#5126: Mimpi Masuk Tandas yang Kotor

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya nak tanya apa maksud kalau mimpi masuk ke dalam tandas yang kotor?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan sebuah hadith Nabi SAW, daripada Abu Sa‘id al-Khudri, bahawa dia mendengar Nabi SAW bersabda:

إِذَا رَأَى أَحَدُكُمْ رُؤْيَا يُحِبُّهَا، فَإِنَّمَا هِيَ مِنَ اللهِ، فَلْيَحْمَدِ اللهَ عَلَيْهَا وَلْيُحَدِّثْ بِهَا، وَإِذَا رَأَى غَيْرَ ذَلِكَ مِمَّا يَكْرَهُ، فَإِنَّمَا هِيَ مِنَ الشَّيْطَانِ، فَلْيَسْتَعِذْ مِنْ شَرِّهَا، وَلاَ يَذْكُرْهَا لِأَحَدٍ، فَإِنَّهَا لاَ تَضُرُّهُ.

Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kalian bermimpi melihat sesuatu yang disenanginya, maka sesungguhnya mimpi itu daripada Allah, kerana itu hendaklah dia memuji Allah dan menceritakannya. Dan apabila dia bermimpi melihat sesuatu yang tidak disenanginya, sesungguhnya mimpi itu daripada syaitan, maka hendaklah dia memohon perlindungan daripada keburukannya dan tidak menceritakannya, kerana sesungguhnya mimpi itu tidak akan membahayakannya.”

Riwayat al-Bukhari (6985)

Daripada Abu Qatadah bahawa Baginda SAW juga ada bersabda:

الرُّؤْيَا الصَّادِقَةُ مِنَ اللهِ، وَالحُلْمُ مِنَ الشَّيْطَانِ

Maksudnya: “Mimpi yang benar daripada Allah, dan mimpi yang buruk daripada syaitan.”

Riwayat al-Bukhari (6984)

Berkenaan persoalan di atas, kami berpendapat, insya Allah ada baiknya kerana ta’bir bukan semata-mata suasana, tetapi orang yang berada dalam mimpi tersebut. Ini mengingatkan kami kisah mimpi al-Hasan al-Basri:

Satu malam, al-Hasan al-Basri bermimpi seolah-olah dia telanjang dan dia berdiri di tempat sampah atau kandang haiwan dan memukulnya dengan tongkat. Pada keesokan pagi, al-Hasan al-Basri amat dukacita dengan mimpinya seraya berkata kepada rakan taulannya, ‘Pergilah salah seorang daripada kamu kepada Ibnu Sirin dan ceritakan mimpi tersebut.’ Sedangkan ketika itu, Hasan al-Basri tidak menyukai Ibnu Sirin dan seolah-olah hubungan keduanya amat dingin.

Selepas wakil tersebut menceritakan mimpinya, Ibnu Sirin terus berkata, ‘Orang macam kamu tidak layak mimpi seperti ini. Ini bukan mimpi kamu. Bagi tahu kepadanya (tuan mimpi tersebut).’

Selepas diberitakan kepada Hasan al-Basri, maka terpaksalah beliau datang seraya berkata, ‘Jom, kita menemui Ibnu Sirin.’ Bila mana Ibnu Sirin melihat al-Hasan al-Basri datang ke rumahnya, dia terus bangun dan bersalaman. Tetapi kedua-dua duduk dalam keadaan sedikit berjauhan.

Seterusnya, al-Hasan al-Basri terus bertanya, seraya berkata, ‘Tinggallah antara kami isu remeh-temeh itu. Yang menyibukkan hatiku ialah mimpiku.’ Lantas, jawab Ibnu Sirin, ‘Hati kamu janganlah rasa takut dan runsing. Telanjang itu memberi makna dunia iaitu kamu tidak bergantung atau cenderung kepada dunia. Adapun, tempat najis atau kandang haiwan itu, itulah dunia yang telah mendedahkan kepada kamu keadaannya. Kamu melihatnya dengan secara yang nyata. Adapun, pukulan kamu dengan tongkat kamu, itu bermakna hikmah, di mana kamu berpidato dengannya sehingga orang ramai dapat manfaat.’

Lantas, kemudian al-Hasan al-Basri bertanya, ‘Bagaimana kamu tahu aku bermimpi secara begitu?’ Jawab Ibnu Sirin, ‘Bilamana orang tadi datang, menceritakan kepadaku mimpinya, lantas, aku berfikir, dan aku tidak lihat seorang pun yang sesuai dengan mimpi seperti ini kecuali kamu.’

Mengakhiri kisah ini, kami nukilkan kisah seorang lelaki bertemu dengan Ibnu Sirin seraya berkata, ‘Sesungguhnya, aku bermimpi seekor burung datang kepada al-Hasan al-Basri dan mengambilnya di masjid.’ Lantas, kata Ibnu Sirin, ‘Jika sekiranya benar mimpi kamu ini, maksudnya al-Hasan al-Basri akan meninggal dunia.’

Tidak lama selepas itu, datang berita al-Hasan al-Basri telah meninggal dunia pada malam Jumaat.

Sebahagian ulama menganggap kisah ini adalah kisah yang mungkar pada matannya dan juga asal kekuatannya. Kisah ini juga telah disebut dalam kitab al-Wafiy bi al-Wafayat oleh al-Safadi. Ini kerana perawi kisah ini bernama Abu Ali al-Wahazi lahir pada tahun 362 H sedangkan Ibnu Sirin dan al-Hasan al-Basri meninggal dunia pada tahun 110 H.

Kami berpendapat ini secara hikayat semata-mata. Yang bersifat mau’izah dan istifadah yang dapat kita perolehi.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita sentiasa berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT untuk diberikan kebaikan di dunia dan akhirat:

اللَّهُمَّ أَحْسِنْ عَاقِبَتَنَا فِي الْأُمُورِ كُلِّهَا ، وَأَجِرْنَا مِنْ خِزْيِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْآخِرَةِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Perelokkanlah kesudahan segala urusan kami, serta lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia dan seksaan hidup di akhirat.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *