Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya bekerja di hotel sebagai steward mencuci cawan beralkohol jika ada majlis. Tidak semata-mata mencuci cawan yang beralkohol, sebaliknya hanya pada majlis-majlis tertentu. Saya ingin bertanya hukum saya bekerja sebagai tukang cuci ini, dan bolehkah mencuci cawan yang beralkohol bersamaan dengan sudu, pinggang, cawan dan lain-lain di dalam satu tempat basuh yang sama, meskipun pada waktu yang berlainan?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan yang saudara ajukan, kami bawakan terlebih dahulu satu per satu perincian bagi beberapa masalah yang perlu saudara ketahui sebelum dapat kami simpulkan jawaban bagi isu ini.

Pada asalnya, hukum pekerjaan sebagai seorang pencuci pinggan di mana-mana hotel adalah diharuskan selagi mana tidak terdapat sebarang sebab yang menyebabkan hukumnya berubah. Ini berdasarkan umum firman Allah SWT:

هُوَ ٱلَّذِى خَلَقَ لَكُم مَّا فِي ٱلْأَرْضِ جَمِيعًۭا

Maksudnya: “Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.”

(Surah al-Baqarah: 29)

Syeikh ‘Abd al-Rahman bin Nasir al-Sa‘di mengatakan, Allah SWT telah menciptakan bagi seluruh manusia segala apa yang ada di muka bumi ini sebagai suatu bentuk kebaikan dan rahmat, agar dapat diambil manfaat, dinikmati, dan diambil i‘tibar. Dan di dalam ayat yang agung ini terdapat dalil bahawa asal bagi setiap perkara adalah harus dan suci, kerana ayat ini disebutkan dalam konteks menyebutkan tentang kenikmatan. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 48)

Dan daripada firman Allah SWT ini juga, para ulama’ mengeluarkan satu kaedah fiqh yang menyebut:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ

Maksudnya: “Asal bagi setiap perkara adalah harus.”

Seterusnya, arak dihukumkan sebagai najis, dan ini telah dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah. Jumhur fuqaha’ berpendapat bahawa arak dikira sebagai najis seperti air kencing dan darah disebabkan sabit pengharamannya dan penamaannya sebagai rijsun (رِجْسٌ) dalam al-Quran sebagaimana firman Allah SWT:

إِنَّمَا ٱلْخَمْرُ وَٱلْمَيْسِرُ وَٱلْأَنصَابُ وَٱلْأَزْلَـٰمُ رِجْسٌۭ

Maksudnya: “Sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji).”

(Surah al-Ma’idah: 90)

Perkataan al-Rijs (الرِّجْسُ) dari segi bahasa merujuk kepada sesuatu yang kotor dan berbau busuk. Adapun minuman-minuman lain yang diperselisihi oleh fuqaha’ tentangnya, hukum pengharamannya di sisi mereka adalah mengikut hukum kenajisan bagi minuman tersebut. Manakala sebahagian fuqaha’ seperti Rabi‘ah, guru kepada Imam Malik, al-San‘ani dan al-Syaukani berpendapat bahawa ia adalah suci dengan berpegang kepada hukum asalnya, dan memahami makna rijs (الرِّجْسُ) dalam ayat tersebut merujuk kepada kotoran maknawi. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/27; 40/93-94)

Imam al-Nawawi juga ada menyebutkan bahawa arak adalah najis di sisi kami (mazhab al-Syafi‘i) dan di sisi Imam Malik, Abu Hanifah, Ahmad serta seluruh ulama melainkan apa yang dinukilkan oleh al-Qadhi Abu al-Tayyib dan selainnya daripada Rabi‘ah guru kepada Imam Malik dan Daud bahawa kedua-duanya berpendapat ia adalah suci sekalipun dihukumkan sebagai haram seperti racun yang merupakan tumbuhan dan begitu juga seperti ganja yang memabukkan.

Namun, al-Syeikh Abu Hamid menukilkan bahawa telah berlaku persepakatan ulama’ berkenaan kenajisannya. Begitu juga para ashab kami (ulama al-Syafi‘iyyah) berhujah berdasarkan kepada ayat di atas — iaitu ayat 90 Surah al-Ma’idah. Mereka menyebutkan bahawa tidaklah menjejaskan dengan meletakkan judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah setara dengan arak, dalam keadaan benda-benda itu dihukumkan sebagai suci. Hal ini kerana ketiga-tiga benda itu sudah terkeluar daripada dihukumkan sebagai najis berdasarkan ijma‘. Maka yang berbaki atau tinggal lagi hanyalah arak sebagaimana yang telah disebutkan — iaitu dihukumkan sebagai najis. Kemudian, tidak ada dalil yang jelas dalam ayat tersebut yang menunjukkan kepada perkara tersebut. Ini kerana al-Rijs (الرِّجْسُ) di sisi ahli bahasa bermaksud kotoran dan tidak memestikan perkara itu menjadikannya dihukumkan sebagai najis. Begitu juga perintah untuk menjauhinya tidak melazimkan ia dikira sebagai najis.

