#5127: Menamakan Dengan Binatang kepada Anak

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah kita menamakan anak-anak kita dengan nama binatang?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Secara umumnya, kami nyatakan bahawa di antara nama yang baik untuk diberikan kepada anak adalah seperti Abdullah atau ‘Abd al-Rahman. Begitu juga, dengan nama-nama yang ada pujian seperti Ahmad, Hamid, Mahmud dan lain-lain. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW:

تَسَمَّوْا بِأَسْمَاءِ الأَنْبِيَاءِ، وَأَحَبُّ الأَسْمَاءِ إِلَى اللَّهِ عَبْدُ اللَّهِ وَعَبْدُ الرَّحْمَنِ، وَأَصْدَقُهَا حَارِثٌ وَهَمَّامٌ، وَأَقْبَحُهَا حَرْبٌ وَمُرَّةُ

Maksudnya: “Namakan anak-anakmu dengan nama para Nabi dan nama yang paling disukai Allah ialah Abdullah dan ‘Abd al-Rahman. Dan nama yang paling benar ialah Harith dan Hammam. Dan nama yang paling buruk Harb dan Murrah.”

Riwayat Abu Daud (4950) dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (814)

Selain itu, menamakan dengan nama yang baik adalah digalakkan kerana ia merupakan doa dan akan diseru pada Hari Kiamat kelak. Terdapat sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّكُمْ تُدْعَوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِأَسْمَائِكُمْ وَأَسْمَاءِ آبَائِكُمْ فَأَحْسِنُوا أَسْمَاءَكُمْ

Maksudnya: ‏ “Sesungguhnya kamu semua akan diseru pada hari kiamat kelak dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu. Maka perelokkanlah nama kamu.”

Riwayat Abu Daud (4948)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan, dibolehkan jika nama tersebut menunjukkan keberanian, kuat dan gagah seperti Asad dengan makna singa, Namir dengan makna harimau, Baz dengan makna helang. Dan mereka tidak menamakan dengan binatang-binatang yang hina, seperti cicak, tikus. Dengan sebab itu, salah seorang datuk Nabi yang ke-7 bernama Kilab dengan makna anjing-anjing atau makna kekuatan saling bermusuh-musuhan.

Menurut al-Suhaili, perkataan Kilab berasal daripada masdar (kata terbitan) yang bermaksudالْمُكَالَبَةِ” (saling bermusuhan). Misalnya, kamu mengatakan: كَالَبْتُ فُلَانًا iaitu aku saling menzahirkan permusuhan dengan si fulan. Atau ia berasal daripada kata jamak bagi perkataan كَلْب sebagaimana orang Arab menamakan (anak mereka) dengan nama haiwan buas, harimau dan lain-lain. Ibn Sa’ad menyebutkan bahawa nama sebenarnya ialah al-Muhazzab. Manakala Muhammad bin Sa’ad mendakwa nama sebenarnya ialah Hakim. Dikatakan juga nama sebenarnya ialah ‘Urwah. Dia digelar sebagai Kilab kerana kecintaannya kepada anjing pemburu, dan dia biasa mengumpulkannya. Justeru, mana-mana anjing pemburu yang melewatinya, maka dia akan bertanya mengenainya, sehingga dikatakan kepadanya: “Ini ialah Kilab bin Murrah.” Lalu dia dipanggil (digelar) sebagai Kilab. (Lihat Fath al-Bari oleh Ibn Hajar, 7/163).

Seorang Arab Badwi ditanya: “Kenapa kamu memberikan nama kepada anak-anak kamu dengan nama-nama yang buruk seperti Kalb (anjing) dan Zi’b (serigala), sedangkan hamba-hamba kamu dengan nama-nama yang terbaik seperti Marzuq (dikurniakan rezeki) dan Rabah (untung)?” Dia menjawab: “Kami memberikan nama kepada anak-anak kami buat musuh-musuh kami, manakala hamba-hamba kami pula buat diri kami sendiri.” Mereka mahukan anak-anak mereka bersedia untuk melawan musuh-musuh dan menjadi anak-anak panah yang akan menembusi dada-dada mereka. Oleh sebab itu, mereka memilih nama-nama ini untuk diberikan kepada anak-anak mereka. (Lihat al-Mawahib al-Laduniyyah, 1/60)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

1 thoughts on “#5127: Menamakan Dengan Binatang kepada Anak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *