Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah diwajibkan zakat saham jika hasil urusan jual beli saham dalam setahun adalah rugi? Contoh, modal untuk jual beli saham pada tahun 2023 adalah rm100 ribu, di akhir tahun didapati kerugian sebanyak rm20 ribu. Semua urusan jual beli saham sepanjang tahun 2023 dicatat dengan teliti.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Umum dalil kewajiban menunaikan zakat ini telah thabit dalam banyak nas syara‘. Antara yang jelas disebutkan, sebagaimana dalam firman Allah SWT:
وَآتُواْ الزَّكَاةَ
Maksudnya: “Dan keluarkanlah zakat.”
(Surah al-Baqarah: 43)
Imam Abu Muhammad Ibn ‘Atiyyah mengatakan, zakat yang disebutkan dalam ayat ini merujuk kepada zakat yang wajib, dengan persepakatan umat akan kewajibannya. Perkataan zakat ini diambil dari kata kerja (زَكَا – يَزْكُو – زَكَاةً), yakni bertumbuh dan bertambahnya sesuatu. Mengeluarkan sebahagian harta dinamakan sebagai zakat, sedangkan pada zahirnya harta tersebut kurang sedikit, bagi menambahkan keberkatan atau ganjaran pahala dari Allah bagi orang yang mengeluarkan zakat.
Dikatakan juga, zakat ini diambil dari al-tathir (penyucian). Ibaratnya, orang yang mengeluarkan zakat itu menyucikan hartanya sebagai tanggungjawab menunaikan hak yang telah Allah SWT jadikan padanya bagi orang miskin. (Lihat al-Muharrar al-Wajiz, 1/136)
Antara harta yang wajib dikeluarkan zakat adalah apa sahaja bentuk barang dagangan yang kita beroleh darinya keuntungan. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَنفِقُوا۟ مِن طَيِّبَـٰتِ مَا كَسَبْتُمْ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik.”
(Surah al-Baqarah: 267)
Imam al-Tabari berkata ketika menafsirkan ayat di atas, menunaikan zakat bagi hasil usaha yang diperoleh, sama ada dengan jual beli, atau dengan penghasilan barang dari emas atau perak. Dan yang dimaksudkan dengan (طَيِّبَـٰتِ) adalah hasil yang baik sahaja, yakni keluarkanlah zakat dari harta kalian yang halal, dan berikanlah zakat dari emas dan perak, dari hasil yang baik-baik sahaja dan bukan yang buruk. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 5/555)
Berkenaan masalah zakat saham ini pula, kami mengatakan bahawa hasil pelaburan saham juga perlu dikeluarkan zakat kerana ianya diumpamakan seperti urusan mu‘amalat yang mendatangkan keuntungan, selama mana memenuhi syarat-syarat wajib zakat yang telah ditetapkan oleh syara‘, antaranya adalah:
- Cukup Nisab
Ini berdasarkan hadith daripada Ali bin Abu Talib R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا كَانَتْ لَكَ مِائَتَا دِرْهَمٍ، وَحَالَ عَلَيْهَا الْحَوْلُ، فَفِيهَا خَمْسَةُ دَرَاهِمَ، وَلَيْسَ عَلَيْكَ شَيْءٌ يَعْنِي فِي الذَّهَبِ حَتَّى يَكُونَ لَكَ عِشْرُونَ دِينَارًا فَإِذَا كَانَ لَكَ عِشْرُونَ دِينَارًا، وَحَالَ عَلَيْهَا الْحَوْلُ، فَفِيهَا نِصْفُ دِينَارٍ، فَمَا زَادَ فَبِحِسَابِ ذَلِكَ
Maksudnya: “Apabila kamu memiliki 200 dirham, dan telah cukup setahun zakatnya sebanyak 5 dirham. Kamu tidak wajib berzakat emas sehinggalah memiliki 20 dinar. Apabila kamu memiliki 20 dinar, dan telah cukup setahun, maka zakatnya 1/2 dinar. Jika kamu memilikinya lebih daripada itu, maka ikutilah cara pengiraan tersebut.”
Riwayat Abu Daud (1573)
Berdasarkan hadith di atas, dapat kita ketahui bahawa kadar zakat emas dan perak jika dikira ialah sebanyak 2.5%, maka itulah jumlah yang diwajibkan bagi seseorang keluarkan daripada jumlah hasil keuntungan.
- Cukup Haul
Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada ‘Ali bin Abi Talib R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
وَلَيْسَ فِي مَالٍ زَكَاةٌ حَتَّى يَحُولَ عَلَيْهِ الْحَوْلُ
Maksudnya: “Tidak wajib zakat harta sehingga berlalu waktu setahun qamari.”
Riwayat Abu Daud (1573) dan Ibn Majah (1789)
Persoalannya, bagaimana sekiranya rugi? Kami memperincikan masalah ini dengan membahagikan terlebih dahulu zakat saham kepada beberapa kategori. Ia dapat dibahagikan kepada 3:
- Saham yang dilaburkan ke dalam Bursa Saham.
- Saham yang disimpan hingga ke hujung tahun.
- Saham yang dilaburkan dalam syarikat (sebagai pemodal).
Meneliti persoalan yang saudara ajukan, saham ini lebih menjurus ke dalam kategori kedua, iaitu saham yang disimpan hingga ke hujung tahun. Kadar kiraan bagi saham ini hendaklah diambil kira pada harga saham di hujung haul, yang mana kebiasaannya diketahui pada hujung tahun tersebut nilainya. Oleh yang demikian, kerugian pada pelaburan saudara tidak boleh menjadi alasan untuk tidak mengeluarkan zakat, selama mana saudara menepati syarat wajib yang kami sebutkan. Apabila saudara mengalami kerugian, tetapi masih mencukupi kadar nisab semasa tahun 2023 (RM 21 626), maka saudara masih perlu menunaikan zakat seperti biasa, tanpa mengambil kira sama ada pelaburan saham yang dilakukan itu mendapat keuntungan atau mengalami kerugian.[1]
Kami memberikan contoh bagi menjelaskan lagi masalah ini. Kami andaikan sebuah unit bagi Saham (A) pada 1 Januari 2023 bernilai RM 5/Unit. Modal yang saudara letakkan sebanyak RM 100 000, iaitu bersamaan dengan 20 000 unit. Pada akhir tahun, diandaikan nilai Saham (A) jatuh hingga RM 4/Unit.
Maka kiraan zakatnya adalah seperti berikut:
(20 000 unit x RM 4) x 2.5% = RM 2000
Maka pada hakikatnya saudara mengalami kerugian sebanyak RM 20 000, tetapi jumlah modal yang berbaki sebanyak RM 80 000 masih melebihi kadar nisab tahun ini. Oleh itu, saudara tetap wajib menunaikan zakat saham sebanyak RM 2000.
Beginilah serba ringkas yang dapat kami perjelaskan berkenaan zakat saham ketika berlakunya kerugian. Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa kepada pemberi zakat:
آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا
Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.”
Wallahu a‘lam
Nota kaki:
[1] Lihat https://www.zakat2u.com.my/kiraan/zakat/saham. Diakses pada 14 December 2023.