dan bapa saudara susuan sebelah ibu.

Begitu juga haram berkahwin disebabkan susuan dengan perempuan yang berikut:

  1. Ibu mentua susuan, iaitu perempuan yang menyusukan isteri kita.
  2. Anak tiri susuan, iaitu anak perempuan yang telah menyusu dengan isteri kita semasa perkahwinannya dengan suami yang dahulu.
  3. Ibu tiri susuan, iaitu madu kepada ibu susuan.
  4. Menantu susuan, iaitu isteri kepada anak susuan.

Menjawab persoalan di atas, hukum asal antara anak zina dengan ayah biologinya adalah ajnabi tetapi faktor penyusuan dan persemendaan boleh mengharamkan perkahwinan antara mereka berdua. Manakala anak-anak lelaki lain yang lahir daripada perkahwinan tersebut juga adalah mahram dengan anak zina itu disebabkan oleh nasab (saudara seibu).

Semoga penjelasan ini memberikan manfaat kepada kita semua. Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang benar dalam memahami agama ini. Ameen.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 17 Februari 2022 bersamaan 15 Rejab 1443H

Leave a Reply