Adapun perkataan pengarang (iaitu al-Syirazi), “Ia haram untuk diminum tanpa sebarang darurat, maka ia adalah najis seperti darah.” Menurut Imam al-Nawawi, kenyataan ini tidak ada sebarang dalil yang menunjukkan kepada perkara tersebut berdasarkan kepada dua alasan. Pertamanya, ia terbatal dengan air mani, hingus dan selainnya.  Keduanya, ‘illah yang melarang atau mengharamkan pengambilan (meminum) arak dan darah adalah berbeza. Darah dilarang daripada diminum kerana ia dianggap sebagai istikhbath (benda-benda yang kotor dan jijik). Manakala arak pula dilarang daripada diminum kerana ia membawa kepada timbulnya permusuhan dan kebencian serta berpaling daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan solat sebagaimana dinyatakan secara jelas dalam ayat al-Quran. Pendapat yang aqrab (dekat dengan kebenaran) adalah sebagaimana pendapat yang dinyatakan oleh Imam al-Ghazali bahawa arak dihukumkan sebagai najis bagi tujuan menampakkannya sebagai berat (taghlizan) dan menjauhkannya daripada manusia sebagaimana diqiyaskan ke atas anjing dan apa yang dijilatnya. (Lihat al-Majmu‘, 2/563-564)

Maka kami katakan, sebaiknya saudara berusaha untuk mengelakkan dari membasuh peralatan yang telah bergelumang dengan arak dengan cara meminta pertolongan dari rakan bukan Islam. Hal ini kerana pekerjaan membasuh bekas minuman keras ini boleh menjerumuskan saudara ke dalam tohmahan orang. Terdapat kaedah-kaedah yang menekankan seseorang Muslim itu agar menghindari daripada terjebak dalam sebarang perkara yang boleh menyebabkan dirinya ditohmah dan dicela.

اتَّقُوا مَوَاضِعَ التُّهَمِ

Maksudnya: “Berhati-hatilah kalian dengan ruang-ruang tohmahan.”

Kaedah ini dikeluarkan oleh ulama’ berdasarkan kalam Saidina Umar R.A, katanya:

مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ

Maksudnya: “Barangsiapa yang menempuhi laluan-laluan tohmahan, dia akan ditohmah.”

Sekiranya masih tidak mampu untuk mengelak dari membasuh bekas minuman keras tersebut, maka kami sarankan saudara untuk cuba mencari pekerjaan lain yang lebih selamat dari sebarang ancaman fitnah atau larangan agama. Nescaya Allah SWT akan menggantikannya dengan pekerjaan yang lebih baik dan diberkati.

Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Qatadah dan Abu al-Dahma’, kata mereka bahawa seorang Badawi telah datang dan mengatakan bahawa Rasulullah SAW telah mengajarkan kepadanya apa yang telah diilhamkan oleh Allah SWT, seraya Baginda bersabda:

إِنَّكَ ‌لَنْ ‌تَدَعَ ‌شَيْئًا اتِّقَاءَ اللهِ إِلَّا أَعْطَاكَ اللهُ خَيْرًا مِنْهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya kamu tidak meninggalkan sesuatu kerana takutkan Allah, melainkan akan Allah berikan (sebagai ganti) sesuatu yang lebih baik dari sebelumnya.”

Riwayat Ahmad (20738)

Kami juga mengambil kesempatan ini untuk memperingatkan cara yang telah diajarkan sendiri oleh Rasulullah SAW apabila kita mendapati suatu kemungkaran, iaitu dengan mencegahnya dengan 3 cara:

  • Mengubah dengan tangan, yakni kekuasaan jika kita mempunyai kemampuan.
  • Mencegah dengan lisan, dengan cara memberikan nasihat dan memperingatkan manusia tentang ancaman Allah SWT terhadap pelaku-pelaku maksiat.
  • Membenci dengan hati, sekiranya tidak mampu untuk mengubah dengan tangan atau mencegah dengan lisan.

Ini sebagai mana yang diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al Khudri R.A berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

Maksudnya: “Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Apabila dia tidak mampu, maka dengan lisannya. Dan apabila dia tidak mampu lagi, maka dengan hatinya. Sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman.”

Riwayat Muslim (78)

Imam al-Nawawi meriwayatkan daripada Abu al-Qasim al-Qusyairi sepotong kata-kata yang disandarkan kepada Abu Ali al-Daqqaq, katanya: “Barangsiapa yang diam akan sesuatu kebenaran, dia adalah syaitan bisu.” (Lihat al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 20/2)

Akhir kalam, kami memuji usaha saudara yang berusaha untuk memastikan pekerjaan saudara merupakan pekerjaan yang halal. Kami mendoakan agar urusan saudara yang bertanya sentiasa dipermudahkan dalam mendepani ujian ini. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply